Islamic Widget

Wednesday, October 02, 2013

TAWARAN MENUNAIKAN HAJI


Hari pertama berpuasa Ramadhan 1431 Hijrah, Sobah menalifon saya memberitahu, Uda telah mendapat surat dari pihak Tabung Haji. Surat ‘Tawaran Untuk menunaikan Fardhu Haji (Terpilih)’ Musim Haji 1431H / 2010M’. Uda juga memberitahu beliau telah membuat semakan dengan pejabat Tabung Haji di Sungai Petani, Kedah, nama-nama lain yang mendapat tawaran. Nama-nama yang turut tersenarai adalah emak, Ucu, Sobah dan saya.

Saya agak terkejut dengan makluman dari Sobah tersebut. Ini kerana saya tidak menyangka, nama saya rupa-rupanya telah dimasukkan oleh Ucu dalam senarai surat rayuannya sebelum ini. Walaupun sebenarnya saya tidaklah bersungguh-sungguh menyatakan kepada Ucu untuk menyertakan sekali nama saya di dalam surat rayuannya. Namun itulah sebenarnya perancangan Allah. Saya kemudiannya menjadi serba salah. Antara gembira, keliru dan bersyukur.

Saya mengambil masa dua hari selepas berbincang dengan emak, Sobah dan adik-beradik yang lain, saya bermunajat. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi menunaikan haji dan menerima tawaran. Tawaran menjadi tetamu Allah yang paling istimewa. Sedangkan saya tidak merancang untuk pergi menunaikan haji, malah kursus haji bersiri pun tidak pernah saya hadiri. Tiba-tiba Allah menjemput saya menjadi tetamunya.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, Allah jugalah perancang yang terbaik. Terharu dan pilu sekali apabila mendapat tawaran istimewa itu. Sekiranya saya menolak tawaran tersebut, bermakna saya adalah hamba yang menolak rahmat Allah untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di dua Tanah Haram. Malah saya akan kerugian dengan keampunan Allah yang telah jelas diungkapkan di dalam Al-Quran serta hadis Rasulullah sewaktu Wukuf di Padang Arafah.

            Cinta yang telah lama berputik ini kembali segar berbunga. Kerinduan pada Ka’bah mengimbau nostalgia indah tatkala menadah kitab di hadapan tuan guru Haji Hafidz Selamat, Madrasah Islamiah, Jenderam Hilir. Selama umur ini ditelusuri saya hanya memandang potret dan lukisan wajah Ka’bah. Tidak terfikirkan bilakah pula mata ini sendiri dapat menatap, tangan ini dapat memegang dan bibir ini dapat mengucup Hajar Aswad permata syurga serta merangkul tubuh Ka’bah yang dilindungi baldu berwarna hitam itu. Beruntunglah orang-orang yang terpilih menjadi tetamu Ar-Rahman.

            ‘Terpilih’ menjadi tetamuNya bukan bermakna kita juga terpilih untuk mendapat haji yang mabrur. Tapisan yang Allah buat untuk semua tetamunya bukan diukur dengan mendapat surat tawaran ‘Terpilih’ dari Tabung Haji. Kriteria untuk menjadi tetamu yang istimewa diukur dari sejarah kehidupan sebelum keberangkatan, semasa melakukan manasik haji dan setelah pulang. Terpulanglah kepada kita apakah kita mahu jadi ‘seperti bayi yang baru dilahirkan’, atau menjadi ‘tetamu yang mengkhianati yang Empunya Ka’bah’.

            Mengkhianati yang Empunya Ka’bah, bermaksud, kita adalah tetamu yang terpilih. Terpilih dari jutaan manusia yang ada di muka bumi ini. Namun ketika berada di ‘rumahNya’, kita penuhkan rumahNya dengan sampah. Kita berbantah-bantah dengan tetamuNya yang lain. Kita membiarkan nafsu menguasai perasaan. Sedangkan yang Empunya Ka’bah telah berpesan,

            Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal” (Surah Al Baqarah : 197).

UMRAH WAJIB

 
Rehat setelah selesai Umrah Wajib
 
Setelah sampai di hotel Mekah, anda akan diberikan maklumat waktu tawaf umrah. Biasanya waktu malam, mengikut maktab masing-masing. Ambil wuduk awal. Ikut Mutawwif serapat yang boleh. Jangan berpecah. Perhatikan nama-nama jalan, lorong, nama-nama terowong yang akan dilalui. Kalau perlu catat, catatkan, atau gunakan hand phone untuk mengambil video atau gambar sepanjang perjalanan ke mesjid. Ini untuk mengelakkan anda tersesat ketika pulang ke hotel nanti. Biasanya kumpulan jemaah akan berpecah ketika masuk ke masjid. Kerana waktu ini masing-masing terpana dengan suasana Masjidil Haram dan emosi juga bercelaru. Tetapkan fokus anda untuk mengikuti mutawwif.
 
Seandainya anda berpisah dengan mutawwif, jangan panik atau hilang tumpuan. Cari rakan-rakan atau keluarga anda. Pimpin mereka untuk melakukan tawaf umrah yang bermula dari lampu hijau bersetentang dengan Hajar Aswad. Selesai melakukan tawaf 7 pusingan, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim atau di mana-mana sahaja.
 
Untuk melakukan Saie, ambil perhatian sudut Hajar Aswad. Dari sana anda terus ke tempat Saie. Di situlah Bukit Safa. Jangan tersilap ke Bukit Marwah. jumlah kiraan ialah Safa ke Marwah satu perjalanan, Marwah ke Safa dua perjalanan dan begitulah seterusnya. Anda dinasihatkan ketika bermula dari Bukit Safa, hendaklah naik sedikit ke atas bukit. jangan bermula dari tiang besar. Begitu juga ketika sampai ke bukit Marwah, lajakkan perjalanan anda sehingga ke atas bukit. Rasailah dengan kaki anda sendiri batu-batu yang di atas bukit tersebut. Nikmatnya atas roh sirah Rasulullah dan sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail, dapat mengalirkan air mata di situ juga. Tidak sia-sialah perbelanjaan dan perjalanan jauh ini dengan hikmah yang anda sendiri rasai. Alhamdulillah.
 
Selesai perjalanan Saie yang ke 7, jangan lupa bertahallul. Pengalaman saya, ketika melakukan umrah sunat, kerana seronok dengan selesainya Saie, maka saya hampir terlupa bertahallul. Ketika mahu memakai seluar, menggantikan kain ihram di belakang bukit Marwah, barulah saya teringat saya belum bertahallul. Bahkan gunting pun saya tidak bawa. Maka dengan muka sedikit 'kesian' saya mendekati seorang Jemaah yang sedang mengguntingkan rambut anaknya. Terus saya hulurkan kepala. Ada seorang jemaah warga emas, yang tersesat ke hotel saya, tidak bertahallul setelah melakukan umrah wajib. Kebetulan pula saya tergerak hati bertanyakan hal tersebut. Bayangkan, jarak masa yang diambil oleh beliau yang belum bertahallul dan tersesat pula. Semoga Allah menerima haji makcik Khadijah...amin.
 
 
Selesai bertahallul, dinasihatkan jangan terus pulang ke hotel. Berkumpullah. Cari rakan-rakan kenalan dan ahli keluarga yang sama Maktab. Ambil masa bertenang sambil minum air zam-zam. Anda boleh berkumpul di tepi-tepi sudut tempat Saie berhampiran tempat air zam-zam. Oh ya....berhati-hati ketika mengambil air zam-zam di situ, kerana saya sendiri pernah saksikan seorang jemaah lelaki terjatuh, kerana air zam-zam yang tumpah ke lantai mengakibatkan lantai menjadi licin. Lantai itu pula hanya dicuci dengan cecair pencuci lantai, tidak dibasuh. Itu juga menyebabkan kaki-kaki jemaah haji pecah-pecah.
 
Setelah anda mengambil tempoh bertenang, pulanglah ke hotel dengan satu perasaan puas, syukur, tawaduk dan bercita-cita untuk datang lagi ke masjid esoknya. Pulang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Bantu-membantu menunjuk jalan pulang.....mudah-mudahan selamat. Aminnnnn

Tuesday, October 01, 2013

Mencari pahala sebesar bukit Uhud...


Tips berbaik dengan pekerja hotel semasa haji




Assalamua'alikum,
 
Di hotel kami memang membina hubungan sesama Jemaah jiran bilik hotel. Kami makan bersama dan kami pergi masjid juga bersama. Bersembang-berbual dan bertanya khabar. Begitu juga dengan pekerja hotel yang rata-rata berbangsa Bangladesh. Malah kami beruntung kerana kami mendapat seorang pemandu teksi Bangladesh yang pernah bekerja di Pulau Pinang selama 5 tahun. Beliau dengan sukarela sedia menghantar kami ke mana sahaja yang kami ingini. Cuma kerana kekangan masa dan fulus kami hanya sekadar menyimpan sahaja nombor telefon beliau yang bernama Said. Emak kami pula suka bersedekah buah-buahan kepada pekerja hotel. Hikmahnya....semasa kami di Mekah kami menginap ditingkat dua hotel...maka ok lah juga  tak tinggi sangat. Tetapi ketika di Madinah kami menginap di tingkat 8. Memang sukar. Berebut-rebut menaiki lif. Saya mula mencari idea. Akhirnya saya bertemu seorang pekerja hotel yang mengajak saya menaiki lif khas pekerja hotel... Alhamdulillah. Selepas dari itu kami mudah turun dan naik ke hotel, tanpa perlu 'menipu lif'. Apa itu 'menipu lif'? Di sana anda akan faham. Ada Jemaah yang tinggal ditingkat yang tinggi, akan menaiki lif yang turun ke bawah dari tingkat satu. Bermakna ketika lif buka di tingkat satu mereka akan masuk memenuhi lif. Apabila lif turun ke tingkat Ground Floor, lif sudah penuh.....
 
Al-Kisahnya...
Suatu hari kami menaiki teksi yang pemandunya warganegara Bangladesh. Setelah bertanyakan harga tambang dan kami setuju dengan tambang yang ditawarkan, saya terus masuk ke dalam teksi tersebut dan duduk di kerusi bahagian hadapan. Kemudian barulah Ucu dan yang lain masuk dan duduk di bahagian belakang. Pesan dari dulu kini dan selamanya oleh jemaah-jemaah haji ialah ketika masuk ke dalam teksi, biar lelaki yang masuk dahulu kemudian baru perempuan. Kalau keluar teksi pula pastikan perempuan pula yang keluar dahulu. Dan inilah yang sentiasa kami amalkan sepanjang kami menaiki teksi di Mekah. Walaupun ini Tanah Haram namun segala kemungkinan boleh berlaku tanpa kita jangkakan. Sedang saya mengelamun dan melihat-lihat sekitar bandar Mekah, saya disapa oleh pemandu teksi tersebut.

            “Anta Malazie?” tanya beliau.

            “Na ‘am, ana Malazie,” jawab saya.
            “Haji?” tanya beliau lagi.
            “Na ‘am,” jawab saya sambil memandang tepat kemukanya.
            “Penang?” antara dengar dengan tidak.
            “La’, Kuala Lumpur,” jawab saya tersenyum sambil menoleh ke arah Ucu. Sekadar ingin memberitahu Ucu bahawa saya juga boleh berbahasa Arab.
            “Saya kerja Penang dulu,” tiba-tiba pemandu tersebut berbahasa Melayu.
            “Oh! Pulau Pinang?” tanya saya pula terkejut.
            Kami di dalam teksi tersebut semakin seronok apabila mendapati beliau boleh berbahasa Melayu. Emak, Uda, Sobah dan Ucu kedengaran berbisik-bisik di belakang. Mungkin mereka juga tidak menyangka pemandu tersebut pernah bekerja di Pulau Pinang.
            “Berapa lama kerja di Pulau Pinang?” semakin seronok pula saya bertanya.
            “Lima tahun,” jawab beliau.
            “Sudah kahwin?”
            “Sudah,”
            “Berapa anak?”
            “Empat,”
            “Isteri duduk di Bangladesh?”
            “Tidak, sini duduk,”
            “Berapa lama bawa teksi di Mekah?” perbualan kami semakin rancak.
            “Empat tahun,”
            “Sudah buat haji?”
            “Sudah, 2 tahun dulu,”
            “Ini teksi sendiri punya?”
            “La’, la’, ini sewa sama syarikat,”
            “Berapa bayar satu hari?”
            “60 Riyal, sini Arab susah cari makan, Malaysia senang,”



Tips Bersedekah semasa haji


Tips Bersedekah semasa haji
Assalamua'laikum,
 
Anda boleh menukarkan wang Saudi Riyal di mana-mana Money Changer ketika di sana. Tukarkan kepada wang satu Saudi Riyal. Setiap kali anda ke masjid, di hotel atau semasa melontar di Jamrah, anda akan bertemu dengan pekerja-pekerja cleaner. Keluarkan duit tersebut awal-awal, jangan keluarkan duit depan mereka. Terus dekati mereka dan masukkan ke dalam poket mereka atau bersalam dengan mereka sambil letakkan wang di tangan. Ini kerana pengalaman saya dan ramai Jemaah yang lain, jika terang-terang bersedekah, maka ramailah yang akan mengerumuni anda. Terutama kanak-kanak. Anda mungkin bukan orang kaya, tetapi anda berhak untuk bersedekah setiap kali sebelum melakukan ibadah. Kerana itu biarpun anda bersedekah 1 Riyal, tetapi anda dapat melakukannya banyak kali. Contoh, budget anda untuk bersedekah, 4 Riyal setiap hari. Semasa masuk masjid sebelum subuh, sedekahlah 2 Riyal, selepas solat Subuh, 2 Riyal. Bermakna anda dapat bersedekah hampir setiap Subuh dan setiap hari. Dan anda memulakan kehidupan harian anda dengan satu ibadah yang paling mulia....Insyaallah. Nampak kecil, tetapi Insyaallah besar di sisi Allah.
 
Al-kisahnya semasa saya di Mekah, Melontar di Jamrah dan ketika di Madinah, saya bertemu dengan sekumpulan kanak-kanak yang meminta sedekah. Ada salah seorang dari mereka yang sedikit menarik perhatian saya sewaktu baru tiba di Mekah. Beliau seorang budak perempuan mungkin berbangsa Arab Badwi (kerana berkulit gelap). Kedua-dua tangannya kudung. Dilehernya tersangkut satu uncang untuk duit sedekah. Saya pun terus memasukkan wang ke dalam uncang tersebut atas dasar simpati. Kemudian pada suatu hari yang lain saya terserempak dengan kanak-kanak perempuan cacat tersebut. Saya hanya memerhatikan sahaja tingkah laku kanak-kanak tersebut. Tiba-tiba seorang jemaah lelaki menghampir kanak-kanak tersebut. Jemaah lelaki tersebut memegang tangan kanan kanak-kanak yang kudung itu. Tanpa disangka-sangka, tangan kiri kanak-kanak cacat itu memegang tangan jemaah lelaki berkenaan. Jemaah lelaki itu terus bersuara "Haram! Haram! Haram!" kata beliau. Rupa-rupanya kanak-kanak perempuan itu tidak cacat......
 
Ketika saya di Madinah, saya tidak pasti kanak-kanak perempuan yang saya lihat di Mekah itu adalah sama dengan kanak-kanak yang saya temui di Madinah. Tetapi cara modius operandi yang digunakan sama. Kudung kedua-dua tangan dan ada satu uncang duit di lehernya. lalu saya menghampiri kanak-kanak tersebut, lantas memegang tangan kirinya. Dengan pantas beliau menepis tangan saya dan berlari pantas menyelinap dicelah-celah jemaah haji yang lain. Benarlah mereka seolah-olah ada satu sindiket meminta sedekah di sana. Kerana bimbang ada konco-konco atau agen-agen kanak-kanak itu yang memerhatikan saya, pantas saya pun sama menyelinap dicelah-celah jemaah haji dan bersembunyi di hotel...he he he...berlagak berani tapi penakut....Itulah Al-kisahnya....
 
Wassalam
 
Paklang

Monday, September 30, 2013





 
السَّـلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُـه

5 Riyal seorang satu van. Jgn bayar sehingga kita sampai semula ke Mekah. Lantik seorang ketua.- Pergi dan balik –

Yes pergi dan balik…

Van mmg akan tunggu kita di miqat?

Dia mesti tunggu!..Sebab tu jangan bayar masa pergi…nanti dia lari…bayar selepas kita sampai di Mekah

PANDUAN MENDAPATKAN SAF DI HADAPAN KA’BAH , masuk awal dan ikut bertawaf

Utk isteri/wanita mcmana?

Maaf, jemaah perempuan terpaksa akur bahawa saf yang berhampiran dengan Ka’bah adalah untuk Jemaah lelaki….ada satu ketika kami solat di tempat solat jenazah, di bawah tempat azan. Ada sepasang suami isteri turut sama hendak bersolat di situ. Di situ dikhususkan untuk jemaah lelaki dan tempat khas untuk jenazah. Hanya isteri jemaah itu sahaja yang perempuan. Maka adalah jemaah lelaki yang menegur dengan baik supaya jemaah perempuan itu beredar. Beliau degil tetap hendak solat disebelah suaminya. Akhirnya….jemaah lain pun bersuara….haram..haram…haram. Mana boleh perempuan solat sebelah lelaki….maka dia pun terpaksa dipujuk oleh suaminya untuk pergi….al-kisahnya

Untuk Umrah sunat - Keluar jam 2 pagi(sesuai x bawak isteri) –

Nasihat saya ke mana pun anda pergi, umrah sunat, ziarah Mekah, ziarah Madinah, membeli-belah pastikan isteri anda ikut sekali. Kecuali beliau uzur. Pastikan ketika beliau tinggal di hotel dengan berteman. Jangan tinggalkan isteri anda berseorangan di hotel. Kunci pintu. Keselamatan penting. Pengalaman saya ada isteri yang merajuk dan berkecil hati kerana tidak dibawa bersama. Memang anda perlu sentiasa berada di sisi isteri anda kecuali solat Jumaat. Jemaah wanita hendaklah solat zohor di hotel penginapan. Jangan sekali-kali ikut solat Jumaat di Masjidil Haram. Pendapat saya ialah, adalah haram apabila jemaah lelaki tidak mendapat saf untuk solat Jumaat yang dipenuhi oleh jemaah wanita (boleh rujuk ustaz). Umrah jam 2 pagi mestilah berkumpulan. Ajak rakan-rakan sebilik dan bawa isteri mereka sekali. Kecuali uzur.

Dlm keadaan biasa, habis umrah jam brapa?

Sekiranya bermiqat di Tana’em, lebih kurang 30 minit pergi dan balik ke Mekah. Tawaf 7 pusingan = 45 minit atau 1 jam. Saie = 1 jam atau 1.30 minit. Selesai umrah sekitar 5.30 pagi. Terus solat subuh. Selesai solat, balik ke hotel sarapan, slesaikan urusan kendiri (basuh baju, solat dhuha, tidur…). Yang penting kesihatan perlu dijaga. Betul, pahala beribadah di Masjidil Haram itu besar, tetapi apa gunanya kita terlantar di Hospital Aziziyah kerana sakit sedang hari Wukuf sudah hampir tiba. Tiada haji tanpa Wukuf. Jangan ikut jemaah yang keluar buat umrah sunat berkali-kali. Cukuplah buat 4 kali ikut sunnah Rasulullah. Yang afdhal ialah Tawaf sunat. Ia serupa dengan solat Tahyatul Mesjid. Anda boleh ikut berziarah melawat tempat-tempat sejarah, seperti muzium, Hudaibiyah, kilang cetak Al-Quran, Kilang buat kelambu Ka’bah dan lain-lain. Sesekali boleh bermiqat di Ja’ronah. Ada sejarah besar di sana. Perigi yang diracun, dan dipulihakan oleh Rasulullah dengan baginda meludah ke dalam perigi tersebut (tetapi perigi sudah tiada). Penting untuk anda kenali dan hayati sejarah dan sirah Rasulullah….agar ibadah ziarah menjadi lebih bermakna….

Telekomunikasi(telefon)

Diantara jemaah, Antara mekkah dan Malaysia

Di sana saya hanya menggunakan MAXIS untuk berhubung sesama jemaah dan Malaysia. Perhubungan telefon penting sekali. Pastikan anda mengambil nombor-nombor penting seperti Tabung Haji, rakan-rakan sebilik dan pejabat hotel. Ia akan memudahkan anda jika tersesat…

Soalan Cepu Emas haji


Titi Semeling Sg Petani
 
 
Bole x nk tanya beberapa soklan berdasarkan pengalaman lalu
 
Mengenai kasut dan selipar
 
Perlu bawa kedua² nya?
 
Perlu + Mesti bawa kedua-duanya…sebab penting..
 
Kasut bermula bila akan digunakan?
 
Kasut digunakan ketika selesai umrah wajib, setiba menjejakkan kaki di Mekah. 1. Untuk keluar mengikuti rombongan ziarah. Contoh menaiki Jabal Rahmah…2. Sewaktu wukuf, kasut hendaklah + mesti + perlu (sgt penting) dibawa. Ketika keluar melontar Jamrah Aqabah pertama pd malam atau pagi 10 Zulhijjah bawa kasut di dalam beg haversack. Selesai melontar kita sudah melepasi Tahallul Awal, maka balik tu pakailah kasut. Kemah jemaah haji Malysia dgn Muassassah di Mina lebih kurang 3 km. Pergi dan balik 6 km….boleh melecet kaki kalau pakai selipar….
 
Pilihan selipar
 
Ada yg suh cari selipar yang bertali di tumit, kerana kemungkinan utk jemaah lain terpijak selipar serta tercabut selipar
 
Betul dan benar…saya beli dua selipar bertali tersebut. Yang akhirnya satu saya wakafkan.Selipar putus, selipar hilang masalah biasa. Jangan jadikan ia satu masalah haji. Pernah saya berjalan kaki tanpa selipar kerana hilang, rasa seronok pulak…
 
Seluar sukan – 2 helai + seluar cerut
 
Seluar sukan pakai semasa?
 
Boleh dipakai sewaktu ke mana-mana….pergi ziarah, pergi kedai, pergi mesjid. Saya gunakan seluar sukan untuk berjoging. Waktu petang saya berjoging dari hotel, masuk terowong dan eksesais…(nak bawa tali skipping pun boleh). Percayalah….orang akan ketawakan anda atau sekurang2nya mereke senyum sambil menggelengkan kepala. Mana ada orang Arab jogging…Tapi mereka terlupa hadis, bahawa Rasulullah dan Siti Aishah, berlumba lari….tujuan saya berjoging, untuk mengelakkan diri tertekan dengan suasana dan kondisi cuaca dan persekitaran. Saya membiasakan diri dengan berjoging. Alhamdulillah saya sihat walafiat. Kurang batuk, deman dan sebagainya.semasa di sana.
 
Seluar cerut 
 
saya selesa memakai jubah tanpa kain pelikat…pantas, senang dan mudah bergerak….
 
Seluar cerut haji ke? Dan pakai dgn jubah …betul
 
Beg galas yg akan dibawa bersama dlm kapal terbang
 
Bole bawak x air dlm botol mineral (500ml) -
 
TIDAK BOLEH SAMA SEKALI…dlm kapal terbang ada banyak air… he he he mintak je…
 
Ada yg suh bawak sleeping beg. Bila kita guna?T
 
Tidak perlu bawa buat beraattt je…mungkin utk digunakan semasa Wukuf, di Arafah atau di Muzdhalifah (semasa mabit) atau di Mina. Tetapi kita pergi untuk berjuang dan berjihad, bukan nak tido…semasa Wukuf saya tido di surau….jgn risau anda masih muda….kurangkan barang utk dibawa….bawa yg penting dan perlu sahaja. Dan jangan lupa semasa Wukuf, jangan dok diam je kat kemah (TIDO) memang penat dan letih, tapi usahakan diri pergi surau, talbiah, zikir, baca Quran sehingga matahari terbenam. Di Mina anda boleh membantu pihak Tbg Haji mengagih-agihkan makanan, membersihkan sampah sarap sekitar kemah dan membersihkan bilik air…orang muda kena berbakti….inilah masanya nak buat pahala di Mekah. 
 
Solat fardhu diatas kapal terbang
 
Mungkin kami akan SUBUH diatas kapal terbang
 
Solat subuh atau solat menghormati waktu? – ada beberapa pandangan.  
 
Maaf, pasal solat menghormati waktu, saya focus kat ‘solat menghormati waktu’ sebab Tabung Haji yang suruh kita buat….tapi saya dah rujuk ust muktabar…memang tidak ada. Sebenarnya anda boleh terus sahaja solat Subuh dengan menggunakan botol air utk berwuduk, solatlah atas kerusi…juga solat dhuha…dan solat sunat yg lain dalam kapal terbang ke, dalam bas semasa balik dari wukuf ke (jem teruk) dan diketika yang lain….pasal kita kena menghadap Kiblat dahulu itu….kita tidak perlu risau….yang penting solatlah….
 
Maaf terlupa….semasa Wukuf di Arafah, Mabit di Muzdhalifah dan Mabit di Mina, untuk berwuduk memang berebut….solusinya ialah, sampai sahaja di Arafah, cari botol-botol kosong, isikan air dan simpan untuk berwuduk. Jangan minum nanti sakit perut, sebab air garam. Begitu juga ketika Mabit di Mina..terdapat banyak botol2 air mineral yang diletakkan disebelah tandas untuk jemaah haji minum. Itu bukan air garam itu air mineral, jadi, jangan gunakan ia untuk berwuduk….anda akan lihat ada jemaah yg menggunakan air mineral itu untuk berwuduk, kalau boleh tegur, tegurlah dgn berhikmah….ambil botol-botol kosong, isikan air….kalau banyak lagi bagus, bagi jemaah lain untuk berwuduk. Ini boleh dilakukan ketika waktu tengah malam….jemaah kebanyakannya tidur. Masa ini juga boleh bersihkan tandas dan sampah sarap selain kita berqiyamulail….
 
Wasiat saya….bawa Quran sendiri dari sini, Khatam Al-Quran sekali di Mekah, sekali semasa Wukuf dan sekali di Madinah…Insyaallah anda akan dapati pengisian haji anda benar-benar bernilai…Insyaallah (gunakan Quran itu sehingga salah satu tidak boleh digunakan….kita mati, buta atau Al-Quran itu hilang tulisannya….)