Islamic Widget

Tuesday, September 27, 2011

“Nak buat lagu mana, nak masuk tak celuih, orang ramai.”

Bersembang di lobby hotel dengan 3 orang pakcik dari Kedah. Mereka kelihatan sebaya. Umur dalam lingkungan 50an. Tiba-tiba seorang makcik masuk melalui pintu besar hotel.


“Hah, Dah balik pun Kak Mi!” kata salah seorang pakcik

“Kami rakan sekampung. Kak Mi tak ada waris. Dia datang dengan kami.”kata seorang lagi pakcik.

“Lama kami tunggu Kak Mi, dah siap buat tawaf dengan saie?” Tanya Pakcik yang pertama tadi.

“Nak buat lagu mana, nak masuk tak celuih, orang ramai.” Jawab makcik Mi.

Mereka merupakan jemaah dari Kedah yang baru tiba dari Jeddah. Pakcik bertiga tersebut sudah pun melaksanakan umrah wajib mereka. Sementara menunggu makcik Mi mereka berehat di lobby hotel. Jam menunjukkan pukul 2 pagi.

“Masyaallah, tak buat lagi?” Tanya ketiga-tiga Pakcik hampir serentak.

“Jadi makcik ni masih dalam ihram ni.” Kata saya menyampuk perbualan mereka.

“Ni dah pukul 2 ni, kami pun dah letih.” Kata Pakcik pertama yang kelihatan lebih berusia dari mereka bertiga.

“Tak apalah, saya cadangkan esok pagi-pagi pakcik temankanlah makcik Mi ni untuk buat umrah wajibnya. Sementara ni pakcik ngan makcik naik bilik dulu berehat.” Saya mencadangkan.

“Tapi makcik kena jaga pantang larang dulu, sebab makcik dalam ihram lagi ni,” sambung saya mengingatkan makcik Mi.

Ketiga-tiga pakcik dari Kedah itu menganggukkan kepala tanda setuju. Mereka pun bergerak ke lif untuk ke bilik mereka.

Esoknya ketika saya berjalan keluar dari lif hotel untuk membeli sarapan pagi, saya terserempak dengan ketiga-tiga orang pakcik dari Kedah tersebut bersama-sama makcik Mi berjalan keluar menuju masjidilharam. Sambil memberi salam dan bersalam dengan ketiga-tiga orang pakcik, saya mendoakan mereka agar mendapat haji mabrur. Beruntunglah makcik Mi kerana mendapat rakan sekampung yang mengambil berat keadaannya.

Thursday, September 22, 2011

"Makcik nak balik Kelantan!"


Malam itu masih awal. Saya berhajat untuk mendapatkan sedikit roti dan air teh. Turun ke lobby hotel saya terserempak dengan seorang makcik. Beliau kelihatan buntu. Tercengang-cengang seolah-olah mahukan bantuan. Sementara di lobby hanya ada saya dan sepasang suami isteri jemaah yang baru pulang dari mesjid. Mereka berdua duduk di sofa. Atas meja saya lihat ada cawan kertas teh tarik dan bungkusan roti. Mungkin mereka mahu berehat sebentar sebelum kembali ke bilik masing-masing.


Saya menghampiri makcik yang saya panggil makcik Khadijah.

“Nak, tolong makcik nak. Makcik hendak balik ke hotel,” kata makcik Khadijah.

“Makcik tinggal di hotel mana?” tanya saya.

“Tak tahu,” jawab makcik Khadijah, yang saya kira umurnya dalam lingkungan enampuluhan.

“Makcik ada bawa tanda nama?”

“Tidak,”

“Gelang?” tanya saya lagi.

“Pun tidak pakai,” jawab makcik Khadijah seolah-olah kesal.

“Makcik Maktab berapa?”

“81”

“Jadi macam mana boleh sampai sini?”

“Ikut kawan,”

“Kawan makcik duduk hotel mana?”

“Sini, maktab 80 katanya,” jawab makcik Khadijah.

“Hotel ini memang maktab 80 makcik, tetapi maktab 81, saya pun tidak tahu di mana,” saya cuba menerangkan.

“Makcik ingat maktab 81, mesti dekat-dekat dengan maktab 80 kan?” tanya makcik Khadijah pula.

Sambil tersenyum saya memberitahu makcik Khadijah,

“Betul hotel ini maktab 80, tetapi maktab 81 saya tidak pasti di mana,” jawab saya.

Makcik Khadijah kelihatan gelisah dengan jawapan dari saya.

“Habis macam mana makcik hendak balik?” kerisauan jelas pada wajah makcik Khadijah.

“Tidak mengapa, makcik duduk, nanti saya belikan air teh dan kita minum dulu,” ujar saya sambil mengajak makcik ke satu sudut yang mempunyai sofa.

Saya berjalan ke seberang hotel dan membeli dua cawan teh ‘Syair’ serta dua bungkus roti. Kembali ke hotel saya mempersilakan makcik Khadijah untuk minum serta menenangkan perasaan beliau yang mula kebimbangan dengan mengajak beliau berbual.

Makcik Kadijah memberitahu bahawa beliau baru sampai petang tadi ke Mekah. Beliau sudah melakukan tawaf dan saie umrah. Tetapi beliau terlupa jalan untuk kembali ke hotel beliau semula.

Pantas saya bertanya,

“Makcik sudah buat tawaf dan saie, sudah bertahallul atau belum?”

“Belum,” jawab makcik Khadijah.

“Astaghafirullah hal a’zim,” getus saya terkejut.

Segera saya mendapatkan sepasang suami isteri yang sedang berbual di sofa berhadapan dengan sofa kami.

“Kak minta tolong boleh tak?”

“Kenapa?” tanya suami isteri itu serentak.

“Makcik ini sesat, tetapi dia sudah tawaf dan saie, cuma belum bertahallul,” jawab saya yang juga agak cemas.

Bertahallul adalah rukun umrah. Iaitu bercukur bagi lelaki atau bergunting tiga helai rambut bagi perempuan selepas melakukan tawaf dan saie. Selagi tahallul belum dilakukan, bermakna umrah belum selesai. Dan makcik Khadijah masih didalam ihram. Beliau tidak boleh melakukan pantang larang dalam ihram.

Kakak yang saya minta tolong sebentar tadi, pantas mengeluarkan guntingnya dan terus membantu makcik Khadijah melakukan tahallul.

“Alhamdulillah,” kata saya kelegaan.

Saya benar-benar terharu dengan keadaan ini. Saya turut bersimpati dengan makcik Khadijah yang keseorangan dalam kesesatan jalan, tanpa bantuan. Malah ibadahnya juga kurang sempurna tanpa bantuan.

Tiba-tiba, seorang pegawai Tabung Haji masuk. Segera saya mendapatkannya.

“Tuan, makcik Khadijah ini sudah sesat. Dia tidak tahu nama hotel.”

Pegawai tersebut yang kelihatan keletihan saya persilakan duduk di sofa bersebelahan makcik Khadijah.

“Makcik ada bawa tanda nama?” soal pegawai Tabung Haji sama dengan soalan saya pada mula-mula tadi.

“Tidak, makcik terlupa,” jawab makcik Khadijah.

Pegawai berkenaan terus bertanyakan tentang gelang dan apa-apa maklumat tentang makcik Khadijah. Setelah dikeluarkan semua barang-barang di dalam beg sandang Tabung Hajinya, makcik Khadijah hanya mengeluarkan ‘Buku Kesihatan’ sahaja sebagai pengenalan dirinya.

Pegawai tersebut kelihatan tidak berpuas hati. Lantas mengingatkan makcik Khadijah supaya sentiasa membawa tanda nama dan gelang pengenalan, kemana-mana sahaja ketika berada di Mekah dan Madinah. Buku kesihatan tidak mempunyai maklumat tentang penginapan jemaah. Ia hanya merekodkan kesihatan jemaah sahaja.

Saya tatap wajah makcik Khadijah. Ada riak kekecewaan yang merisaukan saya. Kata-kata dan nasihat pegawai berkenaan seakan-akan menekan perasaan makcik Khadijah yang kebuntuan itu. Tiba-tiba…

“Makcik nak balik, makcik nak balik!” kata makcik Khadijah dengan agak kuat.

“Hantarkan makcik balik…,” sambung makcik Khadijah.

“Makcik nak balik mana? Hotel pun tak tahu!” kata pegawai tersebut.

“Makcik nak balik Kelantan!” ujar makcik Khadijah kecewa.

Saya lihat ada titis-titis jernih mengalir dikelopak mata makcik Khadijah.

Sebak…

Saya pun turut sebak…

Terus saya mencelah,

“Bertenang makcik, nanti saya bincang dengan pegawai ini,” saya cuba menenangkan perasaan makcik Khadijah dan perasaan saya sendiri.

Kesempatan itu saya ambil untuk berbincang dengan pegawai Tabung Haji.

Pegawai itu megeluarkan sekeping kertas dengan lakaran nama-nama dan nombor maktab. Maktab 81 terletak kira-kira 900 meter dari hotel saya. Akhirnya beliau bersetuju untuk menghantar makcik Khadijah balik ke hotelnya. Makcik Khadijah tersenyum.

Saya mengucapkan terimakasih kepada pegawai tersebut.

“Tidak ada kenderaan untuk bawa makcik ini?” tanya saya kepada pegawai Tabung Haji.

“Nampaknya terpaksa jalan kakilah makcik. Semua kenderaan sudah digunakan untuk menghantar jemaah yang sesat,” ujarnya.

“Sabar ya makcik. Nanti tuan ini akan hantar makcik balik,” pujuk saya.

Dengan penuh rasa kelegaan, terharu dan sebak, saya memberi salam kepada makcik Khadijah. Namun wajahnya masih ada masam dan cuka.

Sambil menjawab salam, makcik Khadijah bangun dan berjalan longlai di belakang pegawai Tabung haji.

Wednesday, September 21, 2011

Pesan


Ust Zahazan

Menurut sebuah fatwa dalam sebuah kitab Mawsu'at fatawa Mu'asirah, seorang lelaki menanyakan kedudukannya sbagai pendakwah yang akhirnya terpaksa meninggalkan peranan suami dan ayah , apakah pandangan Islam terhadap seorang yang demikian , mudah-mudahan para pendengar dapat mengambil pengajaran dari kes ini .Saya sangat meminati cara al-syikh al-Marhum Ibn Uthaimin dalam jawapannya.Beserta ini saya turut kemukakan jawapan Syikh Ibn Uthaimin dengan sedikit campuran idea Dato Fadzilah Kamsah juga sedikit idea saya:Umat Islam adalah Ummatul Iqtisad dan al-Tawassut, iaitu umat yang bersifat pertengahan. Justeru setiap individu hendaklah berusaha menjadikan dirinya sederhana dalam segala usahanya.Sebenarnya terdapat 3 jenis manusia iaitu yang pertama sibuk bekerja di tempat lain hingga meninggalkan keluarga, sedangkan yang lainnya asyik dengan keluarga tidak mahu berpisah langsung. Sebenarnya tawassut ialah menjaga keluarga dengan sebaiknya tanpa melupakan tanggunjawab kemasyakaratan yang juga merupakan amanah yang terrpikul atas bahunya.Terdapat beberapa hadith yang diriwayatkan dari Nabi yang memberi amaran terhadap manusia yang gagal menjalankan tanggunjawabnya. Sebagai contohnya, Nabi saw bersabda dalam hadith riwayat al-Bukhari ( 6731) dan Muslim ( 142 ) :Maksudnya : Sesiapa dikalangan umat Islam yang diamanahkan untuk menjaga orang-orang di bawah tanggungjawabnya tetapi dia tidak menjalankan tanggungjawabnya itu maka dia tidak akan menghidu bau syurga !Demikian lagi sabda Nabi saw dalam hadith riwayat al-Bukhari ( 4892 ) dan Muslim ( 1829 ) yang bermaksud : " setiap kamu adalah dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan terhadap segala amanah yang diberikan ke atasnya.Dalam sesetengah ibadah nabi saw mengajar umat Islam agar jangan melampau-lampau ditakuti akan menyebabkan tergadainya hak-hak orang lain. Dalam peritiwa hijrah Nabi telah mempersaudarakan antara Muhajirin dan ansar.Antara sahabat yg dipersaudarakan ialah Salman dan Abi Darda`.Salman mendapati Abi Darda` terlalu sibuk dengan urusan puasa dan solat nafilnya pada waktu malam ke peringkat Ummu Darda isterinya mengadu kepada Salman Ibnul Islam.Salman telah membetulkan sikap Abu Darda ra dengan katanya : " Sesungguhnya Tuhanmu memiliki hak ke atasmu dan dirimu sendiri memiliki hak untuk kau penuhi dan keluargamu ( isteri & anak2) turut memiliki hak untuk kau penuhi.Maka penuhilah semua hak itu dengan sebaiknya.Keesokan harinya Abu Darda menanyakan pada Nabi kata2 Salman, lalu Nabi mengiyakannya.Dalam hadith yg lain rwyt al-Bukhari ( 1874) dan Muslim ( 1159) , Nabi saw berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-As : Aku mendengarmu berpuasa di siang hari dan berqiyamullail sepanjang malam.Janganlah kamu berterusan begini kerana bagi jasadmu ada haknya, matamu mempunyai haknya, dan isterimu juga memiliki haknya, dan bagi tetamumu ada hak mereka cukuplah bagimu berpuasa 3 hari dalam setiap sebulan dan itulah dia puasa setahun.Abdullah telah meminta sesuatu yg lebih lalu RasululLah telah menetapakn suatu hukum yg berat ke atasnya , iaitu Nabi menyuruhnya mencontohi puasa Nabi Daud as dan janganlah melebihinya.Puasa Nabi Daud adalah puasa sehari dan berbuka sehari dan ini dipanggil puasa setengah tahun.Akhirnya bila Abdullah sudah tua beliau menyesali perbuatannya dengan berkata : “Kan baik jika aku mengambil rukhsah yang Nabi tetapkan!” Berdasarkan hadith2 di atas, jelas pada setiap individu muslim supaya melakukan pembahagian masa yang adil utk semua : kerja2 dakwah, keluarga,isteri , anak2, jiran tetangga dan sebagainya. Jika anda seorang pendakwah, peruntukkanlah sebahagian dari masa anda untuk Islam ( Allah & RasulNya).Tapi jangan terlupa bahawa anak anda juga memerlukan perhatian.Bawalah mereka ke tempat2 yg dibenarkan syarak seperti kedai buku, masjid, program ilmu dan riyadhah supaya sdr/i tidak terlepas waktu2 keemasan mendidik mereka.Jika dapat melakukan seperti ini insyaallah Allah akan jaga anak2 kita dan isteri kita.Juga ambil peluang untuk berkata yang baik pada isteri dan banyaklah menasihatinya supaya bersabar kerana saudara terlibat dalam bidang dakwah bukannya berpoya2.Raikan mereka pada hari2 jadinya dan anniversary nya.Nyatakan saudara sangat menyayanginya dan menghargai pengorbanannya.Juga seseorang suami hendaklah menggalakkan isteri supaya terlibat dalam program2 muslimat seperti usrah, kuliah dsb asalkan bukan program2 lagha yang diharamkan spt percampuran lelaki dan wanita.Para isteri yg budiman, sedikit peringatan buat para isteri, sabarlah atas kekurangan suami, Allah jadikan kita utk lengkap melengkapi antara satu dgn yg lain. Suami puan2 w/p selalu tiada di rumah, kita tahu dia berada di medan dakwah, sebaik2 tugasan sebesar2 tangjwb yg dijlnkn. Dia bukannya melakukan kerja2 maksiat atau sia2.Puan jangan melihat keaiban suami sahaja dlm sesuatu aspek sdgkan umr perkahwinan kadangkala dah menjangkau belasan tahun.Jangan mudah terpengaruh dgn lelaki ajnabiy yg menjanjikan sikap ambil berat pd puan dan lebih romantik! Lelaki ini cukup pandai memikat sebelum kahwin , lepas kahwin barulah terdedah dgn berbagai keaiabannya.Sebaliknya suami puan, meskipun dia sibuk namun sudah puan kenali hati budinya, banyak! Cuma kekurangannya ialah dia kurang bergurau sbb banyak berfikir ,itu sahaja kekurangannya ! yang ini yg puan2 anggap pandai bergurau sebenarnya lelaki hidung belang pandai berlakon ! itu sahaja kehebatnnya, lain semuanya tiada kebaikan, silap2 haribulan yg sifat yg ditonjolkan dulu pun hanya pura2, masa tu barulah nak sedar kebaikan suami dulu , tapi apakan daya !Maaf , kata2 ni mungkin over ! Eloklah para tetamu mendapatkan CD Dato Mohammad Fadzilah Kamsah terbitan Telaga Biru sdn Bhd ttg petua mengekalkan kasih sayang selepas berumah tangga, ada banyak petua.

Tuesday, September 20, 2011

……emak kamu sudah hilang….


Sedang saya menghirup air Nescafe panas di lobby hotel, dari dinding kaca, saya melihat seorang warga emas yang berumur lingkungan enam puluhan sedang berlegar-legar di luar hotel dan masih berpakaian ihram. Beliau kelihatan cemas dan gelisah. Saya menghampiri warga emas tersebut.

“Assalamu’alaikum,” sapa saya sambil menghulurkan tangan.

“Wa’alaikum salam,” jawab warga emas tersebut yang saya namakan Haji Kadir.

“Mengapa saya lihat pakcik cemas dan gelisah sahaja?” tanya saya.

“Saya kehilangan isteri,” jawab Haji Kadir yang masih cemas dan bimbang.

“Macam mana boleh hilang?” tanya saya lagi mohon penjelasan.

Haji Kadir pun menceritkan bahawa mereka suami isteri baru sampai dari Kuala Lumpur dan menginap di hotel yang sama dengan saya. Mereka turun semula ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah mereka. Iaitu mengerjakan tawaf dan saie serta bertahallul. Ketika melakukan saie, beliau dan isterinya terpisah. Setelah selesai saie, Haji Kadir cuba mencari isterinya, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke hotel dan dengan harapan isterinya sudah kembali ke hotel. Namun isterinya belum juga pulang. Di dinding hotel berhadapan kaunter pelayan, saya lihat jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi.

Haji Kadir mengeluarkan telefon bimbitnya. Kelihatan beliau menekan butang-butang telefon bimbitnya dengan berhati-hati. Saya jangkakan beliau mahu menalifon isterinya yang mungkin tersesat. Tetapi jangkaan saya meleset.

“Assalamu’alaikum,” Haji Kadir memberi salam.

“Kamu sudah bagun atau belum?” tanya Haji Kadir.

“Tolong Min, ……emak kamu sudah hilang…..,” ucap Haji Kadir sebak.

Saya menghampiri Haji Kadir dan mengusap-ngusap belakangnya.

“Entah, ayah tidak tahu emak kamu pergi mana. Ayah perasan masa buat saie, emak kamu sudah tidak ada,” terang Haji Kadir, mungkin kepada anaknya di Malaysia.

“Minta tolong bacakan Yassin ya, minta dia balik…..,” sambung Haji Kadir.

Saya tergamam seketika.

Saya memikirkan apa jalan dan langkah yang dapat saya bantu Haji Kadir. Simpati saya bukan sahaja kepada Haji Kadir dan isterinya, tetapi juga kepada anak-anaknya dan saudara-mara di kampung. Jika di Mekah pukul 1.30 pagi bermakna di Malaysia sudah hampir subuh, iaitu 5.30 pagi. Anak-anaknya sudah pasti terkejut besar ketika itu mendapat berita emak mereka hilang di Mekah. Kegelisahan mereka sudah dapat saya rasakan dan bayangkan. Begitu juga halnya jika ia berlaku kepada saya, emak, Sobah, Uda dan Ucu. Anak-anak saya yang masih kecil itu sudah pasti tidak dapat menerima berita kehilangan ini. Apa lagi adik-beradik, ipar-duai dan saudara-mara di kampung.

Akhirnya saya cuba menenangkan Haji Kadir.

“Pakcik, mari kita duduk dan minum dulu,” pelawa saya sambil memimpin tangannya ke sofa tempat saya minum tadi.

Saya menuangkan air Nescafe yang sudah agak suam itu ke dalam cawan.

Peristiwa pertama ini mengajar saya erti kehidupan di Mekah sebagai seorang jemaah haji. Maklumat seharusnya perlu diketahui dan diingati. Maklumat struktur kawasan Masjidil Haram serta kawasan sekitarnya dan maklumat hotel penginapan juga perlulah difahami dan diamati sebelum keluar meninggalkan hotel.Terutama bagi mereka yang baru tiba di Mekah. Contohnya di Masjidil Haram. Hampir semua pintu kelihatan sama dan serupa. Jika tidak diamati nombor atau nama pintu yang mula-mula kita masuki, sudah pasti kita akan berpusing-pusing di dalam Masjidil Haram berjam-jam lamanya untuk keluar nanti.

Haji Kadir kelihatan sedikit tenang setelah menghirup dua cawan Nescafe saya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya telah membantu beliau untuk tenang seketika.

“Pakcik tidur dululah di bilik, nanti dia baliklah tu,” ujar saya, cuba untuk menenangkan Haji Kadir.

“Tidak mengapalah, kamu tidurlah dulu, pakcik hendak tunggu sampai isteri pakcik balik,” kata Haji Kadir semakin tenang.

Saya pun meminta izin beliau untuk keluar sebentar. Tujuan saya agar Haji Kadir dapat menenangkan perasaannya tanpa perlu menjawab soalan-soalan yang mungkin tidak cerdik dari saya. Saya akui, saya tidak mampu membantunya mencari isterinya yang hilang. Tetapi saya sudah mendapat ilham bagaimana untuk mengatasinya supaya ia tidak berlaku kepada kami sekeluarga pula. Ilham saya ialah, sekiranya ada diantara kami mahu meninggalkan kumpulan jika kami berada di Masjidil Haram, maka mereka perlulah berteman. Kemudian kenal pasti tempat-tempat berkumpul. Misalnya di kawasan air zam-zam yang menghadap Multazam dan pintu Ka’bah atau mana-mana tempat yang mudah untuk diingati dan dikenalpasti. Dengan bilangan orang yang jutaan jumlahnya, tentu sukar untuk kita mengenali ahli keluarga sendiri apabila hampir semua mereka berpakaian putih dan rupabentuk dekorasi mesjid yang sama.

Setengah jam kemudian, saya kembali semula ke dalam hotel. Saya dapati Haji Kadir sudah tiada di atas sofa tempat kami duduk sebentar tadi. Bekas air Nescafe saya masih di atas meja. Saya ambil bekas air tersebut dan berjalan kembali ke bilik hotel dengan doa dan harapan agar Haji Kadir sudah bertemu dengan isterinya.

Monday, September 19, 2011

Singgah Kedai sat......setelah Wukuf di Arafah

 


"Mari, mari, mari !,"
"Tengok dulu, tengok dulu!" panggil tuan kedai kepada kami yang berjalan beriringan menyusuri lorong Aziziah untuk pulang ke hotel.
Kami melemparkan senyuman melihat gelagat tuan-tuan kedai yang cuba berbahasa Melayu itu.
Sebahagian besar mereka adalah warganegara Bangladesh. Bukan Arab.
Masing-masing berlumba-lumba menawan hati jemaah yang lalu-lalang.
Namun berhati-hati dengan mereka.Kesopanan mereka boleh diragui....
terutama kepada jemaah wanita...(walaupun mereka tahu suami wanita itu ada disebelah)
Harga boleh dirunding.....biasanya tidak tetap
Saya biasa terkena,
Harga di kedai sebelah kurang 1 atau 2 Riyal dari dikedai yang saya beli
Yang paling menggelikan hati ialah,
apabila kami cuba tawar-menawar tetapi tetap tidak mahu membeli
maka dengan muka selamba mereka berkata;
"Bakhil!!!"
Kami tidak marah malah kami tergelak.....tak sangka tergamak mereka mengucapkan perkataan
tersebut dihadapan pelanggan.
Tak percaya?
Percayaaalahhh....

ILHAM LADUNI

 


Betapa di sisiku dulu kami bertiga sering bersenda


Kemudian tinggallah kami berdua mengisi ruang masa
santai dan ceria


Nordin Mohamed Salleh
11 November 2008


Mohamed Salleh bin Hashim
12 Jun 2010



Di sisi pusara ku ????
Tarikh : ?? / ?? / 2012
2014
2016
2018
2020
20??

Berikan ku Ya Allah Ilham Laduni
agar dapat ku telusuri
RedhaMu....

Mengimbau Siti Hajar antara Sofa dan Marwah

 


Sofa dan Marwah
peristiwa sejarah
di persada gersangnya tanah
Siti Hajar yang pasrah
dan Ismail yang masih merah


Perbukitan Sofa dan Marwah kami telusuri
tujuh pusingan kami gagahi
biar kematu jemari kaki
demi Siti Hajar dan Ismail
kami imbau lelahmu
bersama zam-zam kami basahi
keringat di bumi suci ini


Dan akhirnya kami lelah sendiri ....
Alhamdulillah tertunailah manasik Umrah wajib kami..




Artikel Dari: Portal Komuniti :: Ukhwah.com

http://www.ukhwah.com/

Assalamualaikum...secebis kisah sebagai tazkirah ...semoga mampu menjadikannya bukan sekadar satu bacaan...tetapi satu motivasi untuk sama-sama kita hayati dan diamalkan..Insya Allah...

NABI Ibrahim dan Siti Sarah sudah lama berumah tangga, namun tidak dikurniakan zuriat. Siti Sarah mencadangkan supaya Nabi Ibrahim berkahwin seorang lagi dan merestui Siti Hajar menjadi madunya.

Pada mulanya, Nabi Ibrahim keberatan kerana cintanya terhadap Siti Sarah tidak luntur. Namun, Siti Sarah berkeras dan akhirnya, Nabi Ibrahim bersetuju memperisterikan Siti Hajar.

Apabila Siti Hajar hamil, Nabi Ibrahim amat gembira dan mengharapkan Siti Sarah turut berasa gembira. Namun, berita kehamilan Siti Hajar itu membuatkan madunya cemburu.

Kian hari, rasa cemburunya kian menebal, terutama selepas kelahiran Ismail hingga Siti Sarah mendesak suaminya membawa Siti Hajar dan anaknya jauh dari tempat itu.

Nabi Ibrahim dan Siti Hajar serta anak mereka lantas menuju ke Baitul Haram.

Siti Hajar adalah lambang wanita sejati yang taat kepada suami dan perintah Allah. Segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh Siti Hajar bersama anaknya kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang, adalah lambang kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri kepada peraturan suaminya.

Inilah iktibar kisah daripada al-Quran yang menggambarkan seorang isteri contoh yang menjadi lambang kewanitaan sejati. Kalau wanita Islam hari ini bersemangat kental seperti Siti Hajar, tentulah mereka akan sentiasa bahagia dan tidak akan mengenakan sekatan tertentu terhadap suami.

Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar, yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan suaminya, tidak syak lagi suatu contoh cukup baik untuk diteladani.

Kisah ketabahan Siti Hajar, turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat Islam menunaikan ibadat haji sekarang. Sebab itulah bagi jemaah yang berada di tanah suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau haji, mereka difardu atau dirukunkan selepas tawaf di Batitullah al-Haram, menunaikan sai iaitu berulang alik dari Safar ke Marwah sebanyak tujuh kali. Ia bertujuan mengingati kembali falsafah penderitaan yang ditanggung Siti Hajar itu.

Berikut adalah sebahagian kisah pengorbanan Siti Hajar.

Dalam bahang terik mata hari di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim, menunggang unta bersama Siti Hajar. Perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi gersang itu.

Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah itu. Selepas kira-kira enam bulan perjalanan, tibalah mereka di Makkah.

Nabi Ibrahim memilih sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.

Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari tadi kehausan, sedikit pun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu isterinya mengenai perintah Allah itu. Sepanjang perjalanan lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.

Selepas Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil merayu-rayu:

"Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini?"

Tanpa memandang wajah isterinya, Nabi Ibrahim hanya mampu menganggukkan kepala. "Oh... kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tidak sanggup ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."

Nabi Ibrahim menjawab: "Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu..."

Siti Hajar bertanya lagi: "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"

Kepiluan dan kesedihan Nabi Ibrahim, hanya Allah yang tahu. Katanya: "Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah."

Apabila disebut perintah Allah, Siti Hajar terdiam. Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah, masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ.

Siti Hajar sedaya upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah. Namun hatinya masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah itu? Ketika gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat Allah, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelosok dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah.

Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan Allah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan pengorbanan. Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti Hajar berkata kepada suaminya: "Jika benar ia adalah perintah Allah, tinggalkanlah kami di sini. Aku reda ditinggalkan." Suara Siti Hajar mantap sambil mengesat air matanya.

Ditabahkan hatinya dengan berkata: "Mengenai keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."

Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian dikucupnya, minta reda di atas segala perbuatannya selama mereka bersama. "Doakanlah agar datang pembelaan Allah kepada kami," kata Siti Hajar.

Nabi Ibrahim terharu dan bersyukur. Isterinya, Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa: "Ya Tuhan kami. Aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka daripada buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."

Menitis air matanya mendoakan keselamatan anak dan isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan padu pada janji Allah, ditunaikan juga perintah Allah walaupun risiko yang bakal dihadapi adalah besar.

Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi Ibrahim terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka terus kepada Allah. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang berlaku.

Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga kering sama sekali.

Anaknya Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering kontang itu?

Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.

Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air.

Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.

Tubuhnya keletihan berlari ke sana ke mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail.

Pada waktu itu gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah untuk anakku."

Selepas peristiwa itu, kabilah yang berlalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Makkah) kerana dekat dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah. Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan Islam gemilang dan Makkah menjadi tumpuan manusia.

KURSUS HAJI PERDANA MESJID NEGERI SHAH ALAM-25 DAN 26.9.2010

Apabila mendapat tawaran mengerjakan haji, saya hampir-hampir kehilangan punca. Tanpa menghadiri mana-mana kursus dari pihak Tabung Haji atau Agensi pengendali haji, dengan ketiadaan ilmu manasik haji, apa yang mampu saya lakukan nanti di Tanah Suci? Fikiran saya hampir buntu. Namun kerjasama yang diberikan oleh Sobah, Ucu, emak dan Uda, sedikit sebanyak membina semula semangat saya.

Mereka membekalkan buku-buku rujukan, DVD Kursus haji bersiri, disamping buku-buku hadiah dari Tabung Haji. Selain dari buku-buku tersebut saya turut membeli beberapa buah buku lain sebagai pembakar semangat dan mencari kekuatan ilmu pengetahuan tentang manasik haji. Saya juga banyak membuat rujukan di laman-laman ‘blog’ serta maklumat-maklumat tentang Kota Suci Mekah dan Madinah. Dan apabila mendapat jemputan ke Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Selangor, saya segera bersiap sedia. Tidak sabar lagi rasanya untuk mengikuti kursus tersebut.
Anak-anak, kami tinggalkan bersama Kak Long. Setelah menjamu selera tengahari di rumah emak, dan bersolat zohor di Mesjid Imam At-Tirmizi, saya, emak, Ucu dan Sobah bergerak ke Shah Alam menaiki Innova kepunyaan Ucu. Hujan turun dengan agak lebat petang itu. Saya dapat melihat di perkarangan mesjid terdapat replika seakan-akan Jamrah. Namun replika Ka’bah tidak kelihatan.
Selepas mendaftar kami ditempatkan di Dewan Solat tingkat bawah mesjid. Kami semua dikehendaki mengenakan pakaian ihram dan dibahagikan mengikut Maktab. Kami mendapat Maktab bernombor 4. Mengikut maklumat yang kami terima, peserta yang mengikuti Kursus Haji Perdana ini dihadiri lebih dari 3000 orang bakal jemaah haji tahun 2010. Suasana pendaftaran berjalan lancar biarpun bakal jemaah datang berpusu-pusu mendaftar dan mendapatkan cenderahati.
Sekitar 3.30 petang, Taklimat Praktikal Ibadah Haji diberikan oleh Ketua Pembimbing yang berpengalaman luas dan sangat dikenali oleh mereka-mereka yang pernah mengikuti kursus-kursus haji bersama beliau. Beliau ialah Ustaz Haji Samsudin Sidek. Selesai taklimat, kami menunaikan solat asar berjemaah.
Tepat jam 5.30 petang, kami telah diarahkan mengikut maktab masing-masing keluar dari mesjid dan terus ke bahagian pakir kereta bersebelahan mesjid. Kami akan melakukan praktikal ibadah umrah, iaitu tawaf, saie dan tahallul. Semua peserta beratur dan kelihatan peserta menjinjing selipar masing-masing sebelum keluar dari perkarangan mesjid. Kami sememangnya telah dipesan dari awal agar membawa uncang atau plastik bagi mengisi kasut dan selipar. Kami juga diberi ingatan agar tidak memasang apa-apa niat sewaktu memulakan latihan praktikal ibadah umrah tersebut.
Sambil bertalbiah kemudian kami berjalan diketuai oleh ‘mutawwif’ melalui pakir di belakang mesjid. Kelihatan dari jauh, satu replika Ka’bah berukuran 10 X 10 kaki di tengah-tengah bulatan berbentuk kawah besar. Di sisi replika Ka’bah tersebut terdapat juga lukisan berbentuk ‘Hajar Aswad’ dan tulisan ‘Rukun Yamani’. Bersebelahan replika Ka’bah terdapat replika ‘Hijir Ismail’ dan ‘Makam Ibrahim’. Kami berjalan beriring-iringan mengelilingi ‘Ka’bah’ tersebut dengan tujuh kali pusingan. Saya memerhatikan keadaan sekitar. Walaupun peserta hanya 3000 orang lebih, tetapi gambaran sebenar seolah-olah kami berada di dataran Ka’bah di Mekah sedang bertawaf. Cuma kami semua tidak bertolak-tolak dan berebut-rebut untuk mencium lukisan ‘Hajar Aswad’.
Melalui pembesar suara, Ustaz Samsudin, terus memberikan penerangan dan motivasi kepada peserta-peserta. Walaupun telah diingatkan supaya memakai kain ihram, terdapat juga peserta-peserta berpakaian biasa, bersama-sama melakukan praktikal berkenaan. Mungkin mereka terlupa atau tertinggal kain ihram agaknya. Biarpun selepas hujan lebat, saya dan Ucu yang pertama kali mengenakan kain ihram, berpeluh juga kami dibuatnya. Namun semangat melakukan latihan praktikal tetap kami teruskan. Memandangkan kami tidak dibenarkan turun ke dataran replika ‘Ka’bah’, maka jauh jugalah kami berjalan membuat 7 kali pusingan.
Sambil berjalan kami membaca doa-doa yang telah disediakan di dalam buku doa haji, hadiah dari Tabung Haji dan buku yang kami beli, walaupun di hadapan, ‘mutawwif’ turut membantu kami berdoa. Tetapi kerana suaranya yang tenggelam timbul, akhirnya kami ikut sahaja buku doa. Selesai 7 pusingan kami bertawaf, kami diarahkan pula melakukan saie.
Emak keletihan. Di tepi tempat pakir berkenaan, terdapat beberapa buah kerusi batu, lalu kami duduk berehat. Mencungap jugalah dengan 7 pusingan tawaf tersebut. Sekitar 5 minit kami berehat, kami meneruskan praktikal ibadah saie pula. Dari hujung pakir yang berhampiran mesjid ditulis ‘Bukit Safa’. Di hujung pakir yang satu lagi yang ditulis ‘Bukit Marwah’. Jarak antara kedua-dua ‘bukit’ kira-kira 100 meter. Terdapat juga lampu hijau yang dipasang pada empat batang tiang besi. Dua di kiri dan dua di kanan tempat kami melakukan praktikal saie tersebut. Lampu hijau diletakkan dalam jarak 20 meter perjalanan saie berkenaan.
Dari ‘Bukit Safa’ kami berjalan sambil membaca doa-doa yang terdapat di dalam buku doa yang kami bawa. Sampai di lampu hijau pertama, kami bakal-bakal jemaah haji lelaki, berlari-lari anak hingga ke lampu hijau yang ke dua. Kemudian kami berjalan semula hingga ke ‘Bukit Marwah’. Begitulah yang kami lakukan sehingga lengkap tujuh kiraan. Tujuh kiraan yang dimaksudkan adalah seperti berikut, perjalanan pertama ialah dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit Marwah’. Perjalanan kedua pula ialah dari ‘Bukit Marwah’ ke ‘Bukit Safa’. Perjalanan ke tiga pula bermula dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit Marwah’. Begitulah kiraan yang seterusnya hingga tujuh perjalanan. Ini bermakna kiraan pertama perjalanan, bukan bermaksud dari ‘Bukit Safa’ ke ‘Bukit marwah’ dan kembali semula ke ‘Bukit Safa’.
Dari pengalaman mereka yang pernah menunaikan haji, terdapat juga jemaah-jemaah yang keliru dan tidak tahu di mana Bukit Safa dan di mana terletaknya Bukit Marwah, ketika di Masjidil Haram. Kekeliruan ini boleh menyebabkan saie yang dilakukan terbatal. Apabila saie terbatal, maka ‘tahallul’ tidak boleh dilakukan. Sekiranya jemaah haji didalam ihram, ‘Dam Takhyir dan Taqdir’ turut dikenakan kerana menggugurkan rambut dengan sengaja. Iaitu menyembelih seekor kambing di Tanah Haram atau bersedekah kepada 6 orang fakir miskin di Tanah Haram, dengan 2 cupak makanan setiap seorang, atau berpuasa di Tanah Haram selama 3 hari. Maka mengenali kedudukan Bukit Safa dan Bukit Marwah semasa mahu menunaikan haji atau umrah adalah satu kemestian. Jika tidak, sia-sia sahajalah haji dan umrah yang dilakukan.
Untuk mengenal pasti di manakah terletaknya Bukit Safa, jemaah haji atau umrah hendaklah melihat dahulu kedudukan Rukun Hajar Aswad. Selari dengan kedudukan Rukun Hajar Aswad di situlah terletaknya Bukit Safa.
Kali ini praktikal ibadah saie sungguh-sungguh mencabar iman kami. Dengan kain ihram yang diikat dengan tidak berapa kemas, kami diminta berlari-lari anak. Pengalaman menyaksikan ada peserta kursus yang hampir-hampir terlucut kain ihramnya dan peserta kursus yang menggunakan kain ihram yang agak nipis sungguh melucukan. Begitulah keadaan sebenar yang saya rasa sedikit sebanyak memberikan ilmu dan pengalaman berguna kepada kami semua.
Selesai kami melakukan praktikal ibadah saie, Kami dikira telah bertahallul. Kemudian kami dibenarkan menanggalkan kain ihram. Kami kembali semula ke dewan mesjid untuk persiapan diri bagi solat maghrib. Untuk mandi sahaja kami terpaksa beratur panjang. Walaupun tandas dan bilik air banyak terdapat di sana, tetapi tidak dapat menampung peserta pada waktu puncak. Disiplin peserta sangat dibanggakan. Mereka tidak bertolak-tolak dan berebut-rebut dalam setiap keadaan yang mendesak. Begitu juga ketika makan malam. Cuma mungkin kerana jumlah peserta yang hadir tidak seperti yang dijangkakan, makanan untuk malam itu tidak mencukupi. Namun peserta yang tidak mendapat bungkusan makanan tidak pula melakukan sesuatu yang diluar batasan. Mereka tetap bersabar menunggu. Sehingga selesai solat isyak barulah makanan tambahan tiba.
Program diteruskan dengan forum perdana pada pukul 9.00 malam. Beberapa tetamu jemputan terkenal memberikan motivasi dan pedoman bermanafaat untuk bakal-bakal haji dan hajjah seperti Dato Haji Kamaruddin Zakaria, bekas Imam Besar Mesjid Negara dan Ust Samsudin Sidek sendiri. Selesai forum perdana, peserta sekali lagi diminta berpakaian ihram untuk melakukan praktikal Wukuf di Arafah, mabit di Muzdhalifah, mabit Mina dan melontar di Jamrah. Padang Arafah disimbolikkan tempat perkumpulan para jemaah di dalam dewan mesjid. Sama seperti praktikal umrah siang hari, kami berkumpulan mengikut maktab masing-masing dan berjalan ditengah malam itu pergi mengutip batu ditempat-tempat yang telah dikhaskan. Batu yang dikutip dimasukkan ke dalam uncang yang kami bawa. Ini adalah praktikal ‘Mabit di Muzdhalifah’. Kemudian kami berjalan pula untuk praktikal melontar di jamrah. Pergerakan manasik haji sewaktu praktikal masyair haji, selesai kami lakukan sekitar jam 12.00 malam.
Kami tidur dalam keletihan yang amat sangat. Diketika inilah sebahagian besar peserta tidur dengan bunyi dengkuran yang berbagai nada. Terasa lucu sekali. Mungkin inilah barangkali bunyi dengkuran yang akan kami nikmati sewaktu di Tanah Suci bersama-sama rakan sebilik nanti agaknya.
Ketika jam menghampir pukul 4 pagi, kami sudah dikejutkan untuk program Qiyamullail. Sungguh mencabar sekali saya rasakan. Keletihan dan rasa mengantuk mengasak minda saya. Selesai qiyamullail saya sempat tidur sambil duduk menunggu solat subuh. Selesai solat subuh dengan berpakaian biasa peserta-peserta melakukan praktikal ibadah tawaf dan saie sekali lagi. Tanpa bimbingan dari Ustaz Samsudin selaku Ketua Pembimbing Kursus Haji Perdana, bakal-bakal haji dan hajjah, kelihatan mampu melakukan praktikal tersebut dengan penuh disiplin.
Pengalaman melakukan secara praktikal ibadah haji dalam kursus ini benar-benar telah menyuntik semangat saya. Saya kira peserta-peserta lain pun begitu juga. Emak banyak membantu kami melalui pengalaman beliau sewaktu tawaf, saie dan melontar. Ia memberi rangsangan dan motivasi yang mantap.
Dalam sesi ‘Rumusan dan Ulasan Latihan Amali’, Ketua Pembimbing, Ustaz Samsudin dengan cara dan gayanya yang santai dan berjenaka, memberikan panduan dan teguran. Beberapa panduan yang masih saya ingat dan saya sendiri alami ialah berkenaan dengan ‘ampai kain’. Ustaz berpesan, agar bakal haji membawa tali ampaian untuk menyidai kain basuhan sewaktu di tanah suci. Beliau juga turut menasihatkan, kena banyak bersabar dalam hal tersebut. Ini katanya berlaku apabila tali ampaian yang telah kita pasangkan, akhirnya bukan pakaian kita yang tersidai. Tetapi jemaah lain mengambil kesempatan berkongsi ampaian. Inilah yang berlaku kepada saya semasa di hotel Elaf Al-Sud, Mekah. Akhirnya saya terpaksa menggunakan tali ampaian emak untuk membuat ampaian lain.
Ustaz juga menceritakan kisah lucu dimana setiap jemaah haji berkemungkinan besar juga mengalami sakit tekak, batuk dan sebagainya. Jemaah yang sakit tekak telah datang berjumpa doktor di klinik Tabung Haji yang disediakan di Mekah. Rupa-rupanya doktor yang merawat jemaah tersebut juga mengalami masalah sakit tekak. Maka mereka berdua bercakap seperti suara ‘itik nila’.
Saya pernah membaca sebuah buku himpunan cerita dari majalah Mastika bertajuk ‘Koleksi Terbaik, Cerita Dari Mekah’. Saya bersetuju dengan tulisan ‘Sekapur Sirih’ dari Datuk Ustaz Haji Md Daud Che Ngah. Ada yang berpendapat cerita-cerita pengajaran yang dipersembahkan kepada khalayak hanyalah cerita dongeng dan sekadar untuk menakut-nakutkan bakal jemaah haji dan umrah. Mereka yang merasa berdosa walaupun mampu dan memang berhajat untuk mengerjakan haji, tertahan niat mereka kerana membaca cerita-cerita tersebut. Seolah-olah cerita-cerita pengajaran itu menghalang orang ramai dari menunaikan Rukun Islam yang ke lima.
http://www.darussyifa.org/biodata.php (click untuk lihat biodata Tuan Guru)
Hakikatnya, di dalam Al-Quran sendiri, sebahagian besarnya adalah menceritakan sejarah umat-umat terdahulu yang kufur dan engkar. Atas kekufuran mereka Allah timpakan azab dan siksa yang tidak terperi sakitnya. Apakah cerita dari Al-Quran itu menghalang orang dari
Datuk Ust Hj Mad Daud Che Ngah
berpusu-pusu dan berbondong-bondong masuk Islam? Benarkah cerita-cerita iktibar yang benar-benar terjadi yang dirakamkan oleh Allah melalui maa’laikat Jibrail kepada Rasulullah menjadikan umat manusia takut dengan agama Islam? Kisah benar yang berlaku di benua Eropah, agama Islam adalah agama yang paling cepat berkembang. Malah angka setiap hari orang memeluk agama Allah ini semakin bertambah.
Begitu jugalah tentang cerita-cerita benar yang diceritakan sendiri dari pengalaman mereka yang menempuhnya seperti Datuk Dr Harun Din dan Datuk Ustaz Haji Md Daud Che Ngah. Semua mereka ikhlas menceritakan pengalaman-pengalaman aneh, untuk dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua umat Islam, terutama mereka yang berhasrat menjejakkan kaki ke 2 Tanah Haram kepunyaan Allah itu. Kisah-kisah pengajaran ini, sebenarnya telah saya baca semenjak saya bersekolah lagi. Ia banyak mengajar saya erti kebesaran Allah, tuan yang Empunya Ka’bah. Sifat-sifat sombong, angkuh, berkelahi kerana harta, memakan harta anak yatim, bergelumang dengan dosa perempuan dan arak, bercakap besar dan berbagai lagi cerita pengajaran yang ditulis itu sedikit sebanyak telah mencorak kehidupan saya waktu itu. Walaupun waktu itu saya tidak terfikirkan untuk pergi mengerjakan haji. Tetapi hasil pemahaman dari bacaan tersebut, membendung akhlak saya walaupun sedikit tetapi berkesan. Sehingga saat ini saya masih ingat cerita-cerita tersebut. Lantas ketika kaki semakin hampir untuk menjejaki Tanah Haram, kisah-kisah itu saya jadikan pedoman dan panduan sepanjang pengembaraan cinta saya.

CHECK LIST BARANG-BARANG YANG PERLU DIBAWA

 


CONTOH SENARAI BARANG-BARANG YANG PERLU DIBAWA
1. Senarai barang-barang dalam beg besar / beg pakaian (20 KG)

NO
PERKARA

CATATAN
1
Kain Ihram-2 pasang
L
1 blh beli di Mekah
2
Tali pinggang-1
L

3
Baju t-shirt haji-4 helai
L

4
Baju Melayu-2 helai @ jubah 2 helai
L
Jubah beli di sana
5
Seluar Sukan-2 helai
L / P

6
Kain pelikat berjahit 2 helai
L

7
Kain pelikat tidak berjahit 1 helai
L
(Utk tidur / mandi)
8
Tuala mandi / kecil
L / P

9
Lampu suluh kecil
L / P
Beli di sana
10
Uncang batu
L / P

11
Uncang kasut
L / P
Pakai beg plastik
12
Ubat batuk
L / P

13
Ubat sakit tekak / strepsil / Vicks / Gamat
L / P
Beli lebih blh sedekah
14
Telekong - 3 pasang
P

15
Tudung – ikut keperluan
P

16
Penyangkut baju – 5
L / P
Boleh dapat percuma di kedai
17
Plastik kecil + tisu – masukkan tisu ke dlm plastik kecil
L / P
Utk buang kahak ketika di mesjid
18
Mask – Penutup mulut (wanita ihram X)
L / P

19
Marker pen, masking tape
L / P
Utk pos barang – kotak minta pada kedai
20
Stokin – Lelaki Ihram X –wanita digalakkan pakai 2 lapis. Nak solat tanggalkan yang luar
L /P
Lelaki boleh pakai selepas ihram utk tawaf sunat
21
Selipar - pastikan patuhi larangan ihram
L / P

22
Kasut – Lelaki Ihram X
L / P
Penting untuk berjalan ke Mina
23
Baju sejuk (Utk P-Shj ketika di Muzdalifah)
L / P

24
Set gunting, pengetip kuku
L / P

25
Sejadah kecil
L / P
guna utk di mesjid/karpet kotor
26
Berus gigi / siwak
L / P

27
Mesin gunting rambut -
L
Boleh buat pahala semasa di Mina
28
Hand Phone + 2 Bateri –
L / P
sentiasa dicas penuh
29
Payung kecil
L / P
Kurangkan terdedah kepada panas
30
Khauf – sejenis kasut bersarung dari kulit nipis-boleh beli di Mekah (7 / 10 SR) Juga boleh buat simpanan jika selipar hilang

L / P
Kecuali lelaki dlm ihram – dipakai ketika tawaf sunat. Kerana asid pencuci lantai sangat cepat memberi kesan kepada tapak kaki yang kering.



2. SENARAI BARANG DALAM BEG GALAS ( 5 KG) UNTUK DIBAWA DALAM PESAWAT

NO
JENIS BARANG
NO
JENIS BARANG
1
Buku Ibadat Haji, Umrah & Ziarah
8
JP Haji / tinggalkan salinan kpd waris
2
Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji
9
Botol Spray-solat atas bas kalau jem
3
Buku Doa –TH- Biru
10
Al-Quran – pastikan tidak terjejas kemuliaannya
4
Buku Panduan Perjalanan Jamaah Haji
11
Sunglasses
5
Ubat-ubatan dalam perjalanan jauh
12
Tuala kecil- alas ketika wudhu’dlm pesawat
6
Lencana Pengenalan Haji (Name tag)
13
Buku Panduan Praktis Haji & Umrah
7
Kalender Hijrah kecil / buku nota
14
Tali cermin mata
Perempuan : boleh bawa baju / towel mandi / Stokin / Telekong, kerana bila sampai Mekah nanti beg besar lambat hantar kebilik. Boleh pergi bersihkan diri dulu sebelum persiapan buat Umrah


3. PASTIKAN SEMUA BEG SUDAH DI TULIS PADA SARUNG BEG SEBELUM DIIKAT;

1. NAMA, 2. NO PASPOT, 3. NO (KT) KAPAL TERBANG, 4. ALAMAT DI MALAYSIA, 5. NO TELEFON DI MALAYSIA.

- Kad Pengenalan, lessen memandu, kad bank dan lain-lain tidak perlu dibawa
- Pastikan setiap beg tidak dikongsi bersama terutama suami dan isteri.
- Jangan masukkan barangan logam, cecair yang melebihi 100ml/grm ke dalam beg galas atau beg yang dibawa bersama ke dalam pesawat. Masukkan ke dalam beg pakaian
- Letak gambar pada beg sandang