Islamic Widget

Thursday, March 29, 2012

Pesanan Buat Para Hujjaj

Wahai Haji / Hajjah, Mulakan Amalan Baik Kamu.

Dr. Abdul Wahhab Bin Nasir Al-Turairi.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ketika matahari hampir ghurub (terbenam) pada petang hari Arafah, Rasulullah saw sedang mengangkat dan menadah luas kedua tangannya yang mulia. Baginda berdoa dalam keadaan penuh khusyu’, khudhu’ dan merendah diri. Kemudian dilepaskan tangannya turun dan berpaling ke arah Bilal seraya berkata: “Wahai Bilal, arahkan manusia semuanya agar diam!”

Bilal pun menyeru sekelian manusia agar diam. Maka semua hati pun memerhatikan, telinga menajamkan pendengaran, dan mata memandang ke arah Rasulullah saw yang menyeru mereka;

“Sesungguhnya Jibrail telah datang kepadaku, memberi khabar gembira; bahawa Allah swt telah menerima golongan yang baik dari kamu dan memaafkan golongan yang tidak baik dari kalangan kamu serta menghapuskan dari kamu kesalahan”.

Ketika mendengar berita gembira tersebut, Sayyidina Umar bin al-Khattab lantas bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah kelebihan ini khas untuk kita (yang berada di sini pada hari ini) atau umum untuk semua manusia?

Sabda Nabi saw: “Bahkan umum untuk semua manusia”.

Umar pun berkata: “Banyak sekali kebaikan (yang diberi) oleh Tuhan kami”.

Betapa indahnya khabar gembira (busyra) yang disampaikan oleh Nabi saw, yang menyelinap masuk ke dalam hati para hujjaj (jemaah haji) yang sedang berwuquf di Arafah, beberapa saat sebelum berangkat ke Muzdalifah. Maka berbungalah harapan mereka, seolah-olah mereka dibawa naik ke langit, dan telah diringankan kesalahan dari mereka, serta diberkati kebaikan yang mereka lakukan.

Sebagaimana terserlahnya busyra, khabar gembira dari Nabi saw, menunjukkan luasnya rahmat Tuhan dan curahan kasih sayang Tuhan yang tidak terhingga. Demikian juga terdapat banyak lagi nas-nas dari hadis yang menyebut tentang berita gembira dan limpahan rahmat Allah swt.

Ketika ‘Amru bin al-‘As datang untuk memeluk Islam di hadapan Rasulullah saw, Baginda telah bercakap dengannya, dan menghulurkan tangannya yang mulia untuk mengikat setia (baiah) di atas Islam, tetapi ‘Amru telah menarik tangannya.

Nabi pun bertanya: “Kenapa wahai ‘Amru? Jawabnya: Saya mahu meletakkan satu syarat. Kata Nabi: Syarat apa yang kamu mahu? Jawab ‘Amru: Syaratnya, bahawa Allah swt mengampunkan dosa saya. Sabda Nabi saw: “Wahai ‘Amru, apakah kamu tidak tahu bahawa Islam (yang kamu anuti) akan menghapuskan kesalahan yang lalu, dan hijrah akan menghapuskan kesalahan yang lalu, dan haji akan menghapuskan kesalahan yang lalu”.

Sesungguhnya haji menghapuskan semua kesalahan dan dosa-dosa yang lalu, sebagaimana Islam menghapuskan semua kesalahan kufur.

Sabda Nabi saw yang seumpama itu juga: “Sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan rafath (perkara yang berkait dengan seks), tidak melakukan kefasikan (kejahatan, maksiat), akan keluar dari dosa-dosanya seperti hari dilahirkan oleh ibunya”.

Haji merupakan kelahiran baru bagi seorang manusia. Apakah kamu tahu bahawa ada anak yang baru dilahirkan ke dunia ada dicatatkan dalam surat amalannya dosa yang dilakukan, atau kesalahan yang dilakukan!

Ingatlah, bahawa seorang yang telah melakukan haji kembali dari hajinya dalam keadaan sahifah (surat amalannya) bersih, seolah-olah dia baru keluar ke alam dunia dari perut ibunya.

Kepada semua mereka yang telah melakukan haji ke Baitullah al-Haram, berwuquf di tempat berwuquf, tempat yang Allah swt curahkan rahmat. Kepada mereka yang telah menadahkan tangannya di perhimpunan yang agung, mendedahkan kepalanya, menanggalkan pakaiannya diganti dengan dengan dua helai kain ihram dengan penuh tawadhu’ dan kehinaan kerana Allah swt.

Bergembiralah, bercita-citalah dengan apa yang kamu suka, maka khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah saw adalah benar, janji Allah swt adalah haq (kepastian), firman Allah swt:

{Itulah kelebihan yang Allah swt anugerahkan kepada mereka yang dikehendakinya, dan Allah swt mempunyai kelebihan yang agung}.

Wahai Haji / Hajjah!

Kamu telah menyeru Tuhan Yang Maha Agung, Memiliki Kebaikan lagi sangat Pemurah, tidak ada dosa yang tidak diampunnya (selain syirik), tidak ada kelebihan yang tidak dianugerahkannya, maka elokkan sangkaan kamu dengan Tuhanmu, kuatkan sangkaan baik kamu, kerana Tuhanmu mengikut sangkaan kamu. Anugerah Allah swt melebihi apa yang kamu angan-angankan, kemurahannya lebih luas dari pemintaan kamu.

Kamu telah menyeru (berdoa) kepada Tuhan kamu, yang kalau kamu menghampiri-Nya sejengkal, Dia akan menghampiri kepada kamu sehasta, kalau kamu menghampiri-Nya sehasta, Dia akan menghampiri kepada kamu sedepa, kalau kamu menghampiri-Nya berjalan, Dia akan datang kepada kamu berlari. (Kata-kata ini menunjukkan betapa cepatnya Allah swt memperkenankan permintaan hamba-Nya).

Kamu telah mengharapkan pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang berada di Mauqif (Arafah) sedangkan kamu salah-seorang dari kalangan mereka. Allah swt berbangga-bangga dengan mereka kepada malaikat – Allah swt lebih mengetahui pada hakikatnya – dengan berfirman: “Apa yang mereka mahu? Mereka datang dalam keadaan kusut masai, berdebu-daba, duduk di bawah panas matahari. Saksikanlah wahai para Malaikat: Aku telah memberi keampunan kepada mereka”.

Harapkan pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang berada di Mauqif (Arafah) dalam keadaan tidak menutup kepala, (sedang kamu bersama di antara mereka) Allah I berfirman: “Keluarlah kamu daripada Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu”.

Harapkanlah pahala yang Allah anugerahkan kepada hamba-Nya yang kamu hadir di musim ibadat ini, hadir bersama kamu orang yang kusut masai, berdebu-daba, manusia yang tidak dikenali dan tidak dipedulikan kehadirannya, tetapi kalau salah seorang dari mereka bersumpah nescaya Allah swt akan sempurnakan sumpah mereka, maka Allah swt menerima amalan mereka dan orang yang bersama mereka, “Itulah kaum yang tidak melakukan perkara tidak baik kepada orang yang bersama mereka”.

Wahai Haji / Hajjah,

Bersangka baiklah dengan Tuhanmu, jangan sekali-kali membuat sangkaan kecuali sangkaan kebaikan. Antara “husnuzzan” dengan Tuhan kamu, ialah kamu sangka dengan penuh yakin bahawa Tuhan telah menerima haji yang kamu lakukan, mengampuni dosa engkau, memperkenan doa engkau, menggandakan anugerah kepada engkau. Sesungguhnya Allah swt tidak minta kamu datang kecuali untuk menerima amalan kamu, menghapuskan dosa kamu, membersihkan surat amalan (Sahifah) kamu, apa sahaja yang kamu sangka, sesungguhnya limpahan kurnia Allah swt lebih luas dari sangkaan dan angan-angan kamu.

Demikianlah keadaan orang-orang soleh dan para ulama’ yang beramal dengan ilmu di perhimpunan yang besar ini.

Berkata Abdullah bin Al-Mubarak rhm: “Aku datang bertemu Sufyan Al-Thauri pada petang hari Arafah, dia sedang duduk di atas lututnya, mengalir air matanya, beliau berpaling kepadaku, aku pun bertanya kepadanya: Siapakah orang yang paling tidak baik dalam perhimpunan ini? Jawabnya: Orang yang menyangka Allah swt tidak mengampunkan dosa mereka”.

Diceritakan dari Al-Fudhail bin ‘Iyadh rhm, beliau telah memerhati kepada manusia dan tangisan mereka pada petang hari Arafah. Beliau pun berkata: “Apa pandangan kamu, kalau semua mereka itu berjalan kepada seorang lelaki meminta daripadanya “daniq” (satu perenam dirham), apakah dia akan menolaknya? Jawab sahabatnya: Sudah tentu tidak. Katanya: Demi Allah, keampunan Allah swt lebih mudah untuk diberikan kepada hamba-Nya daripada lelaki tersebut”.

Aku berdoa kepada Allah swt, memohon kemafaan-Nya,

dan aku mengetahui bahawa Allah swt memaaf dan mengampunkan.

Sekiranya dosa itu dianggap besar oleh manusia, tetapi sesungguhnya,

walau sebesar mana pun, dalam rahmat Allah swt ia adalah kecil.

Saudara Haji / Saudari Hajjah,

Pekakkan telinga kamu dari mendengar nasihat yang menyempitkan jalan kamu kepada Allah swt, menyempitkan rahmat Allah swt yang sangat luas, memutuskan harapan manusia dari diterima amal soleh mereka. Apabila kamu melakukan amalan dengan bersunguh-sungguh, kemudian ada orang berkata: “Bukanlah yang diambil kira itu amalan yang kamu lakukan, tapi apa yang diterima oleh Allah swt. Kamu tidak tahu amalan kamu diterima atau tidak?” Seolah-olah qabul amalan itu suatu perkara yang hanya bergantung kepada nasib (hazh/bahagian), seseorang itu tidak tahu dia dapat atau tidak? Bukankah ini suatu bentuk putus harap dari rahmat Allah swt?

Sesungguhnya keyakinan kita dengan Allah swt ialah yakin bahawa setiap amalan soleh yang dilakukan kerana Allah swt maka jalannya ialah diterima (qabul) dan digandakan. Sesungguhnya Allah swt sangat mulia dan pemurah dari menolak amalan hamba-Nya yang dilakukan secara ikhlas kepada-Nya. Sesiapa yang bersangka selain daripada ini dengan Allah swt maka dia telah membuat sangkaan yang tidak baik terhadap Allah swt.

Firman Allah swt: {Allah swt tidak mengazabkan kamu sekiranya kamu bersyukur dan beriman, sesungguhnya Allah swt Maha Menerima syukur dan Maha Mengetahui.} [An-Nisa’: 147]

Wahai Haji / Hajjah,

Tahniah untuk anda, Busyra, dan Qurratu ‘Ain! Maka sesungguhnya dengan melakukan haji ini kamu telah dilahirkan dengan kelahiran yang baru, kamu telah meninggalkan segala dosa dan segala kesalahan sepanjang umur yang lepas, kamu telah kembali dari dosa seperti hari kamu dilahirkan oleh ibu kamu. Maka jadikan selepas haji ini kehidupan yang baru, berinteraksilah (bermuamalah) dengan Allah swt dengan amalan yang soleh. Mulalah hidup baru maka perkara yang lepas telah selesai, oleh itu kukuhkan amalan kehidupan yang akan datang.

Ketahuilah – Semoga Allah swt memberkati kehidupanmu selepas ini – bahawa bukan syarat qabul amalan itu menjadikan kamu “Ismah”, terpelihara dari dosa selepas ini. Atau dengan sebab mengerjakan haji kamu mesti mengurangkan sifat kemanusiaan dan naik taraf kehidupan para Malaikat yang tidak bernafsu lagi.

Bukan seperti itu, kerana perbuatan itu diluar dari kemampuan engkau walau sekuat mana pun percubaan kamu.

Tetapi mulakanlah kehidupan selepas haji ini dengan kehidupan yang baru setelah engkau membuang kesalahan yang lepas di belakang kamu.

Mulakan hidup baru dengan penuh harapan dan tunduklah kepada kehendak Syariat Allah swt; perbanyakkan amalan ketaatan, bermujahadah melawan nafsu meninggalkan maksiat.

Sekiranya engkau tergelincir ke lembah maksiat, maka segera dan terus kamu susuli dengan kebaikan; “Ikutilah dengan kebaikan yang akan menghapuskan kesalahan”.

Maka setiap kebaikan, jalannya ialah gandaan pahala, dan memperbanyakkannya. Setiap kesalahan pula jalannya ialah dengan meminta ampun dan menghapuskannya.

Tidak ada orang yang membinasakan dirinya dengan berbuat maksiat kepada Allah swt melainkan dia pasti akan binasa.

Akhi Haji / Ukhti Hajjah,

Para salafussoleh (orang soleh zaman dahulu) apabila bertemu dengan jemaah haji yang baru pulang mereka akan memintanya supaya berdoa, dengan berkata: Mintalah ampun kepada kami! Kerana mereka kembali dari mengerjakan haji dalam keadaan tidak berdosa, maka ini adalah yang diqabul doa.

Maka saya menyambut kepulangan tuan/puan dengan maqalah ini, dengan memohon agar kamu mendoakan semua saudara Islam kamu agar Allah swt mengampunkan dosa mereka, mencurahkan hidayah ke dalam hati mereka, memperbaiki kehidupan mereka, menjauhkan perkara yang tidak baik dari mereka serta Allah swt menjaga mereka sebagaimana Allah swt menjaga orang-orang soleh dikalangan mereka.

Wassalamu’alaikum..

Akhukum,

Abu Anas Madani,

Al-Mis-yal, Makkah al-Mukarramah, 20 Zulhijjah 1432H – 16 Nov. 2011

Friday, March 23, 2012

Tips Sempoi Menggunakan Tasbih

Assalamua’laikum,




Tips Sempoi Menggunakan Tasbih…

Pengalaman ketika berada di Mekah menjadikan saya begitu kecanduan tasbih. Minggu pertama sahaja saya sudah ada 2/3 tasbih. Tidak ada perasaan ria’ ketika di sana. Hampir semua jemaah haji memegang tasbih. Hatta polis, pemandu bas dan pekerja ‘cleaner’ juga menggunakan tasbih. Ianya sudah membudaya sejak sekian lama di dua Tanah Haram itu.

Kembali ke tanah air, tasbih dah tak tahu kat mana diletakkan. Semuanya kembali kepada asal. Puncanya, memegang tasbih bukan budaya di sini….mungkin takut ria’, ujub dan sebagainya. Apa lagi hendak menggunakan tasbih berdigit. Bunyinya sahaja ‘clik’ ‘clak’ sudah ada orang yang jelling-jeling kat kita….

Tasbih sudah menjadi hiasan di dinding, cermin kereta dan disimpan untuk koleksi….hampir tidak digunakan langsung. So pesan saya, sapa-sapa yg nak pegi haji nanti, jangan hadiahkan tasbih, fikirkanlah hadiah yg lebih bermanfaat untuk sipenerima dan pemberi.

Tips sempoi saya menggunakan tasbih ialah;

1. Ambil mana-mana tasbih

2. Jumlahkan hanya sebelas (11) biji sahaja

3. Jalinkan manik-manik tasbih tersebut

4. Ikatkan kesemuanya dan tidak perlu ada penanda berbulu (ini bermakna jika anda menggunakan tasbih tersebut, anda akan terus bertasbih sehingga anda berhenti. Tidak perlu membilang jumlah berapa banyak yang telah anda tasbihkan….(buat amal pun kena berkira ke? sorry…terlepas)

5. Apabila siap, anda dapati tasbih anda lebih kecil

6. Ianya mudah untuk dimasukkan kedalam kocek seluar dan boleh dibawa kemana-mana

7. Tidak seperti tasbih yang berjumlah 33 dan 100 biji. Terjuntai panjang…nampak lah pulak ria’nya…

Selamat mencuba…..semoga Naungan Allah bersama kita diketika tidak ada naungan selain dari naunganNya….amin.

Wassalam

Paklang

p/s Hendak seribu saya….

Tips Mencari Ketenangan Sepanjang Hari....




Assalamua’laikum,




Tips mencari ketenangan sepanjang hari…..



Kita mungkin bukanlah seorang hamba Allah yg sempurna beribadat kepadaNya. Malah kita adalah antara hambanya yang selalu tidak punya senggang waktu untuk bermunajat dimalam hari, berpuasa sunat, berzikir, solat Dhuha dan sebagainya. Maka jiwa kita sering kecundang dengan keduniaan dan terlalai. Resah gelisah dan keluh kesah. Saya mencadangkan satu tips mudah. Dan mudah-mudahan ia bermanfaat untuk anda khasnya dan kita semua sebagai warga amnya.

Cubalah tips ini setiap hari sepanjang anda berada di pejabat, dirumah atau di dalam kenderaan. Anda akan lihat sedikit-demi sedikit Insyaallah manfaatnya yang banyak dan yang tidak akan anda terjangkakan. (Maaf ini bukan surat berantai….hanya Tips sahaja. Yang memberi ketenangan itu hanya Tuhan yang Empunya Ka’bah sahaja) Usahalah langkah sedikit ini…semoga ada keberkatannya.



1. Cari mana-mana MP3 bacaan Al-Quran sebaik-baiknya Al-Fatihah atau ayat2 lazim.

2. Masukkan ke dalam komputer anda

3. Gunakan Media Player atau Real Player untuk membuka bacaan Al-Quran tersebut

4. Tahapkan volumenya sekadar untuk halwa telinga sahaja (sepoi-sepoi angin gitu!)

5. Bukan untuk ria’ dan menunjuk2 (Udah le tak faham, pasanglak kuat2! Sebab itu saya cadangkan surah Al-Fatihah/ayat2 lazim. Sekurang2nya kita faham maknanya dengan mudah)

6. Clik pada ‘Turn repeat On’

7. Teruskan pekerjaan anda

8. Tidak perlu fokus pada bacaan Al-Quran tersebut

9. Biarkan ia berulang-ulang dengan sendiri

10. Tanpa anda sedari ‘roh’ anda sedang ‘menghadamkan’ ayat-ayat Al-Quran tersebut, Insyaallah

11. Boleh juga gunakan Hand Phone anda dan pasangkan dengan volumenya sayup-sayup disebelah telinga anda sehingga anda terlelap. Please jangan gunakan earphone, nanti terbelit wayar kat leher…(aku jugak yang salah….)



Ini sekadar tips sahaja…tidak bermakna anda tidak perlu buat ibadah!!! (main dengar MP3 je mana nak jadi!!!)



Semoga bermanfaat, Insyaallah, amin.



Wassalam



Doa untuk Al-Faqir Ilallah,

Paklang

Thursday, March 22, 2012

Santapan Rohani


"Demi Tuhan yang rohku dalam tanganNya, tidak beriman sesiapapun antara kamu hinggalah dia inginkan kebaikan bagi saudaranya seperti mana dia inginkan kebaikan itu untuk dirinya sendiri."

Hadis Bukhari dan Muslim