Islamic Widget

Tuesday, September 20, 2011

……emak kamu sudah hilang….


Sedang saya menghirup air Nescafe panas di lobby hotel, dari dinding kaca, saya melihat seorang warga emas yang berumur lingkungan enam puluhan sedang berlegar-legar di luar hotel dan masih berpakaian ihram. Beliau kelihatan cemas dan gelisah. Saya menghampiri warga emas tersebut.

“Assalamu’alaikum,” sapa saya sambil menghulurkan tangan.

“Wa’alaikum salam,” jawab warga emas tersebut yang saya namakan Haji Kadir.

“Mengapa saya lihat pakcik cemas dan gelisah sahaja?” tanya saya.

“Saya kehilangan isteri,” jawab Haji Kadir yang masih cemas dan bimbang.

“Macam mana boleh hilang?” tanya saya lagi mohon penjelasan.

Haji Kadir pun menceritkan bahawa mereka suami isteri baru sampai dari Kuala Lumpur dan menginap di hotel yang sama dengan saya. Mereka turun semula ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan umrah mereka. Iaitu mengerjakan tawaf dan saie serta bertahallul. Ketika melakukan saie, beliau dan isterinya terpisah. Setelah selesai saie, Haji Kadir cuba mencari isterinya, tetapi tidak berjumpa. Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke hotel dan dengan harapan isterinya sudah kembali ke hotel. Namun isterinya belum juga pulang. Di dinding hotel berhadapan kaunter pelayan, saya lihat jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi.

Haji Kadir mengeluarkan telefon bimbitnya. Kelihatan beliau menekan butang-butang telefon bimbitnya dengan berhati-hati. Saya jangkakan beliau mahu menalifon isterinya yang mungkin tersesat. Tetapi jangkaan saya meleset.

“Assalamu’alaikum,” Haji Kadir memberi salam.

“Kamu sudah bagun atau belum?” tanya Haji Kadir.

“Tolong Min, ……emak kamu sudah hilang…..,” ucap Haji Kadir sebak.

Saya menghampiri Haji Kadir dan mengusap-ngusap belakangnya.

“Entah, ayah tidak tahu emak kamu pergi mana. Ayah perasan masa buat saie, emak kamu sudah tidak ada,” terang Haji Kadir, mungkin kepada anaknya di Malaysia.

“Minta tolong bacakan Yassin ya, minta dia balik…..,” sambung Haji Kadir.

Saya tergamam seketika.

Saya memikirkan apa jalan dan langkah yang dapat saya bantu Haji Kadir. Simpati saya bukan sahaja kepada Haji Kadir dan isterinya, tetapi juga kepada anak-anaknya dan saudara-mara di kampung. Jika di Mekah pukul 1.30 pagi bermakna di Malaysia sudah hampir subuh, iaitu 5.30 pagi. Anak-anaknya sudah pasti terkejut besar ketika itu mendapat berita emak mereka hilang di Mekah. Kegelisahan mereka sudah dapat saya rasakan dan bayangkan. Begitu juga halnya jika ia berlaku kepada saya, emak, Sobah, Uda dan Ucu. Anak-anak saya yang masih kecil itu sudah pasti tidak dapat menerima berita kehilangan ini. Apa lagi adik-beradik, ipar-duai dan saudara-mara di kampung.

Akhirnya saya cuba menenangkan Haji Kadir.

“Pakcik, mari kita duduk dan minum dulu,” pelawa saya sambil memimpin tangannya ke sofa tempat saya minum tadi.

Saya menuangkan air Nescafe yang sudah agak suam itu ke dalam cawan.

Peristiwa pertama ini mengajar saya erti kehidupan di Mekah sebagai seorang jemaah haji. Maklumat seharusnya perlu diketahui dan diingati. Maklumat struktur kawasan Masjidil Haram serta kawasan sekitarnya dan maklumat hotel penginapan juga perlulah difahami dan diamati sebelum keluar meninggalkan hotel.Terutama bagi mereka yang baru tiba di Mekah. Contohnya di Masjidil Haram. Hampir semua pintu kelihatan sama dan serupa. Jika tidak diamati nombor atau nama pintu yang mula-mula kita masuki, sudah pasti kita akan berpusing-pusing di dalam Masjidil Haram berjam-jam lamanya untuk keluar nanti.

Haji Kadir kelihatan sedikit tenang setelah menghirup dua cawan Nescafe saya. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya telah membantu beliau untuk tenang seketika.

“Pakcik tidur dululah di bilik, nanti dia baliklah tu,” ujar saya, cuba untuk menenangkan Haji Kadir.

“Tidak mengapalah, kamu tidurlah dulu, pakcik hendak tunggu sampai isteri pakcik balik,” kata Haji Kadir semakin tenang.

Saya pun meminta izin beliau untuk keluar sebentar. Tujuan saya agar Haji Kadir dapat menenangkan perasaannya tanpa perlu menjawab soalan-soalan yang mungkin tidak cerdik dari saya. Saya akui, saya tidak mampu membantunya mencari isterinya yang hilang. Tetapi saya sudah mendapat ilham bagaimana untuk mengatasinya supaya ia tidak berlaku kepada kami sekeluarga pula. Ilham saya ialah, sekiranya ada diantara kami mahu meninggalkan kumpulan jika kami berada di Masjidil Haram, maka mereka perlulah berteman. Kemudian kenal pasti tempat-tempat berkumpul. Misalnya di kawasan air zam-zam yang menghadap Multazam dan pintu Ka’bah atau mana-mana tempat yang mudah untuk diingati dan dikenalpasti. Dengan bilangan orang yang jutaan jumlahnya, tentu sukar untuk kita mengenali ahli keluarga sendiri apabila hampir semua mereka berpakaian putih dan rupabentuk dekorasi mesjid yang sama.

Setengah jam kemudian, saya kembali semula ke dalam hotel. Saya dapati Haji Kadir sudah tiada di atas sofa tempat kami duduk sebentar tadi. Bekas air Nescafe saya masih di atas meja. Saya ambil bekas air tersebut dan berjalan kembali ke bilik hotel dengan doa dan harapan agar Haji Kadir sudah bertemu dengan isterinya.

1 comment:

Izan said...

salam.. apa kesudahannya yer... ? saspennnya...