Islamic Widget

Friday, December 02, 2011

BAGAIMANA SETELAH HAJI?


Sewaktu kecil dahulu, setiap kali ada yang baru balik daripada haji, pasti penulis dibawa menziarahi jemaah tersebut.

Pastinya juga kepala akan diusap-usap sambil dibacakan doa dan kemudian dihembus perlahan-lahan oleh jemaah tersebut yang menyebabkan ibu bapa akan kelihatan lega dan gembira.
Begitulah mungkin yang dikatakan mengambil berkat jemaah yang baru pulang menunaikan haji.
Malah dikatakan hendak mengambil bau 'syurga' yang dibawa dari Mekah. Sedangkan bau wangi tersebut tidak lebih sekadar bau minyak atar yang dicalit pada pakaian jemaah tersebut.
Begitupun bagi orang yang mengerjakan haji dalam usia yang relatifnya masih muda, Murat Shahrin, 41, pengalaman yang dilalui tentunya sukar dilupakan sehingga kini.
"Ini termasuklah sejurus menjejakkan kami semula ke tanah air. Ramai yang mengunjungi kami suami isteri. Mereka sangat mengharapkan kami mendoakan agar mereka pula berpeluang mengerjakan haji.
"Sedangkan saya sendiri merasakan siapalah saya untuk mendoakan yang demikian. Tetapi saya cukup terharu atas kepercayaan yang diberi. Sememangnya saya akan sebut nama si polan dan sipolan supaya tibalah gilirannya untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti," katanya yang tinggal di Rawang, Selangor.
Sebenarnya kata Murat, sejak tersebarnya berita dia akan ke Tanah Suci, ramai rakan dan saudara mara menghubungi dan menemui beliau untuk berkirim doa buat mereka.
Ini termasuk doa untuk dibacakan di hadapan Kaabah, kala berdoa selepas solat, ketika berwuquf sehinggalah ketika berziarah ke makam Rasulullah.
"Saya rasa diri ini sangat kerdil. Tentulah saya perlu bertaubat dengan sebenar-benarnya, barulah saya memohon kepada Allah akan doa-doa yang dikirim oleh mereka itu," katanya.
Alhamdulillah kata Murat, berkat doa mereka di tanah air membolehkannya menyempurnakan haji pada tahun lalu dan selamat kembali ke tanah air dalam keadaan sihat.
"Jadi apabila mereka mengunjungi kami sejurus sampai ke tanah air, saya sangat gembira walaupun keletihan.
"Ini kerana berkat doa mereka juga saya dapat mengerjakan haji dengan sempurna, insya-Allah.
"Malah saat berada di hadapan Kaabah, saya benar-benar sebak dan menitis air mata mengenangkan doa dan harapan kawan-kawan yang membolehkan saya akhirnya dapat berdiri di hadapan rumah Allah," jelasnya.
Mungkin pada asalnya segala-galanya mampu dilakukan sendiri oleh Murat, iaitu bermula dengan menanamkan azam untuk mengerjakan haji pada usia 40 tahun.
Kemudian mengumpul simpanan sehingga cukup ke Tanah Suci pada tahun lalu mengikut muasasah.
"Kalau diikutkan jalan ke Mekah sudah terbentang luas di hadapan mata dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan lagi.
"Tetapi saya dapat merasakan berkat doa yang mengiringi, doa itulah menjadi penguat semangat kerana akhirnya saya sedar tanpa doa tersebut saya hanya mempunyai persediaan fizikal sahaja untuk ke sana," katanya.
Sebelum ini, beliau tidak nafikan setiap kali ada pulang bertemu mereka yang baru pulang dari mengerjakan haji dia pasti akan ziarah.
"Perkara pokok, meminta mereka yang baru balik dari Mekah itu doakan saya pula untuk ke sana dan mereka mendoakan.
"Tidak dinafikan sedikit sebanyak berkat dari doa jemaah ini jugalah yang membolehkan saya dan isteri dapat ke Tanah Suci," katanya.
Namun apabila beliau dipanggil dengan gelaran haji, Murat tidak menafikan beliau berasa serba salah.
"Memang berat rasanya memikul apabila dipanggil dengan pangkal Haji Murat itu walaupun ia bagus untuk tujuan mengingatkan kita," katanya.
Begitupun beliau sedar akan tanggungjawabnya mengekalkan 'perubahan' baik tatkala usia yang masih muda.
"Sebab itu saya berazam menunaikan haji pada usia 40 yang dikatakan 'hidup bermula pada usia 40' kerana saya mahu mulakan dengan cara yang baik dan penuh dengan keredaan Allah.
"Alhamdulillah, saya masih menganggap seperti saya baru pulang dari haji, seperti baru semalam saya pulang.
"Jadi ia mengingatkan saya supaya menjaga tingkah laku dan akhlak saya sebagai yang pernah menjadi tetamu Allah, sebesar-besar nikmat dan kurnia dari Allah yang pernah saya rasai," katanya

Utusan Malaysia 2.12.11

No comments: