Islamic Widget

Wednesday, March 26, 2008

25.3.2008 Pemergian Kak Milah



Dingin subuh itu aku dikejutkan oleh panggilan telefon dari emak. Dan jangkaan sudah pastinya jika deringan telefon awal pagi, pasti sesuatu yang mendukacitakan dalam proses kejadian atau sudah terjadi. Maka emak pun memberitahu Kak Milah anak Pak Ulung Joned telah kembali kerahmatullah. Ah...sungguh baru terasa kehilangan Abang Kassim. Kini Kak Milah pula dijemput Allah. Sudah ketentuan ajalnya. Kehilangan suami tujuh bulan lalu mungkin sedikit mencubit hati kecil Kak Milah.



Kak Milah yang kukenali adalah seorang surirumah sepenuh masa yang gigih membesarkan anak-anaknya. Kesemua anak-anak Kak Milah dan Abang Kassim menjawat jawatan yang mulia yang tinggi dalam kerajaan. Shahril yang sulung, seorang guru di Kuala Selangor. Khairul pula menjadi imam 2 di Mesjid Batang Berjuntai, yang berhampiran rumahnya, disamping menjadi warden sekolah tempat beliau mengajar. Begitu juga empat lagi adik beradik mereka. Semuanya bekerjasama membantu dan bergilir menjaga Kak Milah dan Abang Kassim. Yang bongsu, Rosnah juga tidak kurang memainkan peranannya menghantar Kak Milah ke hospital untuk rawatan cuci darah, disamping perlu pula bergegas ke ITM Shah Alam, tempat beliau bertugas.


Suatu ketika dahulu aku sering bercuti ke Kampung Kuantan. Dan setiap kali aku menaiki bas dari hentian bas Pudu Raya tempat persinggahan akhir ialah hentian bas Batang Berjuntai. Sementara menunggu bas dari Kuala Selangor tiba yang akan melalui Kampung Kuantan, aku akan ke gerai goreng pisang Abang Kassim. Dan sudah pastinya aku akan memperolehi goreng pisang lebih dari harga sebenar. Kami juga akan bersembang, bertanya khabar dan Kak Milah sudah sediakan satu bungkus goreng pisang panas untuk bekalanku dalam perjalanan.


Segalanya tinggal kenangan....
Semasa arwah Mat Selangor hidup. Sekiranya beliau balik ke Kampung Kuantan melalui jalan Sungai Buluh lama, sudah pastinya tempat singgah rehatnya adalah rumah Kak Milah. Aku pasti itu kerana aku juga turut sama menunggang motosikal dalam meredah hujan dan panas bersama abah. Abah tidak pernah lupa itu...dan pesanan abah hingga kini aku genggam erat sehingga ke akhir hayat.....Jangan lupa saudara mara....


Inilah batu nisan pusara Abang Kassim yang telah kembali ke Rahmatullah pada 3.8.2007


Semoga mereka berdua mendapat Rahmat dan Redha Allah hendaknya. Dimasukkan dalam golongan orang-orang yang dijanjikan Syurga Allah.



Kepada Abang Kassim dan Kak Milah,
Sampaikan salam kami anak-anak Mat Selangor kepada ayahanda kami Ahmad Bin Haji Salleh...
Kepada anak-anak Abang Kassim dan Kak Milah, suratan Ilahi sudah tertulis. Kami juga pernah kehilangan seperti kalian....teruskan perjuangan ibu bapa. Rapatkan ukhuwwah sesama sahabat kedua ibu bapa yang sudah pergi. Lindungi kesejahteraan persaudaran sekeluarga. Jangan sesekali bersengketa....





1 comment:

Anonymous said...

Aslmkm, mencelah setelah sekian lama, shikin sekeluarga rasa terharu dgn blog ni, semua yg berlaku dlm keluarga menjadi memori yg dpt ditatap oleh semua terutama anak2 dan cucu2. Shikin sekeluarga ucap takziah pada semua keluarga kak milah dan abg kassim, semoga rohnya dicucuri rahmat allah berpanjangan...amin.

Shikin Pak Pau.