Bersembang di lobby hotel dengan 3 orang pakcik dari Kedah. Mereka kelihatan sebaya. Umur dalam lingkungan 50an. Tiba-tiba seorang makcik masuk melalui pintu besar hotel.
“Hah, Dah balik pun Kak Mi!” kata salah seorang pakcik
“Kami rakan sekampung. Kak Mi tak ada waris. Dia datang dengan kami.”kata seorang lagi pakcik.
“Lama kami tunggu Kak Mi, dah siap buat tawaf dengan saie?” Tanya Pakcik yang pertama tadi.
“Nak buat lagu mana, nak masuk tak celuih, orang ramai.” Jawab makcik Mi.
Mereka merupakan jemaah dari Kedah yang baru tiba dari Jeddah. Pakcik bertiga tersebut sudah pun melaksanakan umrah wajib mereka. Sementara menunggu makcik Mi mereka berehat di lobby hotel. Jam menunjukkan pukul 2 pagi.
“Masyaallah, tak buat lagi?” Tanya ketiga-tiga Pakcik hampir serentak.
“Jadi makcik ni masih dalam ihram ni.” Kata saya menyampuk perbualan mereka.
“Ni dah pukul 2 ni, kami pun dah letih.” Kata Pakcik pertama yang kelihatan lebih berusia dari mereka bertiga.
“Tak apalah, saya cadangkan esok pagi-pagi pakcik temankanlah makcik Mi ni untuk buat umrah wajibnya. Sementara ni pakcik ngan makcik naik bilik dulu berehat.” Saya mencadangkan.
“Tapi makcik kena jaga pantang larang dulu, sebab makcik dalam ihram lagi ni,” sambung saya mengingatkan makcik Mi.
Ketiga-tiga pakcik dari Kedah itu menganggukkan kepala tanda setuju. Mereka pun bergerak ke lif untuk ke bilik mereka.
Esoknya ketika saya berjalan keluar dari lif hotel untuk membeli sarapan pagi, saya terserempak dengan ketiga-tiga orang pakcik dari Kedah tersebut bersama-sama makcik Mi berjalan keluar menuju masjidilharam. Sambil memberi salam dan bersalam dengan ketiga-tiga orang pakcik, saya mendoakan mereka agar mendapat haji mabrur. Beruntunglah makcik Mi kerana mendapat rakan sekampung yang mengambil berat keadaannya.
No comments:
Post a Comment