Islamic Widget

Monday, September 19, 2011

SAAT KEBERANGKATAN ( Bhg 2)

 

Saya, Ucu dan Angah telah berbincang melalui e-mail, apakah kami akan memakai kain ihram dari rumah atau memakainya ketika di Kelana Jaya. Bagi Ucu dia akan mengikut emak. Pendapat Angah pula terpulanglah kepada pendapat masing-masing yang mana lebih selesa. Cuma bimbang nanti jiran-jiran akan bertanya mengapa tidak berpakaian ihram. Bagi pendapat saya pula adalah lebih selesa berpakaian biasa dari rumah. Cuma semasa di Kelana Jaya sahaja saya akan memakai ‘izar’, iaitu kain ihram bahagian bawah. Tujuannya adalah memudahkan saya untuk bergerak ketika membawa beg-beg besar dan ‘bag pack’ yang berat-berat belaka ketika di Kelana Jaya dan KLIA nanti. Akhirnya saya membuat keputusan untuk hanya memakai ‘izar’ sahaja semasa di Kelana Jaya. Manakala kain ‘rida’ saya masukkan ke dalam bag pack yang akan dibawa bersama dalam pesawat.
Selesai solat asar, dengan berpakaian t-shirt serta berseluar sukan, saya berjalan ke rumah emak. Rupa-rupanya emak, Ucu, Uda dan Sobah sudah pun bersiap dengan pakaian ihram mereka. Akhirnya saya ditegur kerana tidak mengenakan kain ihram. Saya menerangkan tentang perbincangan kami bertiga serta tentang tiada kesalahan kerana tidak berpakaian ihram. Lagipun kami yang mengerjakan Haji Tamatuk tidak disyaratkan memakai ihram selagi kami tidak berniat ihram umrah. Kami Cuma akan berniat umrah ketika di dalam pesawat sebelum tiba di miqat Qarnul Manazil.
Penjelasan saya akhirnya diterima. Benarlah pendapat yang mengatakan bahawa, sebelum mengerjakan haji, ilmu haji perlulah diketahui dan dihadam serta dicanai semasak-masaknya. Kekeliruan mungkin sahaja boleh berlaku apabila jemaah diasak dengan teguran, pandangan serta pendapat yang berbagai. Penceramah haji juga pernah berpesan, ketika di Mekah atau Madinah, kemungkinan terdapatnya ustaz-ustaz yang tidak bertauliah adalah ramai. Mereka akan mendesak, mempertikai dan memperlekeh jemaah yang tidak bersependapat. Pesan penceramah itu juga, sekiranya berlaku kekeliruan atau masalah berkaitan ibadah haji, hendaklah segera bertanya ustaz atau ustazah (guru agama) yang bertugas dengan Tabung Haji di sana.
Kisah saya ini dapat diteladani mengikut keselesaan sendiri. Seperti kisah yang diceritakan oleh salah seorang tetamu jemputan semasa Forum Perdana, ketika kami menghadiri Kursus Haji Perdana tempohari. Kisah yang memberikan pengajaran dan sedikit lucu.
Ada seorang jemaah haji yang mengerjakan haji Tamatuk dan beliau akan menaiki pesawat terus ke Mekah. Maka beliau akan melakukan umrah wajib terlebih dahulu. Jemaah lelaki tersebut telah mengenakan ‘izar’ iaitu kain ihram yang menutup bahagian pusat ke bawah semasa di Kelana Jaya. Manakala satu lagi kain ihram ‘rida’ yang dipakai pada badan, telah beliau masukkan ke dalam beg besar, iaitu beg pakaian. Jemaah tersebut hanya memakai baju biasa sahaja. Ketika dalam pesawat setelah menghampiri miqat Qarnul Manazil, pengumuman pun dibuat supaya jemaah berniat haji atau umrah dan menjaga pantang larang ihram. Jemaah berkenaan terus menanggalkan bajunya sebelum berniat umrah. Tiba-tiba keadaan menjadi kecoh. Jemaah tersebut tidak dapat mencari satu lagi kain ihramnya untuk dibuat ‘rida’. Iaitu kain ihram yang digunakan untuk menutup bahagian badan. Setelah beberapa ketika, barulah beliau menyedari bahawa kain ‘rida’nya telah beliau masukkan ke dalam beg besar, iaitu beg pakaian yang telah diambil oleh pihak petugas semasa di Kelana Jaya. Beliau terlupa untuk mengalihkan kain tersebut ke dalam beg galas untuk dibawa bersama dalam pesawat.
“Maka jemaah haji itu terpaksalah berpakaian separuh bogel,” kata penceramah tersebut.
Saya menyerahkan dompet berserta, kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank kepada Angah untuk disimpan. Kunci van rusa saya, saya serahkan kepada Arifuddin, anak Kak Long. Jemaah haji tidak dibenarkan membawa kad pengenalan, lessen memandu dan apa juga dokumen penting yang langsung tidak diperlukan ketika berada di Mekah dan Madinah. Kekhuatiran berlaku kehilangan, keciciran dan sebagainya mungkin boleh mendatangkan masalah ketika pulang nanti. Cukup dengan pasport, visa haji, disamping gelang dan tanda nama yang perlu dibawa. Dokumen itu memang cukup penting di sana. Kehilangan dokumen-dokumen tersebut boleh mengganggu emosi dan perjalanan ibadah haji. Malah boleh menjejaskan haji jemaah sendiri apabila jemaah ditangkap dan dipenjarakan. Sehubungan itu jemaah haji hendaklah menjaga dokumen berkenaan seperti menjaga ‘nyawa’ sendiri. Jadual Penerbangan Haji telah saya berikan kepada Kak Long dan Angah awal-awal lagi.
Kami seharusnya perlu berada di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya 2 jam sebelum pendaftaran. Pendaftaran kami adalah pada puku 9.30 malam. Alhamdulillah perjalanan ke Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya tidak berlaku kesesakan. Kami tiba di sana 3 jam lebih awal. Bersama sanak-saudara, kami berehat dan meletakkan beg di khemah bersebelahan bangunan mesjid. Di tepi khemah terdapat kabin-kabin yang menempatkan pejabat sementara Tabung Haji. Pejabat-pejabat inilah yang akan memberikan segala dokumen perjalanan, hadiah dan cenderamata dari ‘Rakan Koperat’ Tabung Haji.
Ujian pertama bersesak-sesak sudah kami rasai di sini. Apabila waktu maghrib hampir masuk, kaum keluarga bersama-sama jemaah haji, bergelut dan berebut-rebut megambil wudhuk dan ke tandas. Manakala ketika dipanggil masuk ke bangunan pendaftaran, sekali lagi kaum keluarga bersama-sama jemaah haji bersesak-sesak. Alhamdulillah kami masih ada di bumi Malaysia. Rakyatnya tetap masih ada sikap timbangrasa dan tolak ansur. Saya tidak dapat bayangkan lagi pengalaman sebenar ketika di Tanah Haram. Saya hanya mendapat maklumat dari cerita dan pengalaman jemaah haji terdahulu dan dari pembacaan saya. Di sana keadaan seperti ini jauh berbeza. Manusia yang berjumlah 3 ke 4 juta orang, datang dari berbagai bangsa dan keturunan. Dalam hati saya tetap berdoa, semoga Allah memudahkan perjalanan kami dan ibadah kami di sana. Insyaallah.

No comments: