Islamic Widget

Wednesday, October 02, 2013

TAWARAN MENUNAIKAN HAJI


Hari pertama berpuasa Ramadhan 1431 Hijrah, Sobah menalifon saya memberitahu, Uda telah mendapat surat dari pihak Tabung Haji. Surat ‘Tawaran Untuk menunaikan Fardhu Haji (Terpilih)’ Musim Haji 1431H / 2010M’. Uda juga memberitahu beliau telah membuat semakan dengan pejabat Tabung Haji di Sungai Petani, Kedah, nama-nama lain yang mendapat tawaran. Nama-nama yang turut tersenarai adalah emak, Ucu, Sobah dan saya.

Saya agak terkejut dengan makluman dari Sobah tersebut. Ini kerana saya tidak menyangka, nama saya rupa-rupanya telah dimasukkan oleh Ucu dalam senarai surat rayuannya sebelum ini. Walaupun sebenarnya saya tidaklah bersungguh-sungguh menyatakan kepada Ucu untuk menyertakan sekali nama saya di dalam surat rayuannya. Namun itulah sebenarnya perancangan Allah. Saya kemudiannya menjadi serba salah. Antara gembira, keliru dan bersyukur.

Saya mengambil masa dua hari selepas berbincang dengan emak, Sobah dan adik-beradik yang lain, saya bermunajat. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi menunaikan haji dan menerima tawaran. Tawaran menjadi tetamu Allah yang paling istimewa. Sedangkan saya tidak merancang untuk pergi menunaikan haji, malah kursus haji bersiri pun tidak pernah saya hadiri. Tiba-tiba Allah menjemput saya menjadi tetamunya.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, Allah jugalah perancang yang terbaik. Terharu dan pilu sekali apabila mendapat tawaran istimewa itu. Sekiranya saya menolak tawaran tersebut, bermakna saya adalah hamba yang menolak rahmat Allah untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di dua Tanah Haram. Malah saya akan kerugian dengan keampunan Allah yang telah jelas diungkapkan di dalam Al-Quran serta hadis Rasulullah sewaktu Wukuf di Padang Arafah.

            Cinta yang telah lama berputik ini kembali segar berbunga. Kerinduan pada Ka’bah mengimbau nostalgia indah tatkala menadah kitab di hadapan tuan guru Haji Hafidz Selamat, Madrasah Islamiah, Jenderam Hilir. Selama umur ini ditelusuri saya hanya memandang potret dan lukisan wajah Ka’bah. Tidak terfikirkan bilakah pula mata ini sendiri dapat menatap, tangan ini dapat memegang dan bibir ini dapat mengucup Hajar Aswad permata syurga serta merangkul tubuh Ka’bah yang dilindungi baldu berwarna hitam itu. Beruntunglah orang-orang yang terpilih menjadi tetamu Ar-Rahman.

            ‘Terpilih’ menjadi tetamuNya bukan bermakna kita juga terpilih untuk mendapat haji yang mabrur. Tapisan yang Allah buat untuk semua tetamunya bukan diukur dengan mendapat surat tawaran ‘Terpilih’ dari Tabung Haji. Kriteria untuk menjadi tetamu yang istimewa diukur dari sejarah kehidupan sebelum keberangkatan, semasa melakukan manasik haji dan setelah pulang. Terpulanglah kepada kita apakah kita mahu jadi ‘seperti bayi yang baru dilahirkan’, atau menjadi ‘tetamu yang mengkhianati yang Empunya Ka’bah’.

            Mengkhianati yang Empunya Ka’bah, bermaksud, kita adalah tetamu yang terpilih. Terpilih dari jutaan manusia yang ada di muka bumi ini. Namun ketika berada di ‘rumahNya’, kita penuhkan rumahNya dengan sampah. Kita berbantah-bantah dengan tetamuNya yang lain. Kita membiarkan nafsu menguasai perasaan. Sedangkan yang Empunya Ka’bah telah berpesan,

            Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal” (Surah Al Baqarah : 197).

No comments: