Islamic Widget

Monday, September 19, 2011

Hajar Aswad yang tidak mampu kami kucup...

 

Kami selesai melakukan tawaf sekitar 45 minit. Saya meminta semua supaya meneruskan satu pusingan lagi sebagai meraikan rehlah, kedatangan kami ke sisi Ka’bah. Ketika ini kami merapatkan badan ke sisi Ka’bah. Selepas melepasi Hajar Aswad yang sememangnya tidak dapat kami gagahi untuk mengucupnya, kami menyusur ke Makam Ibrahim. Kami berlima bersama merapatkan diri ke dinding makam. Kemudian kami berensot pula ke Hijir Ismail. Dalam lengkungan Hijir Ismail ini kami tidak dibenarkan masuk. Lalu kami melepasi Rukun Iraqi dan Rukun Syami. Setibanya kami di Rukun Yamani kami diberikan kelapangan oleh Allah untuk menyentuh Rukun Yamani. Ketika inilah saya menarik tangan Sobah dan Uda untuk sama-sama menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah. Jelas ada air mata yang tumpah di pipi mereka berdua. Malah kami juga sempat mengucup dinding Ka’bah yang telah kami rindui selama ini.

Benar kami tidak mampu untuk berebut-rebut dan menolak-nolak jemaah lain semata-mata untuk mencium Hajar Aswad. Tetapi cukuplah bagi kami menyentuh Rukun Yamani dan dinding Ka’bah bagi merasai nikmat dari keizinan Allah yang maha agung ini. Titisan airmata kami tidak lagi dapat kami sekat dan bendung. Biarlah Ka’bah ini menjadi saksi bahawa kami terlalu amat rindu sepanjang hayat. Kami menghadapkan wajah ke arah Ka’bah ketika kami bersolat di tanahair. Tetapi kami tidak menyaksikan sendiri rupa bentuk Ka’bah yang sebenar. Tetapi hari ini kami bukan sahaja dapat melihat Ka’bah dengan dua biji mata, malah kami dapat menyentuh dengan tangan kami dan mencium Ka’bah. Itulah nikmat yang kami syukuri atas keizinan Allah jua.

No comments: