Islamic Widget

Thursday, September 22, 2011

"Makcik nak balik Kelantan!"


Malam itu masih awal. Saya berhajat untuk mendapatkan sedikit roti dan air teh. Turun ke lobby hotel saya terserempak dengan seorang makcik. Beliau kelihatan buntu. Tercengang-cengang seolah-olah mahukan bantuan. Sementara di lobby hanya ada saya dan sepasang suami isteri jemaah yang baru pulang dari mesjid. Mereka berdua duduk di sofa. Atas meja saya lihat ada cawan kertas teh tarik dan bungkusan roti. Mungkin mereka mahu berehat sebentar sebelum kembali ke bilik masing-masing.


Saya menghampiri makcik yang saya panggil makcik Khadijah.

“Nak, tolong makcik nak. Makcik hendak balik ke hotel,” kata makcik Khadijah.

“Makcik tinggal di hotel mana?” tanya saya.

“Tak tahu,” jawab makcik Khadijah, yang saya kira umurnya dalam lingkungan enampuluhan.

“Makcik ada bawa tanda nama?”

“Tidak,”

“Gelang?” tanya saya lagi.

“Pun tidak pakai,” jawab makcik Khadijah seolah-olah kesal.

“Makcik Maktab berapa?”

“81”

“Jadi macam mana boleh sampai sini?”

“Ikut kawan,”

“Kawan makcik duduk hotel mana?”

“Sini, maktab 80 katanya,” jawab makcik Khadijah.

“Hotel ini memang maktab 80 makcik, tetapi maktab 81, saya pun tidak tahu di mana,” saya cuba menerangkan.

“Makcik ingat maktab 81, mesti dekat-dekat dengan maktab 80 kan?” tanya makcik Khadijah pula.

Sambil tersenyum saya memberitahu makcik Khadijah,

“Betul hotel ini maktab 80, tetapi maktab 81 saya tidak pasti di mana,” jawab saya.

Makcik Khadijah kelihatan gelisah dengan jawapan dari saya.

“Habis macam mana makcik hendak balik?” kerisauan jelas pada wajah makcik Khadijah.

“Tidak mengapa, makcik duduk, nanti saya belikan air teh dan kita minum dulu,” ujar saya sambil mengajak makcik ke satu sudut yang mempunyai sofa.

Saya berjalan ke seberang hotel dan membeli dua cawan teh ‘Syair’ serta dua bungkus roti. Kembali ke hotel saya mempersilakan makcik Khadijah untuk minum serta menenangkan perasaan beliau yang mula kebimbangan dengan mengajak beliau berbual.

Makcik Kadijah memberitahu bahawa beliau baru sampai petang tadi ke Mekah. Beliau sudah melakukan tawaf dan saie umrah. Tetapi beliau terlupa jalan untuk kembali ke hotel beliau semula.

Pantas saya bertanya,

“Makcik sudah buat tawaf dan saie, sudah bertahallul atau belum?”

“Belum,” jawab makcik Khadijah.

“Astaghafirullah hal a’zim,” getus saya terkejut.

Segera saya mendapatkan sepasang suami isteri yang sedang berbual di sofa berhadapan dengan sofa kami.

“Kak minta tolong boleh tak?”

“Kenapa?” tanya suami isteri itu serentak.

“Makcik ini sesat, tetapi dia sudah tawaf dan saie, cuma belum bertahallul,” jawab saya yang juga agak cemas.

Bertahallul adalah rukun umrah. Iaitu bercukur bagi lelaki atau bergunting tiga helai rambut bagi perempuan selepas melakukan tawaf dan saie. Selagi tahallul belum dilakukan, bermakna umrah belum selesai. Dan makcik Khadijah masih didalam ihram. Beliau tidak boleh melakukan pantang larang dalam ihram.

Kakak yang saya minta tolong sebentar tadi, pantas mengeluarkan guntingnya dan terus membantu makcik Khadijah melakukan tahallul.

“Alhamdulillah,” kata saya kelegaan.

Saya benar-benar terharu dengan keadaan ini. Saya turut bersimpati dengan makcik Khadijah yang keseorangan dalam kesesatan jalan, tanpa bantuan. Malah ibadahnya juga kurang sempurna tanpa bantuan.

Tiba-tiba, seorang pegawai Tabung Haji masuk. Segera saya mendapatkannya.

“Tuan, makcik Khadijah ini sudah sesat. Dia tidak tahu nama hotel.”

Pegawai tersebut yang kelihatan keletihan saya persilakan duduk di sofa bersebelahan makcik Khadijah.

“Makcik ada bawa tanda nama?” soal pegawai Tabung Haji sama dengan soalan saya pada mula-mula tadi.

“Tidak, makcik terlupa,” jawab makcik Khadijah.

Pegawai berkenaan terus bertanyakan tentang gelang dan apa-apa maklumat tentang makcik Khadijah. Setelah dikeluarkan semua barang-barang di dalam beg sandang Tabung Hajinya, makcik Khadijah hanya mengeluarkan ‘Buku Kesihatan’ sahaja sebagai pengenalan dirinya.

Pegawai tersebut kelihatan tidak berpuas hati. Lantas mengingatkan makcik Khadijah supaya sentiasa membawa tanda nama dan gelang pengenalan, kemana-mana sahaja ketika berada di Mekah dan Madinah. Buku kesihatan tidak mempunyai maklumat tentang penginapan jemaah. Ia hanya merekodkan kesihatan jemaah sahaja.

Saya tatap wajah makcik Khadijah. Ada riak kekecewaan yang merisaukan saya. Kata-kata dan nasihat pegawai berkenaan seakan-akan menekan perasaan makcik Khadijah yang kebuntuan itu. Tiba-tiba…

“Makcik nak balik, makcik nak balik!” kata makcik Khadijah dengan agak kuat.

“Hantarkan makcik balik…,” sambung makcik Khadijah.

“Makcik nak balik mana? Hotel pun tak tahu!” kata pegawai tersebut.

“Makcik nak balik Kelantan!” ujar makcik Khadijah kecewa.

Saya lihat ada titis-titis jernih mengalir dikelopak mata makcik Khadijah.

Sebak…

Saya pun turut sebak…

Terus saya mencelah,

“Bertenang makcik, nanti saya bincang dengan pegawai ini,” saya cuba menenangkan perasaan makcik Khadijah dan perasaan saya sendiri.

Kesempatan itu saya ambil untuk berbincang dengan pegawai Tabung Haji.

Pegawai itu megeluarkan sekeping kertas dengan lakaran nama-nama dan nombor maktab. Maktab 81 terletak kira-kira 900 meter dari hotel saya. Akhirnya beliau bersetuju untuk menghantar makcik Khadijah balik ke hotelnya. Makcik Khadijah tersenyum.

Saya mengucapkan terimakasih kepada pegawai tersebut.

“Tidak ada kenderaan untuk bawa makcik ini?” tanya saya kepada pegawai Tabung Haji.

“Nampaknya terpaksa jalan kakilah makcik. Semua kenderaan sudah digunakan untuk menghantar jemaah yang sesat,” ujarnya.

“Sabar ya makcik. Nanti tuan ini akan hantar makcik balik,” pujuk saya.

Dengan penuh rasa kelegaan, terharu dan sebak, saya memberi salam kepada makcik Khadijah. Namun wajahnya masih ada masam dan cuka.

Sambil menjawab salam, makcik Khadijah bangun dan berjalan longlai di belakang pegawai Tabung haji.

No comments: