Islamic Widget

Monday, October 03, 2011

“Bukan encik, ini bukan bilik kami!” kata Pak Ngah.

Malam itu sekali lagi saya tidak dapat melelapkan mata. Setelah menelaah serba sedikit tentang manasik haji, saya turun ke lobby hotel. Biasanya saya akan melakukan bacaan santai diluar bilik hotel. Bilik kami terletak bersebelahan dengan lif. Disebelah lorong kanan terdapat meja sebesar meja computer. Disitulah saya selalunya membaca manasik haji atau membaca Al-Quran selain di surau hotel. Di lobby hotel saya menghempaskan punggung di atas sofa yang berhadapan dengan pintu masuk hotel. Dari situ saya dapat melihat jemaah yang baru pulang dari melakukan umrah sunat serta mereka yang baru hendak mencari-cari kenderaan untuk pergi ke Miqat. Miqat yang paling hampir ialah Tanaiem. Disitulah miqat yang paling popular, selain Ji’ronah dan Hudaibiah.


Aktiviti umrah sunat, biasanya jemaah haji akan memilih waktu awal pagi. Ini kerana panas waktu siang boleh mencapai sehingga 40 darjah celcius. Apabila selesai berniat umrah di Miqat mereka akan terus ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan saie pula. Jangkamasa untuk melakukan umrah sunat sekiranya bermiqat di Tanaiem ialah kira-kira 3 ke 4 jam. Kemudian terus solat subuh. Selesai solat subuh biasanya mereka akan balik ke hotel masing-masing bersarapan dan berehat. Selepas waktu asar barulah mereka kembali semula ke Masjidil Haram untuk solat maghrib dan isyak

Sedang saya memerhatikan gelagat jemaah yang berulang alik dengan aktiviti mereka, datang seorang pakcik menghampiri,

“Encik, boleh tolong Pak Ngah tak?”

“Tolong macam mana tu Pak Ngah?” tanya saya pula kepada jemaah lelaki tersebut yang membahasakan dirinya Pak Ngah.

“Kami dah sesat. Kami tidak tahu jalan hendak pulang semula ke hotel.” Jawab Pak Ngah

“Pak Ngah duduk maktab berapa?” saya bertanya lagi untuk kepastian.

“Maktab 78” jawab Pak Ngah.

Bersama-sama Pak Ngah terdapat dua orang lagi jemaah perempuan. Seorang kelihatan berumur lingkungan 80 tahun, manakala seorang lagi kelihatan sebaya dengan Pak Ngah, dalam lingkungan 60 tahun.

Saya minta izin untuk melihat kad nama Pak Ngah. Betul, Pak Ngah duduk di Maktab 78.

“Ni, macam mana Pak Ngah boleh datang sampai ke Maktab kami ni?” saya bertanya. Hotel yang saya tinggal ialah Maktab 80.

“Masa kami nak ke Masjidilharam, kami jalan kaki ikut terowong. Bila balik kami jumpa terowong, kami masuk terowong, kami sesat pulak sampai ke sini.” Terang Pak Ngah.

“Di Mekah ni Pak Ngah, ada banyak terowong. Silap masuk terowong, maka sesatlah,” balas saya.

“Habis, kami ni macam mana? Tak boleh ke encik hantar kami balik ke hotel?” tanya Pak Ngah.

“Tak ada kereta ke? Kami penat dah ni?” tiba-tiba jemaah wanita yang agak berumur itu bersuara dengan nada yang agak tinggi.

“Mak, kejap lagi encik ni tolong kita. Mak diam-diam sudah la” kata Pak Ngah.

Jemaah wanita yang agak berumur itu rupanya emak Pak Ngah. Dan yang seorang lagi adalah isteri beliau.

“Saya bukan pegawai tabung haji, saya jemaah haji, “ kata saya memaklumkan mereka. Kebetulan malam itu saya memakai ‘wind breaker’ yang mempunyai lambang jalur gemilang. Jadi mereka ingat saya adalah kakitangan Tabung Haji.

“Tak apalah, jom ikut saya kita cuba tanya pemandu teksi. Mungkin mereka lebih tahu di mana Maktab 78,” kata saya sambil berjalan mengiringi mereka keluar.

Ketika kami berdiri di tepi jalan, sebuah kereta berhenti. Bukan teksi tetapi kereta sapu. Pemandunya kelihatan muda. Setelah saya menunjukkan kad nama Pak Ngah, pemandu tersebut bersetuju untuk menghantar mereka balik ke hotel. Namun saya agak ragu-ragu dengan pemadu berkenaan. Ini kerana beliau bukanlah pemandu teksi, tetapi pemandu kereta sapu. Saya membuka pintu kereta dan mempersilakan Pak Ngah naik dahulu dan duduk dibahagian belakang. Kemudian dituruti oleh emak Pak Ngah dan isteri beliau. Saya masuk dan duduk dikerusi bersebelahan pemandu.

Menaiki teksi atau kereta sapu di Mekah atau di mana sahaja, saya sememangnya sangat berhati-hati. Pesanan yang kerap kami terima sama ada dari mereka yang telah menunaikan haji atau dari pihak Tabung Haji sendiri ialah sentiasa memastikan lelaki dahulu masuk ke dalam kereta. Ketika keluar dari kereta pula pastikan penumpang lelaki yang akhir sekali keluar. Juga pastikan duit baki dipulangkan terlebih dahulu sebelum keluar dari kereta.

Ingatan dan pesanan ini juga sebenarnya bukanlah untuk menakut-nakutkan jemaah haji. Cuma ia adalah lebih baik kita beringat-ingat sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Perkara ini mungkin pernah berlaku kepada jemaah haji suatu masa dahulu. Kerana itulah pihak berkenaan memberi ingatan, demi keselamatan jemaah juga. Cerita tentang jemaah wanita dilarikan, jemaah wanita diperkosa ketika tinggal berseorangan di dalam bilik hotel, jemaaah wanita dicabul di dalam lif, duit baki tidak di pulangkan dan berbagai lagi cerita yang sebenarnya adalah satu ingatan, yang menuntut jemaah haji berhati-hati dan berwaspada.

Pemandu kereta sapu berkenaan memang agak mahir dengan jalan-jalan di Mekah. Nampak ada keyakinan pada cara pemanduannya. Cuma ketika musim haji ini memang ramai penduduk di sini mengambil kesempatan melakukan kerja-kerja sampingan mereka. Berniaga, menjadi pemandu teksi sambilan, menjadi pekerja hotel, tukang masak muassasah dan sebagainya.

Kami di bawa melalui jalan King Abdul Aziz, melepasi terowong ke Arafah, sekitar setengah kilometer pemandu berkenaan membuat pusingan ‘U’, dan sekali lagi kami melalui terowong King Abdul Aziz. Kemudian pemandu mengikuti pula Jalan Ajyad dalam kawasan Misfalah. Kami diminta turun oleh pemandu apabila tiba pada satu simpang yang kelihatan beberapa orang anggota keselamatan Arab Saudi sedang bertugas. Dengan berbahasa Arab pemandu berkenaan meminta kami menyeberang kesebelah Jalan Ajyad. Katanya disitulah terletaknya hotel untuk Maktab 78. Saya menyerahkan 20 Saudi Riyal kepada pemandu berkenaan.

Kami berjalan melintasai anggota keselamatan dan menuju ke Hotel Al-Shohada.

“Al-hamdulillah!” kata Pak Ngah apabila melihat Jalur Gemilang yang diletakkan di hadapan hotel berkenaan.

Kami masuk ke dalam hotel. Saya mengiringi Pak Ngah, isteri dan ibu beliau sehingga mereka masuk ke dalam bilik masing-masing.

Sempat saya melihat waktu ketika itu dari telefon bimbit saya, menunjukkan pukul 2 pagi.

Ketika saya berjalan ke pintu lif untuk pulang, tiba-tiba Pak Ngah keluar dari bilik dan bersuara memanggil,

“Encik! Encik!”

“Kenapa Pak Ngah?”

“Bukan encik, ini bukan bilik kami!” kata Pak Ngah.

“Kalau bukan, macam-mana Pak Ngah boleh terus masuk saja tadi?” tanya saya kebingungan.

“Nombor bilik ni sama, tapi masa masuk tadi bukan kawan Pak Ngah yang ada dalam tu,” jawab Pak Ngah agak celaru.

“Baiklah, kalau macam tu mari kita cari lagi hotel lain, mungkin ada di sebelah,” kata saya.

Pak Ngah pun bergegas, memanggil isterinya dan ibunya yang juga masih terpinga-pinga di luar bilik, sambil memerhatikan kami.

Kami keluar dari hotel berkenaan. Ketika melalui pintu besar hotel, seorang petugas Tabung Haji tiba-tiba masuk. Terus saya ajukan masalah Pak Ngah kepada petugas berkenaan. Betul, Pak Ngah dan keluarganya tinggal di Hotel Al-Shohada, tetapi di bahagian sayap kiri. Bermakna, hotel Pak Ngah berada di bahagian belakang.

Berkali-kali Pak Ngah memohon maaf kepada saya. Saya hanya mampu tersenyum dan berdoa semoga mereka semua diberikan haji yang ‘mabrur’. Saya memerhatikan Pak Ngah, isteri dan ibunya mengikuti petugas Tabung Haji dari arah belakang meninggalkan saya yang masih tersenyum. Alhamdulillah, sesungguhnya inilah pengalaman dari jutaan kisah manusia yang sedang beribadah, menjadi tetamu agung di bumi penuh keberkatan. Semoga Allah mengampuni saya dan mereka semua yang menjadi tetamu istimewa.

No comments: