Islamic Widget

Wednesday, October 12, 2011

Nekad jumpa menteri nak tunai haji



oleh FARUSH KHAN-Sinar Harian

10/12/2011 9:38:31 AM





Seorang rakan karib telefon beberapa hari lalu; suaranya tersekat-sekat. Ingatkan ada kematian, rupanya beliau sedih sangat Lembaga Tabung Haji tutup akaun dia kerana ia tidak aktif lebih tujuh tahun.



“Saya kena buka akaun ahli baru dan daftar semula,” katanya. Itu perkara enteng. Beliau sudah pun mendaftar kembali; hari itu juga. Yang jadi masalah dan yang sangat menggores perasaannya ialah akibat penutupan akaunnya - atas kesilapannya sendiri kerana tidak mematuhi syarat - beliau kena tunggu sekurang-kurangnya 30 tahun lagi untuk menunaikan haji melalui muassasah (iaitu badan pengurusan jemaah haji).



“Usia saya sekarang 51 tahun. Maknanya saya kena hidup sampai umur 81 tahun untuk naik haji?”.



Tidak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis mendengar nadanya yang bagaikan separuh sinis, separuh kecewa.



Apa pun, syukur kawan saya ini tidak putus harapan.



“Insya-Allah saya akan daftar dengan pakej, mudah-mudahan dapat pergi tahun depan. Tak dapatlah diskaun RM4,300 (untuk mereka yang tunaikan kali pertama),” katanya.



Kalau tidak dapat juga pergi tahun hadapan, katanya, beliau nekad hendak pergi minta belas kasihan menteri atau siapa sahaja.



Saya doakan ALLAH tunaikan hajatnya itu.



Seorang lagi hamba ALLAH SMS saya dari Tanah Suci semalam menceritakan mengenai keadaan di Tanah Suci, yang agak berbeza dengan keadaan di negara kita.



“Ada jemaah sujud sahwi di hujung solat Subuh di Makkah dan Madinah kerana imam tidak baca qunut,” ceritanya, seolah-olah meminta jawapan. Saya tidak komen apa-apa mengenai perkara itu dan mencadangkan beliau tanya sahaja pada ustaz atau mutawif di Tanah Suci.



Sebenarnya, saya pernah membaca kisah bagaimana Imam Syafie (rahimahullah) ditanya makmum mengapa tidak membaca qunut ketika solat Subuh di masjid yang terdapat makam Imam Abu Hanifah (rahimahullah), di Baghdad, sedangkan Imam Syafie dikenali sebagai orang yang memfatwakannya sunat qunut itu.



Kepada soalan itu, Imam Syafie menjawab: “Saya menghormati pandangan tuan punya kubur.”



Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa dibanjiri umat hampir setiap ketika untuk menunaikan haji dan umrah dan tanpa syak, akan berterusan begitu hingga kiamat. Maka tentu sahajalah terdapat bukan sahaja perkara dan cara berbeza, tetapi pelbagai peristiwa suka dan duka.



Pada musim haji sekarang, kira-kira tiga juta umat berada di Tanah Suci itu.



Sejak jemaah haji Malaysia pertama berlepas 29 Oktober lalu, pelbagai cerita kita dengar, termasuk mengenai urusan pengendalian Tabung Haji yang cekap dan keazaman jemaah menjalankan ibadah sebaik mungkin.



Namun Sabtu lalu, seorang jemaah haji wanita Malaysia berusia 39 tahun, berasal dari Shah Alam, dipercayai terjatuh dari bangunan di Madinah.



Jenazah dikebumikan di Perkuburan Baqi’, dekat Masjid Nabawi. Al-Fatihah untuk Allahyarham.



Manusia merancang, ALLAH juga menentukan segalanya.



Semasa saya di Tanah Suci pada 1990, kira-kira 3,500 jemaah haji menjadi korban akibat pertembungan antara ribuan jemaah dalam terowong Muassim di Mina. ALLAH masih mahu biarkan saya hidup; maka saya terlepas kira-kira 10 minit di luar terowong ketika tragedi itu.



Beberapa tragedi lagi menyusuli. Pada 1995, khemah di Mina terbakar, dengan sekitar 300 orang pula terkorban.



Cerita kekecewaan juga banyak. Pada tahun 90-an, terdapat beberapa peristiwa mereka yang tidak melalui muassasah terkandas di lapangan terbang atau di pejabat-pejabat penganjur pakej haji di Malaysia kerana tidak mendapat visa ke Tanah Suci hingga ke saat akhir.



Bukan sahaja mereka kecewa tidak dapat menunaikan haji, bahkan wang untuk mendapatkan visa lesap; bukan ditipu, tetapi tidak dapat dituntut dalam kekalutan pemprosesan permohonan visa.



Ahli surau saya antara yang menerima nasib malang. Seorang yang pemurah, beliau bukan sekadar membayar wang kira-kira RM800 untuk visanya sendiri, bahkan sanggup meminjamkan kira-kira RM140,000 bagi pihak hampir 80 bakal haji untuk membolehkan mereka mendapat visa. Kesimpulannya, semua, termasuk dirinya, terkandas kerana tidak mendapat visa dan sebahagian besar wang yang didahulukan itu lesap dalam proses permohonan visa.



Saya berdoa dan percaya ALLAH akan membayar pengorbanan sahabat saya itu dengan ganjaran pahala berlimpah-ruah dan jannah.



Insya-Allah, saya pun sudah memasang niat untuk ke Tanah Suci sekali lagi. Labbaikallah humma labbaik...



Tabung Haji mengumumkan tarikh Jadual Penerbangan



Haji Malaysia 2011:



1. Penerbangan Pergi Pertama: 29 September 2011 (Khamis)



2. Penerbangan Pergi Akhir: 29 Oktober 2011 (Sabtu)



3. Wukuf (9 Zulhijjah): 5 November 2011 (Sabtu)



4. Hari Raya Haji: 6 November 2011 (Ahad)



5. Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah): 7, 8 dan 9 November 2011 (Isnin, Selasa, Rabu)



6. Penerbangan Balik Pertama: 13 November 2011 (Ahad)



7. Penerbangan Balik Akhir: 13 Disember 2011 (Selasa)



Nota: Tarikh Wukuf akan berubah mengikut tarikh ditetapkan Kerajaan Arab Saudi

No comments: