Islamic Widget

Wednesday, October 12, 2011

Dari Kisah Terowong Moaisem


Seruling Senja



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui segala­galanya. Sama ada yang zahir dan yang tersembunyi. Yang nyata mahupun rahsia.



Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui segala rahsia, Engkau Maha Mengetahui akan hal ku ini. Bantulah aku dalam mencari diri. Aku tidak tahu siapakah diriku ini dan bagaimanakah aku berada disini.



Wahai Tuhan, hanya padaMu tempat aku berharap dan bermohon. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menghadapi hidupku ini. Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan hamba. Doaku selepas selesai solat dihadapan Maqam Ibrahim. Dan itulah antara doa­doa yang tidak pernah aku tinggalkan walaupun dimana sahaja aku berdoa.



Sudah hampir enam tahun aku dalam keadaan begini. Aku tidak tahu siapa diriku sendiri. Asal usulku. Dari mana aku datang, siapa ibu bapaku dan keluargaku? Semuanya tiada jawapan. Memori ingatanku bagaikan kosong daripada maklumat­maklumat berikut.



Aku sudah habis akal tentang bagaimana caranya untuk aku mengingat kembali identiti diriku sendiri. Aku tidak punya sebarang dokumen pengenalan. Menurut bapa angkatku, Prof. Dr. Syed Abdullah Ali Alawi, aku dijaganya setelah aku terlibat dalam tragedi terowong al­Muassim di Mekah yang menyebabkan ramai para jemaah terkorban. Aku terlantar dihospital selama sebulan tanpa sebarang dokumen serta tiada seorang waris pun yang datang menjengok. Kebetulan keluarga Alawi yang mulia itu datang untuk menziarahi salah seorang ahli keluarganya yang jatuh sakit. Lalu mereka bersimpati dengan keadaanku. Tangan kanan dan kaki kiriku patah. Aku tidak sedarkan diri hampir seminggu akibat dipijak oleh para jemaah yang berebut­rebut untuk keluar dari terowong itu.



Akibat dari itulah aku hilang ingatan apabila tersedar. segala­galanya kosong dan aku seolah­olah baru dilahirkan semula kedalam sebuah keluarga Arab berketurunan Rasulullah yang mulia dan fasih berbahasa Melayu.



Pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarga yang mulia itu, namun masih gagal untuk mengesan identitiku. Lalu mereka memutuskan supaya aku tinggal sahaja bersama mereka dan anggaplah mereka itu seperti keluargaku sendiri sehingga aku dapat mencari atau dapat mengingat kembali identiti diriku.



Maka selama itulah aku tinggal bersama keluarga ini disebuah perkampungan Jabal Qubis, dipinggir kota suci. Perkampungan yang dibanjiri oleh ramai musafir dari kepulauan Melayu seperti Malaysia, Siam, Indonesia dan Kemboja. Jadi tidak hairanlah jika keluarga Alawi ini mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Lagipun Syed Abdullah Ali Alawi ini adalah seorang ahli hadith bertaraf ulama berkerja sebagai timbalan rektor Jabatan Syariah di Universiti Ummul Qura. Beliau juga menjadi tempat rujuk para ulama yang datang dari seluruh dunia yang turut mengambil kesempatan untuk menemui beliau sewaktu musim haji.



Dengan pertolongan beliaulah, aku telah diterima masuk ke Universiti Ummul Qura, Mekah dalam kulliyyah Syariah wal Qanun. Sekarang ni aku baru sahaja menamatkan tesis sarjanaku di universiti itu.



Wahai anakku Ahmed! Apa yang anta menungkan? Tegur satu suara yang tidak asing lagi bagiku selama 6 tahun ini. Seorang lelaki yang dengan rela hati mengambil alih tempat ayahku. Sapaan itu melenyapkan aku dari lamunan sewaktu berada diberanda banglo 2 tingkat itu yang menghadap ke Jabal Qubis.



Ana tengah fikirkan bagaimanakah nasib ana seterusnya wahai bapa. Ujarku pada lelaki yang banyak berjasa itu. Panggilan Ahmed itu pun beliau yang berikan kepadaku.



Entahlah, telah banyak bapa lakukan tapi masih belum ada sebarang maklumat. Janganlah anakku berputus asa, berdoalah, moga Allah sentiasa merahmati anta. Lelaki tegap dan berbadan sasa itu memandangku tajam. Wajahnya bersih dihiasi jambang tersusun. Berjubah dan berserban. Menampakkan lagi kehebatannya walaupun beliau adalah seorang yang selalu merendahkan diri. Lelaki mulia yang tidak pernah membanggakan diri. Dia tiadak pernah menghampakan orang­orang yang datang untuk meminta pertolongannya. Paling tidak, beliau akan membekalkan orang itu dengan kata­kata yang penuh berhikmah.



Buat masa sekarang, aku tidak ada apa­apa untuk dilakukan. Pengajianku sudah tamat, Cuma menunggu keputusannya sahaja. Seharian masaku selalu dihabiskan dengan membaca buku­buku dan kitab­kitab yang banyak dalam perpustakaan milik keluarga Alawi itu. Cuma kadang­kadang sahaja aku keluar melawat lading kurma dan zaitun milik keluarga itu untuk menenangkan fikiran yang terganggu atau sekadar mengambil angin.



Aku lebih suka bersendirian, cuma sesekali sahaja aku ditemani Hassan, anak bongsu keluarga itu yang satu­satunya tinggal bersama keluarga itu. Dua orang anak lelaki mereka telah berkahwin dan tinggal berasingan. Manakala anak perempuan tunggal keluarga itu masih menuntut di Universiti Khortum, Sudan. Bila ada majlis sahaja mereka akan pulang kerumah untuk berkumpul ataupun pada hujung minggu.



Petang ini aku ke kebun zaitun milik bapa angkatku. Saja untuk menenangkan fikiran. Aku bersendirian kesana. Beberapa orang pekerja sedang melakukan kerja harian menjaga pohon­pohon zaitun agar sentiasa subur dan berbuah. Mereka sesekali menegurku apabila menyedari kehadiranku kesitu. Mereka mengenaliku oleh kerana kekerapanku kesana terutamanya ketika musim mengutip buah.



Setelah puas aku disana, aku balik kerumah untuk mempersiapkan diri bagi solat maghrib. Aku selalu berjemaah di Masjid al­Haram kecuali pada ketika ada majlis tertentu di rumah. Aku lebih senang berjemaah disana kerana hatiku cukup tenang sewaktu berdiri dan sujud di rumah Allah yang mulia itu. Mungkin itulah diantara keberkatan yang telah dimakbulkan Tuhan dalam doa Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail a.s sewaktu membina Kaabah.



Sewaktu aku tiba diperkarangan banglo dua tingkat milik keluarga Alawi itu, aku dapati ada beberapa buah kereta dihadapan rumah.



Ada majlis apakah hari ini? Soalku sendirian kerana satahu aku, bapa dan ummi tidak pernah memberitahuku untuk mengadakan sebarang majlis hari ini.



Selepas memberi salam kepada ahli rumah, aku melangkah masuk. Rupa­rupanya semua ahli keluarga itu balik berkumpul. Zainal Abidin, putera yang sulong. Zainal Arifin, putera kedua. Amirah al­Husna, satu­satunya puteri tunggal milik keluarga itu dan yang bongsu, Zainal Hassan. Zainal Abidin dan Zainal Arifin telah berkeluarga. Masing­masing mempunyai dua orang cahaya mata yang cukup comel.



Aku merapati kedua­dua anak lelaki keluarga Alawi itu. Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab, mereka akan memeluk dan mencium pipi sebagai tanda keakraban. Aku rasakan seolah­olah aku benar­benar dilahirkan dari keluarga itu kerana mereka memperlakukan aku seperti keluarga kandung mereka sendiri. Syed Abdullah tersenyum melihat kelakuan kedua­dua puteranya itu.



Ada majlis apakah malam ini wahai bapa? Soalku menoleh kearah Syed Abdullah.



Entahlah, bapa dan ummi sendiri pun tak tahu dengan rancangan mereka ini. Sebaiknya anta tanya mereka sendiri. Jawab Syed Abdullah.



Aku memandang kearah Zainal Abidin, Zainal Arifin dan yang terakhir Amirah al­Husna. Hatiku tiba­tiba sahaja berdebar­debar sewaktu menatap wajah gadis yang tengah mekar itu. Keningnya yang hitam lebat, hidungnya yang mancung serta bibirnya yang merah merekah. Terlalu jarang aku dapat bertemu dengan gadis itu. Kebanyakkan masa cutinya dihabiskan di tempat pengajiannya sahaja.



Suara­suara kecil yang galak bermain mengejutkan aku dari lamunan. Kelihatan Amirah tunduk malu. Mungkin disebabkan aku terlalu asyik merenungnya. Aku kembali berpaling kearah Zainal Abidin yang tersenyum. Aku tidak tahu apakah maksud senyumannya itu.



Hari ni kita nak raikan Amirah sempena tamat pengajian serta ulang tahun kelahirannya. Ujar Zainal Abidin setelah aku agak lama menantikan jawapan itu darinya.



Ulang tahun Amirah! MasyaAllah, aku memang terlupa pasal tu. Aku terlupa yang hari ini adalah hari ulang tahun Amirah al­Husna yang ke 24. Dah dewasa rupanya gadis ini. Patutlah perwatakannya mampu menarik perhatian orang.



Aku memohon diri untuk mempersiapkan diri. Namun fikiranku terfikir­fikir tentang apa yang patut aku berikan kepada Amirah sebagai hadiah ulang tahunnya ini. Aku tak beli apa­apa pun sebab langsung terlupa. Dalam berfikir itu aku teringatkan sesuatu yang pernah aku beli sewaktu melawat Moroko dulu. Aku masih simpannya elok dalam almari pakaianku. Mungkin Amirah akan menyukainya.



Rupanya agak besar juga majlis malam ni. Sewaktu aku turun dari bilik, saudara bapa angkatku Syed Muhammad Ali Alawi dan Syed Ahmed Ali Alawi berserta keluarga masing­masing juga turut datang.



Aku mengalu­alukan kedatangan mereka. Aku terlalu takjub dengan keluarga itu. Orang luar seperti aku ni dianggap mereka bagai ahli keluarga mereka sendiri. Mereka tidak pernah memperlakukan aku seperti orang asing. Malah, dalam keadaan­keadaan tertentu mereka mendahulukan aku daripada keluarga mereka sendiri.



Majlis bermula dengan solat berjemaah diruang solat rumah itu. Kemudian kami mengadakan majlis berzanji dan membaca selawat keatas Rasulullah yang dilagukan dari kita Syeikh Jaafar al­Berzanji. Alunan suara Syed Abdullah, Syed Muhammad dan Syed Ahmed serta Zainal Abidin dan Zainal Arifin cukup membuatkan para pendengar tersentuh dan mengetahui bahawa keluarga yang mulia ini adalah keluarga yang menghargai seni terutamanya syair­syair dan puji­pujian yang indah. Aku juga terpaksa mengambil bahagian setelah berkali­kali diminta oleh keluarga itu untuk melagukan Talaa Badrul Alaina yang masyhur itu.



Sesudah solat Isyak, kami menghadapi jamuan kesyukuran yang diadakan dirumah itu. Para hadirin masing­masing menghulurkan hadiah kepada Amirah. Aku juga bangun untuk berbuat demikian.



Sebelum Ahmed menyerahkan hadiah, dijemput dulu untuk menyampaikan sebuah puisi buat kami! Zainal Arifin selaku pengerusi majlis tiba­tiba mengumumkan demikian. Aku tergamam seketika, aku tak buat apa­apa persiapan untuk baca puisi. Lagipun aku tak tahu puisi apa yang nak dibaca. Semua hadirin memandang kearahku sebagai tanda sokongan.



Pergilah Ahmed, bapa tahu anta boleh. Syed Abdullah memberikan sokongan.



Aku bergerak kehadapan sambil membawa bungkusan hadiah untuk Amirah. Aku tak tahu puisi apa yang patut aku sampaikan. Mereka tahu aku memang meminati sastera terutamanya puisi dan syair. Sebab itulah dengan sengaja mereka meminta aku membuat persembahan ini.



Lalu aku bacakan sebuah puisi yang pernah aku baca suatu ketika dulu. Puisi yang bertajuk Jauhkah aku atau dia. Puisi itulah juga akan aku hadiahkan kepada Amirah. Puisi yang telah ditulis dengan pasir dan difremkan sewaktu aku melawat sebuah pusat pelancongan di Maghribi.







JAUHKAH AKU ATAU DIA







Jauh itu



.. ada ruang yang memisah



Jauh itu



.. dua hati yang terpisah







Pabila jauh



.. ada rasa yang resah



Pabila jauh



.. ada jiwa yang gelisah



Pabila jauh



.. ada rindu yang tak sudah-sudah







Ku mohon jauh



.. musuh yang menceroboh



Ku mohon jauh



.. penyakit yang sukar sembuh



Ku mohon jauh



.. kasihmu berubah



Ku mohon jauh



.. setiamu berpaling tadah







Majlis selesai agak hampir tengah malam. Para tetamu yang hadir kini beransur pulang. Aku membantu ummi dan Amirah mengemas rumah. Sementara semua saudara lelakinya itu berbual­bual dengan bapa mereka.



Tak payahlah akhi bersusah payah, ana boleh Bantu ummi kemaskan. Kata Amirah apabila melihat aku berulang alik dari ruang tamu kedapur membawa pinggang mangkuk.



Tak apalah Amirah, ana dah biasa macam ni. Lagipun kesian juga kat Amirah dan ummi, tentu penat. Jawabku sambil meletakkan pinggan kedalam sinki.



Ahmed ni memang macam tu. Dialah yang selalu tolong ummi kat dapur kalau dia ada kat rumah. Sampuk ummi sambil tangannya ligat membasuh pinggan.



Bertuahnya ummi sebab dapat pembantu rumah yang rajin. Usik Amirah. Ummi dan Amirah ketawa serentak. Aku hanya tersenyum sahaja.



Aku merenung kearah Amirah yang sedang ketawa itu. Terserlah satu lesung pipit di pipi sebelah kanan. Dia keliahatan anggun dengan jubah dan tudung begitu.



Ana lagi bertuah sebab dapat keluarga sebaik keluarga ini. Hanya Allah sahaja yang layak membalasnya. Jasa keluarga ini akan ana kenang sampai mati. Jelasku pada ummi dan Amirah.



Setelah semuanya selesai, aku naik kebilik meninggalkan ahli keluarga itu diruang tamu yang masih lagi asyik bersembang. Badanku rasa penat dan aku merebahkan badan atas katil. Entah bila aku terlena begitu sahaja.



Terasa betapa tenangnya jiwaku sewaktu aku bersolat di hadapan Kaabah dan di belakang Maqam Ibrahim. Itulah tempat kegemaranku untuk beriktikaf. Aku memang selalu datang awal ke Baitullah ini untuk menanti kedatangan subuh. Aku ambil kesempatan untuk bermunajat kepada Allah akan hal keadaan diriku.



Assalamualaikum..! Salam itu mengganggu munajatku. Aku berpaling dan mendapati seorang lelaki berjubah serta berselubung putih berada disisiku. Haruman wangi semerbak mencucuk hidung.



Waalaikumussalam Jawabku perlahan. Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dan mendapati tangannya lembut seperti tidak bertulang.



Wahai anakku Ahmed! Selepas waktu dhuha esok, pergilah kamu ke Jabal Rahmah. Di sana nanti, akan engkau temui seseorang yang akan memberitahu siapakah dirimu yang sebenarnya. Khabar lelaki itu.



Rupanya ini adalah alamat dan petanda buatku. Sebelum ini aku hanya sekadar bermimpi lelaki tersebut datang memberitahuku sedemikian. Dan sangkaanku itu hanya mainan tidur. Tapi pagi ini lelaki itu datang sendiri menemuiku di hadapan Kaabah yang mulia ini. Aku terus bertakbir dan sujud syukur atas pengkhabaran utusan Tuhan itu.



Wahai Tuhan kami, janganlah jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kamidan kurniakanlah kepada kami rahmay di sisi Engkau kerana Engkaulah Maha Pemberi. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk pembalasan pada hari yang tidak ada keraguan. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji.



Wahai Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul kerana itu masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi tentang keesaanMu.



Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.



Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, dan Engkau adalah Maha Penyayang.



Apabila aku bangkit dari sujud, aku dapati lelaki itu telah tiada. Hanya ditinggalkan haruman kasturi yang semerbak baunya. Aku bertekad, selepas waktu dhuha esok, aku akan ke Jabal Rahmah. Moga-moga doa dan munajatku selama ini dimakbulkan Tuhan.



Selepas solat subuh, aku berwirid dan berzikir serta membaca al-Quran di Maqam Ibrahim. Sehinggalah masuk waktu dhuha. Aku bangun menunaikan solat dhuha. Memohon rahmat dan limpah perkenan Allah Taala buatku dalam meneruskan kehidupan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana kesudahannya nanti.



Suasana masih lagi agak dingin, namun itu tidak dapat menghalang para jemaah untuk datang ke Jabal Rahmah ini. Tempat yang penuh berkat ini adalah tempat pertemuan diantara Adam a.s dan isterinya Hawa. Setelah bertahun-tahun Nabi Adam a.s bermohon dan bermunajat kepada Allah agar dipertemukan kembali dengan isterinya, maka Allah telah memakbulkan doanya dengan mempertemukan mereka di Jabal Rahmah ini.



Aku berjalan kearah satu batu besar untuk duduk menghilangkan penat. Agak tinggi juga bukit ini perlu didaki untuk sampai ke puncaknya. Bagi orang yang tidak biasa, ia akan memenatkan. Aku melilau mencari sebarang petanda mahupun petunjuk yang memungkinkan aku mengetahui tentang identiti diriku sendiri.



Abang Hussin!! Sekumpulan lelaki datang mengerumuniku. Aku kepelikan kerana mereka memanggilku Hussin.



Abang Hussinkah ini? Soal salah seorang daripada mereka. Aku terkebil-kebil melihat mereka.



Saya tak tahu, siapakah saya. Jawabku.



Aku menceritakan perkara sebenar yang telah berlaku kepadaku sebagaimana yang diceritakan oleh keluarga Alawi itu sehinggalah aku menemui lelaki tua berjubah sebelum subuh tadi. Mereka kelihatan tercengang selepas mendengar kisahku itu.



Tuan Syeikh, inilah abang Hussin yang kami sangka telah meninggal selama ini. Jelas pemuda yang bernama Abd. Rahman. Aku membawa pemuda-pemuda itu kerumah keluarga angkatku. Aku mahu keluarga angkatku juga tahu tentang perkara ini.



Adakah antum semua yakin bahawa ini adalah Hussin yang antum semua maksudkan itu? Soal bapa angkatku kepada mereka.



Ya, kami yakin. Jawab mereka serentak.



Alhamdulillah! Allah telah makbulkan doa kami. Jawab bapa angkatku sambil tersenyum.



Ada titis air mata kesyukuran mengalir. Betapa Maha Suci Tuhan yang Maha Mendengar bisikan hatiku selama ini. Berita ini membuatkan aku tak sabar untuk kembali ke tanah tumpah darah yang telah lama aku tinggalkan.



Abang Hussin jangan risau, kami akan hubungi saudara kami disana. Mereka akan datang pada musim haji nanti dengan segala dokumen perjalanan abang Hussin. Beritahu Abd. Razak.



Abd. Rahman, Abd. Razak, Abd. Hafiz dan Abd. Halim adalah pelajar-pelajar tahun pertama Kulliyyah Hadis di Ummul Qura. Inilah berita paling gembira dalam hidupku apabila dapat mengetahui siapakah diriku ini. Aku telah diberitahu bahawa aku mempunyai seorang ibu tua dan seorang tuning yang masih setia dan mengharapkan kepulanganku. Aku masih cuba untuk mengumpul kembali semua ingatanku. Terlalu sukar untuk aku lalui hidup ini seperti sediakala jika aku gagal untuk menjemput kembali ingatan yang telah pergi. Sekarang ini aku bagaikan orang asing.



Segala puji bagi Tuhan yang telah memberikan sedikit rahmatnya menemukan aku dengan pemuda-pemuda utusan Tuhan itu.



Kita akan sama-sama berangkat ke Malaysia nanti. Beritahu Syed Abdullah padaku.



Hari ini diadakan satu majlis kesyukuran. Semuanya dijemput terutama pemuda-pemuda yang aku temui di Jabal Rahmah itu. Tempat pertemuan Adam dan Hawa. Mereka memperkenalkan diri sebagai anak-anak pondok Ahmadiyyah Bukit Gading.



Sebelum itu, bapa ada satu hajat besar untuk disampaikan pada kamu. Bapa berharap sangat kiranya kamu dapat penuhinya. Beritahu Syed Abdullah.



Nyatakanlah wahai bapa! Akan ana penuhi permintaan bapa itu sedaya mampu ana. Bagiku, apalah sangat sekadar permintaan Syed Abdullah itu jika nak dibandingkan dengan budi yang telah aku terima daripada beliau sekeluarga.



Kalau boleh, ingin sekali bapa jodohkan kamu dengan Amirah al-Husna. Permintaan itu terlalu besar buatku. Bagaimanakah akan kukatakan padanya tentang aku telah ada tunangan yang masih lagi setia menanti di tanah air. Bisakah aku menolak permintaannya itu sedangkan beliau telah banyak jasanya padaku.



Walaupun kepenatan belayar dilautan luas masih lagi terasa, namun ia tidak mampu untuk mengatasi gejolak perasaanku yang ingin menemui orang-orang penting dalam hidupku. Syed Abdullah seisi keluarga serta anak-anak pondok Ahmadiyyah Bukit Gading yang belajar di Ummul Qura turut mengiringiku. Semua perbelanjaan kepulanganku ini ditanggung oleh keluarga yang mulia itu.



Debaran di dada makin kuat terasa. Aku masih belum mampu untuk memanggil kembali semua ingatanku yang lalu. Aku seolah-olah terpaksa memulakan kembali perjalanan hidupku ini dengan cerita baru dan lembaran baru. Ia terlalu sukar untukku. Tambahan pula bila aku kembali ke kampong halaman ku ini.



Rombonganku melalui pondok-pondok kecil tempat kediaman para pelajar. Semua mata tertumpu kepadaku. Kami dibawa oleh Abd. Halim sebagai ketua rombongan menuju ke rumah tuan guru pondok Ahmadiyyah itu. Rombongan hampir 20 itu menjadi perhatian ramai.



Betapa damainya keadaan sekeliling yang menghijau. Pun begitu, ia tidak mampu menenangkan perasaanku yang bergejolak. Aku tidak ingat siapa ibuku, aku juga tidak ingat siapakah tunanganku. Bagaimanakah akan kuhadapi mereka itu sedangkan aku sendiri tidak mengenali mereka.



Assalamualaikum. Abd. Halim memberikan salam sewaktu sampai dikaki tangga.



Kedengaran salam itu dijawab serentak beramai-ramai. Kelihatan seorang ibu tua dipapah oleh beberapa orang wanita turun kebawah.



Hussin Ibu itu memanggil demikian. Aku lihat ada cucuran air mata pada kedut-kedut wajahnya.



Aku hanya tegak dikaki tangga memerhati ibu itu. Ada suatu rasa yang halus dan kudus dalam lubuk hatiku sewaktu terpandang matanya. Ada satu sirna pengarapan.



Inilah ibu abang Hussin Jelas Abd. Halim kepadaku. Lantas aku memeluk dan mencium ibuku sepuasnya. Ibu menangis dalam pelukanku.



Dah lama mak tunggu engkau balik Sin. Bisik emak dalam tangis.



Maafkan hamba sebab buat mak ternanti-nanti disini. Balasku.



Emak memegang pipi sambil merenung wajahku. Aku tahu dia terlalu rindukan aku selama ini. Aku tahu sebab aku juga rindu walaupun aku tidak tahu kepada siapakah rinduku ini.



Dalam ketika itu aku terpandangkan seorang gadis yang bediri dikaki tangga memerhati kearahku. Ada tanda perit derita diwajahnya.



Itu kak Fatimah, tunang abang Hussin. Beritahu Abd. Razak.



Subhanallah Maha Suci Allah yang telah mentakdirkan suatu pertemuan yang kudus ini setelah berlakunya perpisahan yang tidak dijangkakan.



Maha Suci Tuhan yang mendengar segala rintihan dan permohonan hamba. Maha Suci Tuhan yang memenuhi hajat hamba. Maha Suci Tuhan yang menentukan segalanya.



Suasana gembira dan ceria menguasai keadaan. Ramai sekali orang yang datang memenuhi rumah tuan guru itu. Aku diperkenalkan kepada beberapa orang yang terpenting dalam hidupku sebelum ni seperti tuan guru Ahmad, ibu, emak, dan Fatimah. Aku bagaikan berada didalam lingkungan orang yang asing walaupun mereka adalah orang-orang yang menemani hidupku suatu ketika dulu.



Tuan-tuan sekalian! Hamba mohon maaf kerana tak dapat mengingati tuan-tuan sekalian. Padahal suatu ketika dahulu, tuan-tuan sekalian adalah orang yang rapat dalam hidup hamba. Hamba harap,tuan-tuan dapat memberikan peluang dan ruang untuk hamba mengingati kembali. Ucapku kepada hadirin.



Dalam hali ini, pertolongan tuan guru, emak, ibu dan Fatimah sendiri amat hamba perlukan. Aku memandang kepada mereka semua. Ibu, emak dan Fatimah kelihatan mengesat mata dengan hujung selendang mereka.



Hamba juga nak perkenalkan kepada tuan-tuan sebuah keluarga yang telah banyak jasanya selama hamba berada di Mekah. Keluarga yang mulia keturunan Rasulullah, keluarga Syed Abdullah Alawi. Jasa mereka semua akan hamba kenang sampai mati. Ujarku.



Tuan guru memandang kearah Syed Abdullah itu. Selepas beberapa ketika, beliau bangun dan menghampiri Syed Abdullah. Aku lihat mereka bercakap sesuatu dan kemudiannya mereka berpeluk antara satu sama lain.



Syed Abdullah ini adalah teman hamba sewaktu mengaji di Mekah dulu. Beritahu tuan guru apabila beliau melihat hadirin memandang kearahnya.



Datuk tuan syeikh inilah guru kami. Jelas tuan guru lagi.



Alhamdulillah. Segala puji itu untuk Tuhan kerana dengan rahmatnya telah berlaku dua pertemuan. Pertemuan aku dengan keluarga dan pertemuan antara tuan guru dan sahabat lamanya Syed Abdullah.



Syed Abdullah dan keluarganya akan tinggal beberapa hari di Bukit Gading sebelum mereka berangkat kembali ke Mekah. Lagi pun Syed Abdullah sangat gembira kerana dapat bertemu kembali dengan rakan segurunya, tuan guru Ahmad yang telah sekian lama terputus hubungannya.



Ada apa tuan guru dan bapa nak jumpa hamba? Macam ada hal penting aje. Soalku pada suatu petang sebelum keberangkatan Syed Abdullah ke Mekah. Aku dipanggil bersama semua ahli keluarga untuk bertemu diruang tamu rumah tuan guru. Turut sama Fatimah dan Amirah al-Husna.



Hari ini kami nak bincangkan pasal perkahwinan kamu. Jawab Syed Abdullah.



Siapakah yang kamu pilih antara Fatimah dan Amirah wahai Hussin? Pertanyaan tuan guru itu memeranjatkan aku. Aku merenung kearah Fatimah dan Amirah yang tunduk disisi ibu mereka.



Jawapan bagaimanakah yang patut aku berikan bagi mendamaikan dua keping hati yang mengharapkan? Siapakah yang patut aku pilih, sedangkan keduanya bertahta dihatiku?



Terlalu sukar untuk hamba buat pilihan tuan guru. Jawabku gugup. Suasana pertemuan itu hanya diserikan oleh suara cucu-cucu Syed Abdullah sahaja yang sedang asyik bermain dengan kucing kesayangan Fatimah.



Fatimah adalah tunangan hamba yang diikat dengan janji yang wajib hamba tunaikan. Amirah pula adalah dari keluarga yang banyak berjasa kepada hamba yang budinya tak akan dapat hamba balas sampai mati. Jawabku ikhlas.



Syed Abdullah dan tuan guru berpandangan antara satu sama lain sambil tersenyum setelah mendengar jawapanku itu.



Apa pandangan kamu wahai Fatimah? Soal tuan guru.



Hamba redha sekiranya abang Hussin memilih Amirah. Kerana keluarga Amirah telah banyak berjasa kepada abang Hussin selama ini, perlahan sahaja jawapan itu. Namun cukup untuk didengar oleh semua ahli keluarga yang berkumpul pada hari ini.



Benarkah begitu Fatimah?! Sungguh mulia hatimu itu. Detik hatiku.



Bagaimana pula pendapat kamu wahai Amirah? Soal Syed Abdullah kepada puteri tunggalnya itu.



Kak Fatimah lebih berhak untuk dipilih oleh abang Hussin kerana kak Fatimah adalah tunangan abang Hussin sejak dulu lagi. Jawapan itu buat aku terkejut.



Mulia sungguh hatimu gadis. Bisik hatiku.



Kelihatan tuan guru dan Syed Abdullah berbisik antara satu sama lain. Aku seolah-olah seperti seorang pesalah yang sedang di adili oleh majlis tahkim oleh kerana kesalahan memiliki cinta dua orang gadis.



Wahai Fatimah dan Amirah! Ayah mahu dengar jawapan kamu berdua dengan ikhlas. Jelas tuan guru.



Sudikah kamu berdua untuk bermadu? Sekali lagi aku terkejut.



Kedua-dua gadis itu masing-masing berpandangan. Setelah senyap beberapa ketika, keduanya kelihatan mengangguk serentak.



Masya Allah. Bisik hatiku.



Maka pada hari ini, akan kami serahkan kepada kamu wahai Hussin kedua-dua puteri kami untuk diperisterikan.



Allahu Akbar, walillahilhamd Itulah ucapan pertama yang keluar dari bibirku apabila Syed Abdullah menamatkan kata-katanya itu.



Maha suci Tuhan yang mengetahui keadaan hambanya. Inilah barangkali berkat doaku selama ini.



Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadaMu akan sesuatu kehidupan yang bersih, kematian yang lurus dan kembali dengan tidak ada mendapat kehinaan dan cacat cela.



Ya Allah, yang memiliki kerajaan, Engkau berikan kerajaan itu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau tanggalkan kerajaan itu daripada sesiapa Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan akan orang yang Engkau kehendaki, di tanganMulah kebajikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu. Pengasih di dunia dan di akhirat serta memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Kasihilah aku dengan rahmatMu, kayakanlah aku dengan rahmatmu.



Ya Allah, Engkau muliakanlah hidupku dengan dua puteri ini. Jadikanlah keduanya penyeri dalam hidupku seumpama Hawa penyeri Adam dan Zulaikha penyeri Yusof. Janganlah Engkau jadikan keduanya fitnah bagiku kerana pastinya aku tidak mampu untuk berbuat demikian.



Wahai Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh orang itu telah Engkau hinakan, dan tidak ada penolong bagi orang-orang yang zalim. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mendengar seruan yang menyeru untuk beriman, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan matikanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbuat baik. Wahai Tuhan kami, berilah apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak akan menyalahi janji.



Wahai Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan adil dan Engkaulah pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.



Wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dengan cinta, peliharakanlah kami dengan cinta, kurniakanlah kami dengan kasih, hiasilah kami dengan rindu dan jemputlah kami dengan penuh kerinduan.



Seruling Senja
2.02.04
12.09 tengahari
Chamber of CJ.
Kota Bharu, Kelantan.
http://seruling_senja.tripod.com/

No comments: