Islamic Widget

Sunday, October 16, 2011

KEMBARA CINTA SUDAH BERMULA…



30 Okt 2009
by gentarasa in Puisi Label:cinta, Allah, hati, Kaabah, haji, sayang


Sudah mula berbondong-bondong manusia ke sana. Membawa hati yang lara mencari cinta. Walaupun tanahnya gersang, tetapi hati manusia yang menuju ke sana sentiasa basah dengan rindu dan cumbu. Kami datang, kami datang… Semuanya menyeru untuk bertemu dan bertamu. Tetamu-tetamu Allah itu pasrah menyerahkan segalanya, meninggalkan semua demi bertemu-Nya.


Di kejauhan ini aku berdoa untuk kalian. Apalah yang dapat kukirimkan sebagai pamitan dan bekalan… Aku masih tertahan menunggu giliran, menanti panggilan. Aku rindu, tetapi apakan daya, layangan jiwa ini masih perlukan sayap yang nyata. Itu aku tak punya.


Untuk mu tetamu-tetamu Allah, sudi apalah kiranya menatap puisiku walau sekilas cuma. Doaku untuk mu semua. Dan mana tahu, seorang darimu sudi mendoakan aku… pengemis cinta-Nya yang masih terbelenggu ini.


Pergilah saudara-saudaraku, pergilah menuju Allah. Jika cinta kita SATU… pasti satu ketika kita akan bertemu juga di situ. Di Kaabah itu! Tataplah pusi ini (yang ku tulis sejak lama dulu)…


KEMBARA CINTA SUDAH BERMULA...


Pergilah tetamu Allah
Pergilah menuju Allah…
Pergilah membawa hatimu yang pasrah
Tiada lain yang kau cari
Kecuali kasih-sayang Ilahi


Haji ertinya menuju…
menuju Allah yang satu
Namun jalan cinta itu penuh sembilu
Kan bertandang ujian beribu liku
Merintang diri dan hati
Kerna setiap cinta itu pasti diuji…
Apakah sejati atau ilusi.


Sebelum melangkah mulakan muhasabah
Bagaimana belanja kita ke sana?
Apakah keringat sendiri yang mengalir?
Apakah dari sumber yang bersih?
Apakah dari pekerjaan yang baik?
Tanpa penipuan, tanpa penzaliman
Hasil usaha ‘halalan taiyiban?’Kemudian muhasabah pula diri kita seikhlasnya
Leburkan mazmumah semampunya
Hasad, dengki, marah, bakhil ditekan sekuatnya
Mensucikan hati di pohon keampunan
Minta kemaafan dari manusia
Mohon taubat segala dosa…
Barulah nanti terlerai rantai di hati
Terasa ringan melangkah kaki!


Pakaikan kain ihram di tubuh
Serah diri seluruh…
Pangkat, derjat, bintang dan gelaran meluruh
Kini kita hanya seorang hamba
Yang benar-benar hina di hadapan-Nya


Datanglah bagaikan hamba tawanan
Yang bertelut gementar… menanti hukuman
Labaiklallah humma labaik!
Hambamu datang ya Allah…
Dengan hias rohani
Di cermin matahati katakan pada diri:
Aku tidak punya apa-apa
Harta, keluarga dan milik Mu jua
Asalku hanya dari titisan air yang hina …
Jahil, miskin, lemah dan tidak berdaya…
Namun Hambamu datang jua ya Allah…
Labaikallah humma labaik
Aku datang wahai Tuhan
Aku datang… menyahut panggilan


Tuluskan niat kita ketika memulakan
Haji ini, ibadah ini…
Bukan untuk ihsan manusia
Bukan lanjutan urus niaga
Pun bukan kerana riak dan bangga
Tetapi benar-benar kerana kita hamba
Yang mengharap wajah dan keredhaan-Nya


Niat yang suci itu perisai hati
Menangkis kelalaian sepanjang destinasi
Ikhlas itu sangat maknawi
Namun kesannya zahir pada diri


Ikhlas melahirkan sabar…
Sabar kita dengan karenah insan
Demi mengharapkan rahmat Tuhan
Ikhlas melahirkan syukur…
Syukur dengan ruang yang sempit
Demi mengharap keampuan yang melangit


9 Zulhijjah…wukuf di Arafah
Dalam himpunan terbesar gambaran Mahsyar
Tiada bezanya derjat dan pangkat
Yang kaya atau melarat
Semuanya tenggelam dalam dalam zikir dan munajat


10 Zulhijjah… bermalam di Mudzalifah
Talbiah, tasbih dan selawat
Bangsawan, hartawan, marhein dan miskin
Segalanya sama seputih kain
Moga-moga perrhimpunan ini menginsafkan
Hanya taqwa… nilaian Tuhan


Tuhan tidak menilai rupa
Tuhan tidakmenilai harta
Tuhan hanya menilai hati
… hati yang bertaqwa kepada-Nya


11, 12, 13 Zulhijjah…
bermalam di Mina melontar 3 Jamrah
Genggam butiran batu itu dengan tangan kita
Tapi lontarkan ia dengan satu rasa
Di Jamrah itu kita perangi musuh Allah
Simbolik satu kebencian
Metafora sebuah peperangan
Melawan syaitan dalam kehidupan
Nyahkan ia jauh-jauh…
Perangi ia sungguh-sungguh…
Usah berpaling lagi
Pada bujukannya… kita tak sudi!


Nun di sana kelibat Kaabah mula menyapa
Rindu tiba-tiba semakin membara
Hati hiba tanpa diminta
Tanda disedari mengalir air mata kita
Oh! situ pernah melutut Ibrahim
Di situ pernah sujud Ismail
Dan di situ pernah menangis Muhammad SAW
Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali…


Bagaikan ‘melihat’ wajah Allah
Di hitam warnanya ada nur kesucian
Langkah kian cepat… kian mendekat
Tawaf, tawaf, tawaf tujuh pusingan
Tiga pertama bagaikan lari dari dosa…
menuju pahala
Empat yang kedua lepas dari kesalahan…
menuju pengampunan


Lambaian istilam tanda kerinduan
Dikucup tangan tanda kecintaan
Tuhan cintaku hanya pada-Mu…
Walaupun cinta itu sering terganggu!


Bawalah hati yang lara di Safa dan Marwah
Saie ke sini ke sana bagai seorang sandera
Cemas bila dirasuk azab…
Tenang seketika dibujuk harap…
Ke sana khauf…
ke sini raja’…
Bimbang tenang berulang datang
Bagai gelombang tanpa tepian


Oh! Tuhan siapakah diriku
pada pandangan-Mu?


Kepalamu kau cukur
Helaian rambutmu pun gugur
Luruh bersama simbolik dirimu yang lalu
Kini bangun dirimu yang baru


Bukan sekadar membunag setipis rambut…
tetapi mengungkai fikiran yang berkabut
Bukan sekadar membersih kepala…
tetapi hakikatnya menjernih minda


Itulah rahsia tahallul
Meninggalkan diri yang kotor
Hijrah ke dunia yang luhur!


Di Madinah… di masjid Nabawi
Hati kita kan tersentuh oleh imbauan azannya
Terbayang sejarah anak yatim yang kesepian
Terbayang gembala kecil di padang pasir
Luka kakinya di Taif
Hilang kesayangannya di Badar
Gugur giginya di Uhud
Atap rumahnya dicecah jari
alas tidurnya berbekas di badan


Sujudlah, bertelekulah di situ
Tunduk malu di makam nabi
Di sana tersimpan jasadnya yang mulia
Rasul yang tak pernah jera berkorban…
Demi umatnya
Tega baginda pada semua derita


Hayatilah betapa malunya Rasul di Masjid Qiblatain
Ingin merayu tapi lidahnya kelu
Qiblat itu hak Tuhan…
tak layak dirinya memohon pertukaran
Namun Tuhan Maha Mengetahui resah di hati Rasululah
Lalu beralihlah qiblat dari Masjidil Aqsa… ke Baitullah
Rintihan Rasul-Nya terjawab sudah


Di Badar kita diajar bertawakkal
Betapa golongan sedikit bisa mengalahkan golongan yang ramai
Tetapi bila disiplin robek godaan harta
Uhud mengingatkan kita pada sebuah alpa
Pada batu-batu yang terdampar di kuburan Baqie
Terimbau deretan sahabat bagaikan bintang di langit


Terlalu banyak hikmah dalam kembara ini
Jika segalanya dilihat dengan matahati
Jiwa akan kukuh disepuh iman
Akal akan bersih disuluh iktibar
Fizikal akan kuat menempuh kesusahan


Haji kemuncak ajaran Islam
Haji kemuncak mehnah dan ujian
Padanya tersimpan rahsia kekuatan
Sudahkah terserlah apa yang tersimpan?


Bertamu tak jemu…
Berpisah tak gelisah…
Kenangan di Makkah dan Madinah
Adalah bekal safar abadimu…
bertemu Allah!


PAHROL MUHAMAD JUOI


Wednesday, October 12, 2011

Nekad jumpa menteri nak tunai haji



oleh FARUSH KHAN-Sinar Harian

10/12/2011 9:38:31 AM





Seorang rakan karib telefon beberapa hari lalu; suaranya tersekat-sekat. Ingatkan ada kematian, rupanya beliau sedih sangat Lembaga Tabung Haji tutup akaun dia kerana ia tidak aktif lebih tujuh tahun.



“Saya kena buka akaun ahli baru dan daftar semula,” katanya. Itu perkara enteng. Beliau sudah pun mendaftar kembali; hari itu juga. Yang jadi masalah dan yang sangat menggores perasaannya ialah akibat penutupan akaunnya - atas kesilapannya sendiri kerana tidak mematuhi syarat - beliau kena tunggu sekurang-kurangnya 30 tahun lagi untuk menunaikan haji melalui muassasah (iaitu badan pengurusan jemaah haji).



“Usia saya sekarang 51 tahun. Maknanya saya kena hidup sampai umur 81 tahun untuk naik haji?”.



Tidak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis mendengar nadanya yang bagaikan separuh sinis, separuh kecewa.



Apa pun, syukur kawan saya ini tidak putus harapan.



“Insya-Allah saya akan daftar dengan pakej, mudah-mudahan dapat pergi tahun depan. Tak dapatlah diskaun RM4,300 (untuk mereka yang tunaikan kali pertama),” katanya.



Kalau tidak dapat juga pergi tahun hadapan, katanya, beliau nekad hendak pergi minta belas kasihan menteri atau siapa sahaja.



Saya doakan ALLAH tunaikan hajatnya itu.



Seorang lagi hamba ALLAH SMS saya dari Tanah Suci semalam menceritakan mengenai keadaan di Tanah Suci, yang agak berbeza dengan keadaan di negara kita.



“Ada jemaah sujud sahwi di hujung solat Subuh di Makkah dan Madinah kerana imam tidak baca qunut,” ceritanya, seolah-olah meminta jawapan. Saya tidak komen apa-apa mengenai perkara itu dan mencadangkan beliau tanya sahaja pada ustaz atau mutawif di Tanah Suci.



Sebenarnya, saya pernah membaca kisah bagaimana Imam Syafie (rahimahullah) ditanya makmum mengapa tidak membaca qunut ketika solat Subuh di masjid yang terdapat makam Imam Abu Hanifah (rahimahullah), di Baghdad, sedangkan Imam Syafie dikenali sebagai orang yang memfatwakannya sunat qunut itu.



Kepada soalan itu, Imam Syafie menjawab: “Saya menghormati pandangan tuan punya kubur.”



Tanah Suci Makkah dan Madinah sentiasa dibanjiri umat hampir setiap ketika untuk menunaikan haji dan umrah dan tanpa syak, akan berterusan begitu hingga kiamat. Maka tentu sahajalah terdapat bukan sahaja perkara dan cara berbeza, tetapi pelbagai peristiwa suka dan duka.



Pada musim haji sekarang, kira-kira tiga juta umat berada di Tanah Suci itu.



Sejak jemaah haji Malaysia pertama berlepas 29 Oktober lalu, pelbagai cerita kita dengar, termasuk mengenai urusan pengendalian Tabung Haji yang cekap dan keazaman jemaah menjalankan ibadah sebaik mungkin.



Namun Sabtu lalu, seorang jemaah haji wanita Malaysia berusia 39 tahun, berasal dari Shah Alam, dipercayai terjatuh dari bangunan di Madinah.



Jenazah dikebumikan di Perkuburan Baqi’, dekat Masjid Nabawi. Al-Fatihah untuk Allahyarham.



Manusia merancang, ALLAH juga menentukan segalanya.



Semasa saya di Tanah Suci pada 1990, kira-kira 3,500 jemaah haji menjadi korban akibat pertembungan antara ribuan jemaah dalam terowong Muassim di Mina. ALLAH masih mahu biarkan saya hidup; maka saya terlepas kira-kira 10 minit di luar terowong ketika tragedi itu.



Beberapa tragedi lagi menyusuli. Pada 1995, khemah di Mina terbakar, dengan sekitar 300 orang pula terkorban.



Cerita kekecewaan juga banyak. Pada tahun 90-an, terdapat beberapa peristiwa mereka yang tidak melalui muassasah terkandas di lapangan terbang atau di pejabat-pejabat penganjur pakej haji di Malaysia kerana tidak mendapat visa ke Tanah Suci hingga ke saat akhir.



Bukan sahaja mereka kecewa tidak dapat menunaikan haji, bahkan wang untuk mendapatkan visa lesap; bukan ditipu, tetapi tidak dapat dituntut dalam kekalutan pemprosesan permohonan visa.



Ahli surau saya antara yang menerima nasib malang. Seorang yang pemurah, beliau bukan sekadar membayar wang kira-kira RM800 untuk visanya sendiri, bahkan sanggup meminjamkan kira-kira RM140,000 bagi pihak hampir 80 bakal haji untuk membolehkan mereka mendapat visa. Kesimpulannya, semua, termasuk dirinya, terkandas kerana tidak mendapat visa dan sebahagian besar wang yang didahulukan itu lesap dalam proses permohonan visa.



Saya berdoa dan percaya ALLAH akan membayar pengorbanan sahabat saya itu dengan ganjaran pahala berlimpah-ruah dan jannah.



Insya-Allah, saya pun sudah memasang niat untuk ke Tanah Suci sekali lagi. Labbaikallah humma labbaik...



Tabung Haji mengumumkan tarikh Jadual Penerbangan



Haji Malaysia 2011:



1. Penerbangan Pergi Pertama: 29 September 2011 (Khamis)



2. Penerbangan Pergi Akhir: 29 Oktober 2011 (Sabtu)



3. Wukuf (9 Zulhijjah): 5 November 2011 (Sabtu)



4. Hari Raya Haji: 6 November 2011 (Ahad)



5. Hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah): 7, 8 dan 9 November 2011 (Isnin, Selasa, Rabu)



6. Penerbangan Balik Pertama: 13 November 2011 (Ahad)



7. Penerbangan Balik Akhir: 13 Disember 2011 (Selasa)



Nota: Tarikh Wukuf akan berubah mengikut tarikh ditetapkan Kerajaan Arab Saudi

Dari Kisah Terowong Moaisem


Seruling Senja



Ya Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui segala­galanya. Sama ada yang zahir dan yang tersembunyi. Yang nyata mahupun rahsia.



Wahai Tuhan Yang Maha Mengetahui segala rahsia, Engkau Maha Mengetahui akan hal ku ini. Bantulah aku dalam mencari diri. Aku tidak tahu siapakah diriku ini dan bagaimanakah aku berada disini.



Wahai Tuhan, hanya padaMu tempat aku berharap dan bermohon. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menghadapi hidupku ini. Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan hamba. Doaku selepas selesai solat dihadapan Maqam Ibrahim. Dan itulah antara doa­doa yang tidak pernah aku tinggalkan walaupun dimana sahaja aku berdoa.



Sudah hampir enam tahun aku dalam keadaan begini. Aku tidak tahu siapa diriku sendiri. Asal usulku. Dari mana aku datang, siapa ibu bapaku dan keluargaku? Semuanya tiada jawapan. Memori ingatanku bagaikan kosong daripada maklumat­maklumat berikut.



Aku sudah habis akal tentang bagaimana caranya untuk aku mengingat kembali identiti diriku sendiri. Aku tidak punya sebarang dokumen pengenalan. Menurut bapa angkatku, Prof. Dr. Syed Abdullah Ali Alawi, aku dijaganya setelah aku terlibat dalam tragedi terowong al­Muassim di Mekah yang menyebabkan ramai para jemaah terkorban. Aku terlantar dihospital selama sebulan tanpa sebarang dokumen serta tiada seorang waris pun yang datang menjengok. Kebetulan keluarga Alawi yang mulia itu datang untuk menziarahi salah seorang ahli keluarganya yang jatuh sakit. Lalu mereka bersimpati dengan keadaanku. Tangan kanan dan kaki kiriku patah. Aku tidak sedarkan diri hampir seminggu akibat dipijak oleh para jemaah yang berebut­rebut untuk keluar dari terowong itu.



Akibat dari itulah aku hilang ingatan apabila tersedar. segala­galanya kosong dan aku seolah­olah baru dilahirkan semula kedalam sebuah keluarga Arab berketurunan Rasulullah yang mulia dan fasih berbahasa Melayu.



Pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarga yang mulia itu, namun masih gagal untuk mengesan identitiku. Lalu mereka memutuskan supaya aku tinggal sahaja bersama mereka dan anggaplah mereka itu seperti keluargaku sendiri sehingga aku dapat mencari atau dapat mengingat kembali identiti diriku.



Maka selama itulah aku tinggal bersama keluarga ini disebuah perkampungan Jabal Qubis, dipinggir kota suci. Perkampungan yang dibanjiri oleh ramai musafir dari kepulauan Melayu seperti Malaysia, Siam, Indonesia dan Kemboja. Jadi tidak hairanlah jika keluarga Alawi ini mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Lagipun Syed Abdullah Ali Alawi ini adalah seorang ahli hadith bertaraf ulama berkerja sebagai timbalan rektor Jabatan Syariah di Universiti Ummul Qura. Beliau juga menjadi tempat rujuk para ulama yang datang dari seluruh dunia yang turut mengambil kesempatan untuk menemui beliau sewaktu musim haji.



Dengan pertolongan beliaulah, aku telah diterima masuk ke Universiti Ummul Qura, Mekah dalam kulliyyah Syariah wal Qanun. Sekarang ni aku baru sahaja menamatkan tesis sarjanaku di universiti itu.



Wahai anakku Ahmed! Apa yang anta menungkan? Tegur satu suara yang tidak asing lagi bagiku selama 6 tahun ini. Seorang lelaki yang dengan rela hati mengambil alih tempat ayahku. Sapaan itu melenyapkan aku dari lamunan sewaktu berada diberanda banglo 2 tingkat itu yang menghadap ke Jabal Qubis.



Ana tengah fikirkan bagaimanakah nasib ana seterusnya wahai bapa. Ujarku pada lelaki yang banyak berjasa itu. Panggilan Ahmed itu pun beliau yang berikan kepadaku.



Entahlah, telah banyak bapa lakukan tapi masih belum ada sebarang maklumat. Janganlah anakku berputus asa, berdoalah, moga Allah sentiasa merahmati anta. Lelaki tegap dan berbadan sasa itu memandangku tajam. Wajahnya bersih dihiasi jambang tersusun. Berjubah dan berserban. Menampakkan lagi kehebatannya walaupun beliau adalah seorang yang selalu merendahkan diri. Lelaki mulia yang tidak pernah membanggakan diri. Dia tiadak pernah menghampakan orang­orang yang datang untuk meminta pertolongannya. Paling tidak, beliau akan membekalkan orang itu dengan kata­kata yang penuh berhikmah.



Buat masa sekarang, aku tidak ada apa­apa untuk dilakukan. Pengajianku sudah tamat, Cuma menunggu keputusannya sahaja. Seharian masaku selalu dihabiskan dengan membaca buku­buku dan kitab­kitab yang banyak dalam perpustakaan milik keluarga Alawi itu. Cuma kadang­kadang sahaja aku keluar melawat lading kurma dan zaitun milik keluarga itu untuk menenangkan fikiran yang terganggu atau sekadar mengambil angin.



Aku lebih suka bersendirian, cuma sesekali sahaja aku ditemani Hassan, anak bongsu keluarga itu yang satu­satunya tinggal bersama keluarga itu. Dua orang anak lelaki mereka telah berkahwin dan tinggal berasingan. Manakala anak perempuan tunggal keluarga itu masih menuntut di Universiti Khortum, Sudan. Bila ada majlis sahaja mereka akan pulang kerumah untuk berkumpul ataupun pada hujung minggu.



Petang ini aku ke kebun zaitun milik bapa angkatku. Saja untuk menenangkan fikiran. Aku bersendirian kesana. Beberapa orang pekerja sedang melakukan kerja harian menjaga pohon­pohon zaitun agar sentiasa subur dan berbuah. Mereka sesekali menegurku apabila menyedari kehadiranku kesitu. Mereka mengenaliku oleh kerana kekerapanku kesana terutamanya ketika musim mengutip buah.



Setelah puas aku disana, aku balik kerumah untuk mempersiapkan diri bagi solat maghrib. Aku selalu berjemaah di Masjid al­Haram kecuali pada ketika ada majlis tertentu di rumah. Aku lebih senang berjemaah disana kerana hatiku cukup tenang sewaktu berdiri dan sujud di rumah Allah yang mulia itu. Mungkin itulah diantara keberkatan yang telah dimakbulkan Tuhan dalam doa Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail a.s sewaktu membina Kaabah.



Sewaktu aku tiba diperkarangan banglo dua tingkat milik keluarga Alawi itu, aku dapati ada beberapa buah kereta dihadapan rumah.



Ada majlis apakah hari ini? Soalku sendirian kerana satahu aku, bapa dan ummi tidak pernah memberitahuku untuk mengadakan sebarang majlis hari ini.



Selepas memberi salam kepada ahli rumah, aku melangkah masuk. Rupa­rupanya semua ahli keluarga itu balik berkumpul. Zainal Abidin, putera yang sulong. Zainal Arifin, putera kedua. Amirah al­Husna, satu­satunya puteri tunggal milik keluarga itu dan yang bongsu, Zainal Hassan. Zainal Abidin dan Zainal Arifin telah berkeluarga. Masing­masing mempunyai dua orang cahaya mata yang cukup comel.



Aku merapati kedua­dua anak lelaki keluarga Alawi itu. Sudah menjadi tradisi masyarakat Arab, mereka akan memeluk dan mencium pipi sebagai tanda keakraban. Aku rasakan seolah­olah aku benar­benar dilahirkan dari keluarga itu kerana mereka memperlakukan aku seperti keluarga kandung mereka sendiri. Syed Abdullah tersenyum melihat kelakuan kedua­dua puteranya itu.



Ada majlis apakah malam ini wahai bapa? Soalku menoleh kearah Syed Abdullah.



Entahlah, bapa dan ummi sendiri pun tak tahu dengan rancangan mereka ini. Sebaiknya anta tanya mereka sendiri. Jawab Syed Abdullah.



Aku memandang kearah Zainal Abidin, Zainal Arifin dan yang terakhir Amirah al­Husna. Hatiku tiba­tiba sahaja berdebar­debar sewaktu menatap wajah gadis yang tengah mekar itu. Keningnya yang hitam lebat, hidungnya yang mancung serta bibirnya yang merah merekah. Terlalu jarang aku dapat bertemu dengan gadis itu. Kebanyakkan masa cutinya dihabiskan di tempat pengajiannya sahaja.



Suara­suara kecil yang galak bermain mengejutkan aku dari lamunan. Kelihatan Amirah tunduk malu. Mungkin disebabkan aku terlalu asyik merenungnya. Aku kembali berpaling kearah Zainal Abidin yang tersenyum. Aku tidak tahu apakah maksud senyumannya itu.



Hari ni kita nak raikan Amirah sempena tamat pengajian serta ulang tahun kelahirannya. Ujar Zainal Abidin setelah aku agak lama menantikan jawapan itu darinya.



Ulang tahun Amirah! MasyaAllah, aku memang terlupa pasal tu. Aku terlupa yang hari ini adalah hari ulang tahun Amirah al­Husna yang ke 24. Dah dewasa rupanya gadis ini. Patutlah perwatakannya mampu menarik perhatian orang.



Aku memohon diri untuk mempersiapkan diri. Namun fikiranku terfikir­fikir tentang apa yang patut aku berikan kepada Amirah sebagai hadiah ulang tahunnya ini. Aku tak beli apa­apa pun sebab langsung terlupa. Dalam berfikir itu aku teringatkan sesuatu yang pernah aku beli sewaktu melawat Moroko dulu. Aku masih simpannya elok dalam almari pakaianku. Mungkin Amirah akan menyukainya.



Rupanya agak besar juga majlis malam ni. Sewaktu aku turun dari bilik, saudara bapa angkatku Syed Muhammad Ali Alawi dan Syed Ahmed Ali Alawi berserta keluarga masing­masing juga turut datang.



Aku mengalu­alukan kedatangan mereka. Aku terlalu takjub dengan keluarga itu. Orang luar seperti aku ni dianggap mereka bagai ahli keluarga mereka sendiri. Mereka tidak pernah memperlakukan aku seperti orang asing. Malah, dalam keadaan­keadaan tertentu mereka mendahulukan aku daripada keluarga mereka sendiri.



Majlis bermula dengan solat berjemaah diruang solat rumah itu. Kemudian kami mengadakan majlis berzanji dan membaca selawat keatas Rasulullah yang dilagukan dari kita Syeikh Jaafar al­Berzanji. Alunan suara Syed Abdullah, Syed Muhammad dan Syed Ahmed serta Zainal Abidin dan Zainal Arifin cukup membuatkan para pendengar tersentuh dan mengetahui bahawa keluarga yang mulia ini adalah keluarga yang menghargai seni terutamanya syair­syair dan puji­pujian yang indah. Aku juga terpaksa mengambil bahagian setelah berkali­kali diminta oleh keluarga itu untuk melagukan Talaa Badrul Alaina yang masyhur itu.



Sesudah solat Isyak, kami menghadapi jamuan kesyukuran yang diadakan dirumah itu. Para hadirin masing­masing menghulurkan hadiah kepada Amirah. Aku juga bangun untuk berbuat demikian.



Sebelum Ahmed menyerahkan hadiah, dijemput dulu untuk menyampaikan sebuah puisi buat kami! Zainal Arifin selaku pengerusi majlis tiba­tiba mengumumkan demikian. Aku tergamam seketika, aku tak buat apa­apa persiapan untuk baca puisi. Lagipun aku tak tahu puisi apa yang nak dibaca. Semua hadirin memandang kearahku sebagai tanda sokongan.



Pergilah Ahmed, bapa tahu anta boleh. Syed Abdullah memberikan sokongan.



Aku bergerak kehadapan sambil membawa bungkusan hadiah untuk Amirah. Aku tak tahu puisi apa yang patut aku sampaikan. Mereka tahu aku memang meminati sastera terutamanya puisi dan syair. Sebab itulah dengan sengaja mereka meminta aku membuat persembahan ini.



Lalu aku bacakan sebuah puisi yang pernah aku baca suatu ketika dulu. Puisi yang bertajuk Jauhkah aku atau dia. Puisi itulah juga akan aku hadiahkan kepada Amirah. Puisi yang telah ditulis dengan pasir dan difremkan sewaktu aku melawat sebuah pusat pelancongan di Maghribi.







JAUHKAH AKU ATAU DIA







Jauh itu



.. ada ruang yang memisah



Jauh itu



.. dua hati yang terpisah







Pabila jauh



.. ada rasa yang resah



Pabila jauh



.. ada jiwa yang gelisah



Pabila jauh



.. ada rindu yang tak sudah-sudah







Ku mohon jauh



.. musuh yang menceroboh



Ku mohon jauh



.. penyakit yang sukar sembuh



Ku mohon jauh



.. kasihmu berubah



Ku mohon jauh



.. setiamu berpaling tadah







Majlis selesai agak hampir tengah malam. Para tetamu yang hadir kini beransur pulang. Aku membantu ummi dan Amirah mengemas rumah. Sementara semua saudara lelakinya itu berbual­bual dengan bapa mereka.



Tak payahlah akhi bersusah payah, ana boleh Bantu ummi kemaskan. Kata Amirah apabila melihat aku berulang alik dari ruang tamu kedapur membawa pinggang mangkuk.



Tak apalah Amirah, ana dah biasa macam ni. Lagipun kesian juga kat Amirah dan ummi, tentu penat. Jawabku sambil meletakkan pinggan kedalam sinki.



Ahmed ni memang macam tu. Dialah yang selalu tolong ummi kat dapur kalau dia ada kat rumah. Sampuk ummi sambil tangannya ligat membasuh pinggan.



Bertuahnya ummi sebab dapat pembantu rumah yang rajin. Usik Amirah. Ummi dan Amirah ketawa serentak. Aku hanya tersenyum sahaja.



Aku merenung kearah Amirah yang sedang ketawa itu. Terserlah satu lesung pipit di pipi sebelah kanan. Dia keliahatan anggun dengan jubah dan tudung begitu.



Ana lagi bertuah sebab dapat keluarga sebaik keluarga ini. Hanya Allah sahaja yang layak membalasnya. Jasa keluarga ini akan ana kenang sampai mati. Jelasku pada ummi dan Amirah.



Setelah semuanya selesai, aku naik kebilik meninggalkan ahli keluarga itu diruang tamu yang masih lagi asyik bersembang. Badanku rasa penat dan aku merebahkan badan atas katil. Entah bila aku terlena begitu sahaja.



Terasa betapa tenangnya jiwaku sewaktu aku bersolat di hadapan Kaabah dan di belakang Maqam Ibrahim. Itulah tempat kegemaranku untuk beriktikaf. Aku memang selalu datang awal ke Baitullah ini untuk menanti kedatangan subuh. Aku ambil kesempatan untuk bermunajat kepada Allah akan hal keadaan diriku.



Assalamualaikum..! Salam itu mengganggu munajatku. Aku berpaling dan mendapati seorang lelaki berjubah serta berselubung putih berada disisiku. Haruman wangi semerbak mencucuk hidung.



Waalaikumussalam Jawabku perlahan. Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dan mendapati tangannya lembut seperti tidak bertulang.



Wahai anakku Ahmed! Selepas waktu dhuha esok, pergilah kamu ke Jabal Rahmah. Di sana nanti, akan engkau temui seseorang yang akan memberitahu siapakah dirimu yang sebenarnya. Khabar lelaki itu.



Rupanya ini adalah alamat dan petanda buatku. Sebelum ini aku hanya sekadar bermimpi lelaki tersebut datang memberitahuku sedemikian. Dan sangkaanku itu hanya mainan tidur. Tapi pagi ini lelaki itu datang sendiri menemuiku di hadapan Kaabah yang mulia ini. Aku terus bertakbir dan sujud syukur atas pengkhabaran utusan Tuhan itu.



Wahai Tuhan kami, janganlah jadikan hati kami condong kepada kesesatan setelah Engkau memberi petunjuk kepada kamidan kurniakanlah kepada kami rahmay di sisi Engkau kerana Engkaulah Maha Pemberi. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk pembalasan pada hari yang tidak ada keraguan. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji.



Wahai Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul kerana itu masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi tentang keesaanMu.



Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.



Wahai Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, dan Engkau adalah Maha Penyayang.



Apabila aku bangkit dari sujud, aku dapati lelaki itu telah tiada. Hanya ditinggalkan haruman kasturi yang semerbak baunya. Aku bertekad, selepas waktu dhuha esok, aku akan ke Jabal Rahmah. Moga-moga doa dan munajatku selama ini dimakbulkan Tuhan.



Selepas solat subuh, aku berwirid dan berzikir serta membaca al-Quran di Maqam Ibrahim. Sehinggalah masuk waktu dhuha. Aku bangun menunaikan solat dhuha. Memohon rahmat dan limpah perkenan Allah Taala buatku dalam meneruskan kehidupan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana kesudahannya nanti.



Suasana masih lagi agak dingin, namun itu tidak dapat menghalang para jemaah untuk datang ke Jabal Rahmah ini. Tempat yang penuh berkat ini adalah tempat pertemuan diantara Adam a.s dan isterinya Hawa. Setelah bertahun-tahun Nabi Adam a.s bermohon dan bermunajat kepada Allah agar dipertemukan kembali dengan isterinya, maka Allah telah memakbulkan doanya dengan mempertemukan mereka di Jabal Rahmah ini.



Aku berjalan kearah satu batu besar untuk duduk menghilangkan penat. Agak tinggi juga bukit ini perlu didaki untuk sampai ke puncaknya. Bagi orang yang tidak biasa, ia akan memenatkan. Aku melilau mencari sebarang petanda mahupun petunjuk yang memungkinkan aku mengetahui tentang identiti diriku sendiri.



Abang Hussin!! Sekumpulan lelaki datang mengerumuniku. Aku kepelikan kerana mereka memanggilku Hussin.



Abang Hussinkah ini? Soal salah seorang daripada mereka. Aku terkebil-kebil melihat mereka.



Saya tak tahu, siapakah saya. Jawabku.



Aku menceritakan perkara sebenar yang telah berlaku kepadaku sebagaimana yang diceritakan oleh keluarga Alawi itu sehinggalah aku menemui lelaki tua berjubah sebelum subuh tadi. Mereka kelihatan tercengang selepas mendengar kisahku itu.



Tuan Syeikh, inilah abang Hussin yang kami sangka telah meninggal selama ini. Jelas pemuda yang bernama Abd. Rahman. Aku membawa pemuda-pemuda itu kerumah keluarga angkatku. Aku mahu keluarga angkatku juga tahu tentang perkara ini.



Adakah antum semua yakin bahawa ini adalah Hussin yang antum semua maksudkan itu? Soal bapa angkatku kepada mereka.



Ya, kami yakin. Jawab mereka serentak.



Alhamdulillah! Allah telah makbulkan doa kami. Jawab bapa angkatku sambil tersenyum.



Ada titis air mata kesyukuran mengalir. Betapa Maha Suci Tuhan yang Maha Mendengar bisikan hatiku selama ini. Berita ini membuatkan aku tak sabar untuk kembali ke tanah tumpah darah yang telah lama aku tinggalkan.



Abang Hussin jangan risau, kami akan hubungi saudara kami disana. Mereka akan datang pada musim haji nanti dengan segala dokumen perjalanan abang Hussin. Beritahu Abd. Razak.



Abd. Rahman, Abd. Razak, Abd. Hafiz dan Abd. Halim adalah pelajar-pelajar tahun pertama Kulliyyah Hadis di Ummul Qura. Inilah berita paling gembira dalam hidupku apabila dapat mengetahui siapakah diriku ini. Aku telah diberitahu bahawa aku mempunyai seorang ibu tua dan seorang tuning yang masih setia dan mengharapkan kepulanganku. Aku masih cuba untuk mengumpul kembali semua ingatanku. Terlalu sukar untuk aku lalui hidup ini seperti sediakala jika aku gagal untuk menjemput kembali ingatan yang telah pergi. Sekarang ini aku bagaikan orang asing.



Segala puji bagi Tuhan yang telah memberikan sedikit rahmatnya menemukan aku dengan pemuda-pemuda utusan Tuhan itu.



Kita akan sama-sama berangkat ke Malaysia nanti. Beritahu Syed Abdullah padaku.



Hari ini diadakan satu majlis kesyukuran. Semuanya dijemput terutama pemuda-pemuda yang aku temui di Jabal Rahmah itu. Tempat pertemuan Adam dan Hawa. Mereka memperkenalkan diri sebagai anak-anak pondok Ahmadiyyah Bukit Gading.



Sebelum itu, bapa ada satu hajat besar untuk disampaikan pada kamu. Bapa berharap sangat kiranya kamu dapat penuhinya. Beritahu Syed Abdullah.



Nyatakanlah wahai bapa! Akan ana penuhi permintaan bapa itu sedaya mampu ana. Bagiku, apalah sangat sekadar permintaan Syed Abdullah itu jika nak dibandingkan dengan budi yang telah aku terima daripada beliau sekeluarga.



Kalau boleh, ingin sekali bapa jodohkan kamu dengan Amirah al-Husna. Permintaan itu terlalu besar buatku. Bagaimanakah akan kukatakan padanya tentang aku telah ada tunangan yang masih lagi setia menanti di tanah air. Bisakah aku menolak permintaannya itu sedangkan beliau telah banyak jasanya padaku.



Walaupun kepenatan belayar dilautan luas masih lagi terasa, namun ia tidak mampu untuk mengatasi gejolak perasaanku yang ingin menemui orang-orang penting dalam hidupku. Syed Abdullah seisi keluarga serta anak-anak pondok Ahmadiyyah Bukit Gading yang belajar di Ummul Qura turut mengiringiku. Semua perbelanjaan kepulanganku ini ditanggung oleh keluarga yang mulia itu.



Debaran di dada makin kuat terasa. Aku masih belum mampu untuk memanggil kembali semua ingatanku yang lalu. Aku seolah-olah terpaksa memulakan kembali perjalanan hidupku ini dengan cerita baru dan lembaran baru. Ia terlalu sukar untukku. Tambahan pula bila aku kembali ke kampong halaman ku ini.



Rombonganku melalui pondok-pondok kecil tempat kediaman para pelajar. Semua mata tertumpu kepadaku. Kami dibawa oleh Abd. Halim sebagai ketua rombongan menuju ke rumah tuan guru pondok Ahmadiyyah itu. Rombongan hampir 20 itu menjadi perhatian ramai.



Betapa damainya keadaan sekeliling yang menghijau. Pun begitu, ia tidak mampu menenangkan perasaanku yang bergejolak. Aku tidak ingat siapa ibuku, aku juga tidak ingat siapakah tunanganku. Bagaimanakah akan kuhadapi mereka itu sedangkan aku sendiri tidak mengenali mereka.



Assalamualaikum. Abd. Halim memberikan salam sewaktu sampai dikaki tangga.



Kedengaran salam itu dijawab serentak beramai-ramai. Kelihatan seorang ibu tua dipapah oleh beberapa orang wanita turun kebawah.



Hussin Ibu itu memanggil demikian. Aku lihat ada cucuran air mata pada kedut-kedut wajahnya.



Aku hanya tegak dikaki tangga memerhati ibu itu. Ada suatu rasa yang halus dan kudus dalam lubuk hatiku sewaktu terpandang matanya. Ada satu sirna pengarapan.



Inilah ibu abang Hussin Jelas Abd. Halim kepadaku. Lantas aku memeluk dan mencium ibuku sepuasnya. Ibu menangis dalam pelukanku.



Dah lama mak tunggu engkau balik Sin. Bisik emak dalam tangis.



Maafkan hamba sebab buat mak ternanti-nanti disini. Balasku.



Emak memegang pipi sambil merenung wajahku. Aku tahu dia terlalu rindukan aku selama ini. Aku tahu sebab aku juga rindu walaupun aku tidak tahu kepada siapakah rinduku ini.



Dalam ketika itu aku terpandangkan seorang gadis yang bediri dikaki tangga memerhati kearahku. Ada tanda perit derita diwajahnya.



Itu kak Fatimah, tunang abang Hussin. Beritahu Abd. Razak.



Subhanallah Maha Suci Allah yang telah mentakdirkan suatu pertemuan yang kudus ini setelah berlakunya perpisahan yang tidak dijangkakan.



Maha Suci Tuhan yang mendengar segala rintihan dan permohonan hamba. Maha Suci Tuhan yang memenuhi hajat hamba. Maha Suci Tuhan yang menentukan segalanya.



Suasana gembira dan ceria menguasai keadaan. Ramai sekali orang yang datang memenuhi rumah tuan guru itu. Aku diperkenalkan kepada beberapa orang yang terpenting dalam hidupku sebelum ni seperti tuan guru Ahmad, ibu, emak, dan Fatimah. Aku bagaikan berada didalam lingkungan orang yang asing walaupun mereka adalah orang-orang yang menemani hidupku suatu ketika dulu.



Tuan-tuan sekalian! Hamba mohon maaf kerana tak dapat mengingati tuan-tuan sekalian. Padahal suatu ketika dahulu, tuan-tuan sekalian adalah orang yang rapat dalam hidup hamba. Hamba harap,tuan-tuan dapat memberikan peluang dan ruang untuk hamba mengingati kembali. Ucapku kepada hadirin.



Dalam hali ini, pertolongan tuan guru, emak, ibu dan Fatimah sendiri amat hamba perlukan. Aku memandang kepada mereka semua. Ibu, emak dan Fatimah kelihatan mengesat mata dengan hujung selendang mereka.



Hamba juga nak perkenalkan kepada tuan-tuan sebuah keluarga yang telah banyak jasanya selama hamba berada di Mekah. Keluarga yang mulia keturunan Rasulullah, keluarga Syed Abdullah Alawi. Jasa mereka semua akan hamba kenang sampai mati. Ujarku.



Tuan guru memandang kearah Syed Abdullah itu. Selepas beberapa ketika, beliau bangun dan menghampiri Syed Abdullah. Aku lihat mereka bercakap sesuatu dan kemudiannya mereka berpeluk antara satu sama lain.



Syed Abdullah ini adalah teman hamba sewaktu mengaji di Mekah dulu. Beritahu tuan guru apabila beliau melihat hadirin memandang kearahnya.



Datuk tuan syeikh inilah guru kami. Jelas tuan guru lagi.



Alhamdulillah. Segala puji itu untuk Tuhan kerana dengan rahmatnya telah berlaku dua pertemuan. Pertemuan aku dengan keluarga dan pertemuan antara tuan guru dan sahabat lamanya Syed Abdullah.



Syed Abdullah dan keluarganya akan tinggal beberapa hari di Bukit Gading sebelum mereka berangkat kembali ke Mekah. Lagi pun Syed Abdullah sangat gembira kerana dapat bertemu kembali dengan rakan segurunya, tuan guru Ahmad yang telah sekian lama terputus hubungannya.



Ada apa tuan guru dan bapa nak jumpa hamba? Macam ada hal penting aje. Soalku pada suatu petang sebelum keberangkatan Syed Abdullah ke Mekah. Aku dipanggil bersama semua ahli keluarga untuk bertemu diruang tamu rumah tuan guru. Turut sama Fatimah dan Amirah al-Husna.



Hari ini kami nak bincangkan pasal perkahwinan kamu. Jawab Syed Abdullah.



Siapakah yang kamu pilih antara Fatimah dan Amirah wahai Hussin? Pertanyaan tuan guru itu memeranjatkan aku. Aku merenung kearah Fatimah dan Amirah yang tunduk disisi ibu mereka.



Jawapan bagaimanakah yang patut aku berikan bagi mendamaikan dua keping hati yang mengharapkan? Siapakah yang patut aku pilih, sedangkan keduanya bertahta dihatiku?



Terlalu sukar untuk hamba buat pilihan tuan guru. Jawabku gugup. Suasana pertemuan itu hanya diserikan oleh suara cucu-cucu Syed Abdullah sahaja yang sedang asyik bermain dengan kucing kesayangan Fatimah.



Fatimah adalah tunangan hamba yang diikat dengan janji yang wajib hamba tunaikan. Amirah pula adalah dari keluarga yang banyak berjasa kepada hamba yang budinya tak akan dapat hamba balas sampai mati. Jawabku ikhlas.



Syed Abdullah dan tuan guru berpandangan antara satu sama lain sambil tersenyum setelah mendengar jawapanku itu.



Apa pandangan kamu wahai Fatimah? Soal tuan guru.



Hamba redha sekiranya abang Hussin memilih Amirah. Kerana keluarga Amirah telah banyak berjasa kepada abang Hussin selama ini, perlahan sahaja jawapan itu. Namun cukup untuk didengar oleh semua ahli keluarga yang berkumpul pada hari ini.



Benarkah begitu Fatimah?! Sungguh mulia hatimu itu. Detik hatiku.



Bagaimana pula pendapat kamu wahai Amirah? Soal Syed Abdullah kepada puteri tunggalnya itu.



Kak Fatimah lebih berhak untuk dipilih oleh abang Hussin kerana kak Fatimah adalah tunangan abang Hussin sejak dulu lagi. Jawapan itu buat aku terkejut.



Mulia sungguh hatimu gadis. Bisik hatiku.



Kelihatan tuan guru dan Syed Abdullah berbisik antara satu sama lain. Aku seolah-olah seperti seorang pesalah yang sedang di adili oleh majlis tahkim oleh kerana kesalahan memiliki cinta dua orang gadis.



Wahai Fatimah dan Amirah! Ayah mahu dengar jawapan kamu berdua dengan ikhlas. Jelas tuan guru.



Sudikah kamu berdua untuk bermadu? Sekali lagi aku terkejut.



Kedua-dua gadis itu masing-masing berpandangan. Setelah senyap beberapa ketika, keduanya kelihatan mengangguk serentak.



Masya Allah. Bisik hatiku.



Maka pada hari ini, akan kami serahkan kepada kamu wahai Hussin kedua-dua puteri kami untuk diperisterikan.



Allahu Akbar, walillahilhamd Itulah ucapan pertama yang keluar dari bibirku apabila Syed Abdullah menamatkan kata-katanya itu.



Maha suci Tuhan yang mengetahui keadaan hambanya. Inilah barangkali berkat doaku selama ini.



Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadaMu akan sesuatu kehidupan yang bersih, kematian yang lurus dan kembali dengan tidak ada mendapat kehinaan dan cacat cela.



Ya Allah, yang memiliki kerajaan, Engkau berikan kerajaan itu kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau tanggalkan kerajaan itu daripada sesiapa Engkau kehendaki, dan Engkau muliakan akan orang yang Engkau kehendaki, di tanganMulah kebajikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu. Pengasih di dunia dan di akhirat serta memberikan kedua-duanya kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Kasihilah aku dengan rahmatMu, kayakanlah aku dengan rahmatmu.



Ya Allah, Engkau muliakanlah hidupku dengan dua puteri ini. Jadikanlah keduanya penyeri dalam hidupku seumpama Hawa penyeri Adam dan Zulaikha penyeri Yusof. Janganlah Engkau jadikan keduanya fitnah bagiku kerana pastinya aku tidak mampu untuk berbuat demikian.



Wahai Tuhan kami, sesungguhnya barangsiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sungguh orang itu telah Engkau hinakan, dan tidak ada penolong bagi orang-orang yang zalim. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mendengar seruan yang menyeru untuk beriman, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan matikanlah kami beserta orang-orang yang banyak berbuat baik. Wahai Tuhan kami, berilah apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan rasul-rasul Engkau dan janganlah Engkau hinakan kami di hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak akan menyalahi janji.



Wahai Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan adil dan Engkaulah pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.



Wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dengan cinta, peliharakanlah kami dengan cinta, kurniakanlah kami dengan kasih, hiasilah kami dengan rindu dan jemputlah kami dengan penuh kerinduan.



Seruling Senja
2.02.04
12.09 tengahari
Chamber of CJ.
Kota Bharu, Kelantan.
http://seruling_senja.tripod.com/

Tragedi Muassim mengajar erti tawakkal



oleh Latifah Abdul Wahab

(Tersiar di Harakah keluaran 1-15 november 2006.



Pengalaman mengerjakan haji di waktu usia 20an amatlah berbeza dengan pengalaman mengerjakannya pada usia yang agak lanjut. Namun semua itu bergantung kepada keupayaan diri dari segi kewangan , kesihatan dan yang penting matlamat haji itu sendiri. Bagi saya mengerjakan Haji di waktu muda adalah matlamat utama yang saya idamkan kerana saya bimbang tak dapat mengerjakannya dengan sempurna ketika usia tua. Lagi pun mengerjakan Haji di usia muda memungkinkan kita menimba lebih banyak pengalaman haji dan umrah jika ada kesempatan sebelum tua dan uzur.



Pengalaman pertama kali mengerjakan haji pada tahun 1990 tidak lekang dari ingatan saya. Itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Madinah dan Mekkah dan dalam tahun itulah terjadinya tragedi Muassim yang mengorbankan lebih dari 6000 jemaah haji seluruh dunia. Alhamdulillah saya terselamat bila bas yg sepatutnya membawa kami ke Muasim untuk melontar, telah ter’sesat’. Kami sepatutnya tiba di Muassim sebelum subuh , tetapi terpaksa pula ber’kukus’ dalam bas yang tak ada hawa dingin lebih dari 12jam.



Dalam bas yang agak daif, bilangan jemaah tak begitu ramai kerana kami naik bas yang hampir terakhir. Di pertengahan jalan bas berhenti henti untuk menumpangkan jemaah yang berjalan kaki iaitu jemaah dari negeri lain. Ini menyebabkan bas penuh bersesak. Saya terpaksa berdiri memberikan ruang duduk kepada wanita tua . Saya tak bawa makanan melainkan sebiji epal sedikit air yg dibuat wudhu dan untuk minum. Tiba di terowong azziziyah dekat Mekkah, bas sudah tak boleh bergerak ke mana lagi, kami di arah turun dan cari jalan sendiri ke arah bendera Malaysia yang sayup kelihatan dari tempat kami diturunkan.



Keadaan cuaca yang terlalu panas, saya kakak dan abang ipar meredah jalan2 yang dipenuhi oleh kemah2 sementara .Sepanjang jalan saya hanya mampu berdoa ‘ Ya Allah terima lah amalku, ya Allah kuatkanlah kaki ku ini untuk ibadah kepada mu sepanjang hayat. Ya Allah jika sampai ajalku, Engkau redholah keatas diriku, ampunilah aku. Rabbana atina fid dunnya hasanah, wa fil akhiroti hasanah , wa qina ‘azabbannar”. Itulah doa yg saya reka2kan disamping doa doa yang selalu dihafal dari buku al-makthurat sepanjang jalan sementara nak sampai ke Muassim.



Perut yang berdendang keroncong sudah tak dihiraukan lagi. Tak banyak yg kami bualkan sepanjang jalan. Sekali sekala kami berhenti di dekat kemah jemaah lain, tapi tak ada siapa mempelawa kami berteduh jauh sekali nak pelawa minum atau makan. Mungkin kerana perbezaan bahasa. Air yg kami bawa tak diminum sangat kerana bimbang hendak ke tandas. Masa itu juga terfikir di mana jemaah yg berkemah itu buang air kerana tak nampak pun ‘tandas bergerak’ .



Pada masa itu selain zikir dan doa yg tak henti2 , kami melihat2 dan tercari cari jemaah jemaah lain yang tadinya turun bersama kami. Tapi hanya kelihatan 2-3 orang sahaja. Handak mencari mereka pun, sudah tidak terfikir. Kami perlu sampai ke destinasi, yang pada ketika itu tak pasti tempatnya. Tiada petugas haji sepanjang jalan. Kami hanya bertanya2 kepada orang yang kami temui, hanya satu perkataan disoal “malizia”.



Akhirnya sampai juga kami ke kemah KT60 yang terletak hampir di hujung . Kami mengambil masa kira-kira 2 jam setengah, mungkin kira-kira 5km jauhnya.Tiba di kemah jam 2. 30 petang , masih sempat untuk solat zohor. Letih tak boleh nak dibayangkan . Waktu itu adalah hari raya, orang di Malaysia tentunya sedap mengadap ketupat dan TV , tapi kami ketika itu terpinga2 dengan kesesakan yang luar biasa. Keluarga di Malaysia pula sentiasa membaca skrin TV , takut jika nama kami terpapar sebagai arwah. Bimbang keluarga berbeza dengan bimbang kami yang masih tak dapat membayangkan apa yang terjadi. Kami tidak mendengar radio, tidak menonton TV dan tidak membaca akhbar.



Pada ketika itu kami tak tahu apa yang berlaku sehingga waktu Maghrib barulah ustaz2 bertugas buat pengumuman tentang terjadinya kemalangan di tempat melontar. Malam itu mutawwif haji membawa kami melontar waktu tengah malam melalui jalan lain iaitu di luar bukit yang menyaksikan tragedi ‘pembunuhan beramai2’. Jaraknya lebih kurang 4 km juga berbanding dengan cuma 2km jika ikut terowong. Keadaan kelam kabut di kemah kerana ada anak2 yg pulang dari terowong tanpa ibubapa. Ada yang hilang mahram , macam macam peristiwa tangisan yang membuat kami tambah bingung.



Dalam kesesakan manusia, kami patuh arahan petugas tabung haji walaupun kakak saya sudah ada pengalaman haji sebelumnya. Apa yang sebenarnya terjadi dan bagaimana kejadian berlaku masih tidak kami ketahui, kami lebih menumpu kepada ibadah. Alhamdulillah walaupun siangnya kami sudah berjalan kaki sejauh 5-6 km, dan malamnya terpaksa lagi berjalan 8km (pergi balik) tetapi Allah masih memberikan kekuatan sehingga selesai ibadah melontar. Inilah kekuatan luar biasa yang saya alami sepanjang hidup, berjalan berbatu batu siang dan malam. Walaupun saya masih ada kesan demam campak, saya gagahi segalanya untuk mengempurnakan rukun Islam saya.



Tak dapat saya bayangkan jika kejadian itu berlaku ketika usia saya lebih 60 tahun. Dapatkan saya berjalan segagah itu? Saya merasa amat lega bila tanggungjawap seorang muslim sudah tertunai dan tahun tahun berikutnya saya dapat pula kesempatan melakukan umrah. Pengamalan ibadah haji yang pertama itu telah mengajar saya erti sabar, tabah,bertolak ansur dan paling penting ialah ia mengajar erti tawakkal yang sebenar. Ketika berjalan tanpa peta , di sebuah negara asing, tiada sanak saudara yang hendak dihubungi, terasa betapa dekatnya diri dengan Allah. Hanya Allah ada di hati , di lidah dan di fikiran. Itu lah saatnya saya merasakan tawakkal saya berada di puncak. Alhamdulillah

Tuesday, October 11, 2011

PERSEDIAAN SEBELUM WUKUF


Persediaan untuk wukuf sebelum 8 Zulhijjah;


1. Semak maklumat perjalanan ke Arafah di pejabat Maktab / poster yang ditampal

2. Dapatkan Sticker nombor khemah di Arafah dan di Mina

3. Tampal Sticker di belakang Tanda Nama dan beg galas atau beg yang dibawa


Jemaah dinasihatkan tidak makan terlalu kerap dan banyak ketika ‘masyair haji’iaitu di Padang Arafah, Muzdhalifah dan Mina, kerana kemudahan tandas adalah terhad. Bawa buah kurma dan air zam-zam untuk dimakan ketika dalam perjalanan untuk mengalas perut.

Barang-barang yang perlu dibawa ketika wukuf

Seboleh-bolehnya bawa barang yang perlu sahaja dan gunakan beg yang kecil.

NO          PERKARA                                                                       
1. Buku Ibadat Haji, Umrah & Ziarah                                  
2. Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji
3. Buku Doa Wirid Terpilih / Al-Quran
4. Buku Panduan Perjalanan Jamaah Haji 
5. Gelang Pengenalan Haji
6. Name Tag Jemaah Haji Malaysia
7. Botol Spray - wuduk / Spray dalam khemah, waktu panas
8. Beg Plastik - muntah
9. Sunglasses
10. Gunting @ pisau cukur – Gillette – pisau cukur di sana tumpul untuk tahallul
11. Uncang batu / PORCH / lampu suluh+bateri AA/AAA 24
12. Air minum/biskut (kemungkinan jem)
13. 2 helai kain pelikat + tidak berjahit (dipakai ketika tidur atau mandi semasa dalam ihram)
14. 2 helai seluar trek
15. 2 helai t-shirt
16. 1 helai jubah
17. 1 helai baju sejuk / sweater
18. Payung kecil
19. 1 kasut – selepas ihram untuk lelaki
20. Mask – penutup mulut
21. Hand Phone + 2 bateri (full charge)
22.. Tikar kecil
23. Ubat batuk / strepsil dan lain-lain (Boleh sedekah)

Tindakan sebelum meninggalkan bilik hotel

1. Tunggu di bilik sehingga pengumuman dibuat untuk ke Arafah
2. Serah kunci bilik kepada kaunter hotel
3. Pastikan sentiasa dalam kumpulan

Monday, October 03, 2011

“Bukan encik, ini bukan bilik kami!” kata Pak Ngah.

Malam itu sekali lagi saya tidak dapat melelapkan mata. Setelah menelaah serba sedikit tentang manasik haji, saya turun ke lobby hotel. Biasanya saya akan melakukan bacaan santai diluar bilik hotel. Bilik kami terletak bersebelahan dengan lif. Disebelah lorong kanan terdapat meja sebesar meja computer. Disitulah saya selalunya membaca manasik haji atau membaca Al-Quran selain di surau hotel. Di lobby hotel saya menghempaskan punggung di atas sofa yang berhadapan dengan pintu masuk hotel. Dari situ saya dapat melihat jemaah yang baru pulang dari melakukan umrah sunat serta mereka yang baru hendak mencari-cari kenderaan untuk pergi ke Miqat. Miqat yang paling hampir ialah Tanaiem. Disitulah miqat yang paling popular, selain Ji’ronah dan Hudaibiah.


Aktiviti umrah sunat, biasanya jemaah haji akan memilih waktu awal pagi. Ini kerana panas waktu siang boleh mencapai sehingga 40 darjah celcius. Apabila selesai berniat umrah di Miqat mereka akan terus ke Masjidil Haram untuk melakukan tawaf dan saie pula. Jangkamasa untuk melakukan umrah sunat sekiranya bermiqat di Tanaiem ialah kira-kira 3 ke 4 jam. Kemudian terus solat subuh. Selesai solat subuh biasanya mereka akan balik ke hotel masing-masing bersarapan dan berehat. Selepas waktu asar barulah mereka kembali semula ke Masjidil Haram untuk solat maghrib dan isyak

Sedang saya memerhatikan gelagat jemaah yang berulang alik dengan aktiviti mereka, datang seorang pakcik menghampiri,

“Encik, boleh tolong Pak Ngah tak?”

“Tolong macam mana tu Pak Ngah?” tanya saya pula kepada jemaah lelaki tersebut yang membahasakan dirinya Pak Ngah.

“Kami dah sesat. Kami tidak tahu jalan hendak pulang semula ke hotel.” Jawab Pak Ngah

“Pak Ngah duduk maktab berapa?” saya bertanya lagi untuk kepastian.

“Maktab 78” jawab Pak Ngah.

Bersama-sama Pak Ngah terdapat dua orang lagi jemaah perempuan. Seorang kelihatan berumur lingkungan 80 tahun, manakala seorang lagi kelihatan sebaya dengan Pak Ngah, dalam lingkungan 60 tahun.

Saya minta izin untuk melihat kad nama Pak Ngah. Betul, Pak Ngah duduk di Maktab 78.

“Ni, macam mana Pak Ngah boleh datang sampai ke Maktab kami ni?” saya bertanya. Hotel yang saya tinggal ialah Maktab 80.

“Masa kami nak ke Masjidilharam, kami jalan kaki ikut terowong. Bila balik kami jumpa terowong, kami masuk terowong, kami sesat pulak sampai ke sini.” Terang Pak Ngah.

“Di Mekah ni Pak Ngah, ada banyak terowong. Silap masuk terowong, maka sesatlah,” balas saya.

“Habis, kami ni macam mana? Tak boleh ke encik hantar kami balik ke hotel?” tanya Pak Ngah.

“Tak ada kereta ke? Kami penat dah ni?” tiba-tiba jemaah wanita yang agak berumur itu bersuara dengan nada yang agak tinggi.

“Mak, kejap lagi encik ni tolong kita. Mak diam-diam sudah la” kata Pak Ngah.

Jemaah wanita yang agak berumur itu rupanya emak Pak Ngah. Dan yang seorang lagi adalah isteri beliau.

“Saya bukan pegawai tabung haji, saya jemaah haji, “ kata saya memaklumkan mereka. Kebetulan malam itu saya memakai ‘wind breaker’ yang mempunyai lambang jalur gemilang. Jadi mereka ingat saya adalah kakitangan Tabung Haji.

“Tak apalah, jom ikut saya kita cuba tanya pemandu teksi. Mungkin mereka lebih tahu di mana Maktab 78,” kata saya sambil berjalan mengiringi mereka keluar.

Ketika kami berdiri di tepi jalan, sebuah kereta berhenti. Bukan teksi tetapi kereta sapu. Pemandunya kelihatan muda. Setelah saya menunjukkan kad nama Pak Ngah, pemandu tersebut bersetuju untuk menghantar mereka balik ke hotel. Namun saya agak ragu-ragu dengan pemadu berkenaan. Ini kerana beliau bukanlah pemandu teksi, tetapi pemandu kereta sapu. Saya membuka pintu kereta dan mempersilakan Pak Ngah naik dahulu dan duduk dibahagian belakang. Kemudian dituruti oleh emak Pak Ngah dan isteri beliau. Saya masuk dan duduk dikerusi bersebelahan pemandu.

Menaiki teksi atau kereta sapu di Mekah atau di mana sahaja, saya sememangnya sangat berhati-hati. Pesanan yang kerap kami terima sama ada dari mereka yang telah menunaikan haji atau dari pihak Tabung Haji sendiri ialah sentiasa memastikan lelaki dahulu masuk ke dalam kereta. Ketika keluar dari kereta pula pastikan penumpang lelaki yang akhir sekali keluar. Juga pastikan duit baki dipulangkan terlebih dahulu sebelum keluar dari kereta.

Ingatan dan pesanan ini juga sebenarnya bukanlah untuk menakut-nakutkan jemaah haji. Cuma ia adalah lebih baik kita beringat-ingat sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Perkara ini mungkin pernah berlaku kepada jemaah haji suatu masa dahulu. Kerana itulah pihak berkenaan memberi ingatan, demi keselamatan jemaah juga. Cerita tentang jemaah wanita dilarikan, jemaah wanita diperkosa ketika tinggal berseorangan di dalam bilik hotel, jemaaah wanita dicabul di dalam lif, duit baki tidak di pulangkan dan berbagai lagi cerita yang sebenarnya adalah satu ingatan, yang menuntut jemaah haji berhati-hati dan berwaspada.

Pemandu kereta sapu berkenaan memang agak mahir dengan jalan-jalan di Mekah. Nampak ada keyakinan pada cara pemanduannya. Cuma ketika musim haji ini memang ramai penduduk di sini mengambil kesempatan melakukan kerja-kerja sampingan mereka. Berniaga, menjadi pemandu teksi sambilan, menjadi pekerja hotel, tukang masak muassasah dan sebagainya.

Kami di bawa melalui jalan King Abdul Aziz, melepasi terowong ke Arafah, sekitar setengah kilometer pemandu berkenaan membuat pusingan ‘U’, dan sekali lagi kami melalui terowong King Abdul Aziz. Kemudian pemandu mengikuti pula Jalan Ajyad dalam kawasan Misfalah. Kami diminta turun oleh pemandu apabila tiba pada satu simpang yang kelihatan beberapa orang anggota keselamatan Arab Saudi sedang bertugas. Dengan berbahasa Arab pemandu berkenaan meminta kami menyeberang kesebelah Jalan Ajyad. Katanya disitulah terletaknya hotel untuk Maktab 78. Saya menyerahkan 20 Saudi Riyal kepada pemandu berkenaan.

Kami berjalan melintasai anggota keselamatan dan menuju ke Hotel Al-Shohada.

“Al-hamdulillah!” kata Pak Ngah apabila melihat Jalur Gemilang yang diletakkan di hadapan hotel berkenaan.

Kami masuk ke dalam hotel. Saya mengiringi Pak Ngah, isteri dan ibu beliau sehingga mereka masuk ke dalam bilik masing-masing.

Sempat saya melihat waktu ketika itu dari telefon bimbit saya, menunjukkan pukul 2 pagi.

Ketika saya berjalan ke pintu lif untuk pulang, tiba-tiba Pak Ngah keluar dari bilik dan bersuara memanggil,

“Encik! Encik!”

“Kenapa Pak Ngah?”

“Bukan encik, ini bukan bilik kami!” kata Pak Ngah.

“Kalau bukan, macam-mana Pak Ngah boleh terus masuk saja tadi?” tanya saya kebingungan.

“Nombor bilik ni sama, tapi masa masuk tadi bukan kawan Pak Ngah yang ada dalam tu,” jawab Pak Ngah agak celaru.

“Baiklah, kalau macam tu mari kita cari lagi hotel lain, mungkin ada di sebelah,” kata saya.

Pak Ngah pun bergegas, memanggil isterinya dan ibunya yang juga masih terpinga-pinga di luar bilik, sambil memerhatikan kami.

Kami keluar dari hotel berkenaan. Ketika melalui pintu besar hotel, seorang petugas Tabung Haji tiba-tiba masuk. Terus saya ajukan masalah Pak Ngah kepada petugas berkenaan. Betul, Pak Ngah dan keluarganya tinggal di Hotel Al-Shohada, tetapi di bahagian sayap kiri. Bermakna, hotel Pak Ngah berada di bahagian belakang.

Berkali-kali Pak Ngah memohon maaf kepada saya. Saya hanya mampu tersenyum dan berdoa semoga mereka semua diberikan haji yang ‘mabrur’. Saya memerhatikan Pak Ngah, isteri dan ibunya mengikuti petugas Tabung Haji dari arah belakang meninggalkan saya yang masih tersenyum. Alhamdulillah, sesungguhnya inilah pengalaman dari jutaan kisah manusia yang sedang beribadah, menjadi tetamu agung di bumi penuh keberkatan. Semoga Allah mengampuni saya dan mereka semua yang menjadi tetamu istimewa.