Berdiri dari yang kiri sekali adalah Hj Ahmad Salleh. Berdiri yang kanan sekali, adiknya Haji Mohd Yunus. Duduk di hadapan itulah nenek kami. Hajjah Aishah bt Hj Idris. Kami memang banyak dosa dengannya. Semasa kecil, kami selalu melawan kata-katanya. Namun denganyalah kami khatam Al-Quran. Malam sebelum beliau meninggal dunia, ketika itu kami sekeluarga sedang menonton tv. Beliau yang baru keluar dari hospital terlantar sakit di atas katil di tengah-tengah rumah kami. Tiba-tiba keluar suara darinya; "Assalamua'laikum!" yang agak kuat. Kami yang sedang menonoton tv itu terpinga-pinga. Mengapa pulak atok bagi salam? Kepada siapa dia bagi salam? Abah, pantas bangun mendekatinya. "Kenapa mak?" tanya Abah. "Aku bagi salam kenapa kau tak jawab?" soal atok. Abah pun menjawab salam. Kami juga menjawab salam atok, sambil tertanya-tanya sesama sendiri. Lebih kurang pukul dua pagi, kami dikejutkan oleh emak. "Atok dah nazak," katanya. Pantas kami bangun mengambil wudhu' dan membaca Yassin beramai-ramai di sebelahnya. Aku yang terlalu banyak berdosa dengan atok, sungguh terharu dan sebak sekali. Air mataku tidak dapat ditahan-tahan. Ku pegang kaki atok, dan itulah pertama kali aku pegang kakinya. Sejuk!. Abah menyuruh aku memeriksa kuku kakinya. Biru! Abah juga tidak dapat menahan sebak. Kulihat Abah sedaya upaya mengajar atok mengucap. Aku sendiri dapat mendengar suara atok mengucap. Tetapi tidak jelas kerana suaranya sudah terkedalam bercampur kahak. Aku pasti atok sedang mengucap. Rentak dan irama di ikutnya, serentak dengan nada suara Abah yang mengajarnya mengucap. Akhirnya pergilah atok dengan seribu kekesalan. Walaupun aku nakal dan selalu melawan kata-katanya, namun itulah atok yang mendewasakan aku dengan Al-Quran! Waktu subuh dia akan mengejutkan kami semua untuk solat subuh. Bila musim peperiksaan, aku akan minta atok kejutkan aku awal pagi. Kerana nak baca buku konon. Sememangnya menjadi amalan hariannya solat Qiamullail setiap hari. Pernah suatu ketika setelah mengejutkan aku untuk bangun (aku yang suruh!) namun aku masih di atas katil, melengkor juga. Tiba-tiba muka aku basah! rupa-rupanya atok sapukan air ke muka ku!!!! "Aku kejut tak nak bangun!" kata atok.
No comments:
Post a Comment