Rehat setelah selesai Umrah Wajib
Setelah sampai di hotel Mekah, anda akan diberikan maklumat waktu tawaf
umrah. Biasanya waktu malam, mengikut maktab masing-masing. Ambil wuduk awal.
Ikut Mutawwif serapat yang boleh. Jangan berpecah. Perhatikan nama-nama jalan,
lorong, nama-nama terowong yang akan dilalui. Kalau perlu catat, catatkan, atau
gunakan hand phone untuk mengambil video atau gambar sepanjang perjalanan ke
mesjid. Ini untuk mengelakkan anda tersesat ketika pulang ke hotel nanti.
Biasanya kumpulan jemaah akan berpecah ketika masuk ke masjid. Kerana waktu ini
masing-masing terpana dengan suasana Masjidil Haram dan emosi juga bercelaru.
Tetapkan fokus anda untuk mengikuti mutawwif.
Seandainya anda berpisah dengan mutawwif, jangan panik atau hilang tumpuan.
Cari rakan-rakan atau keluarga anda. Pimpin mereka untuk melakukan tawaf umrah
yang bermula dari lampu hijau bersetentang dengan Hajar Aswad. Selesai melakukan
tawaf 7 pusingan, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim atau di mana-mana
sahaja.
Untuk melakukan Saie, ambil perhatian sudut Hajar
Aswad. Dari sana anda terus ke tempat Saie. Di situlah Bukit Safa. Jangan
tersilap ke Bukit Marwah. jumlah kiraan ialah Safa ke Marwah satu perjalanan,
Marwah ke Safa dua perjalanan dan begitulah seterusnya. Anda dinasihatkan ketika
bermula dari Bukit Safa, hendaklah naik sedikit ke atas bukit. jangan bermula
dari tiang besar. Begitu juga ketika sampai ke bukit Marwah, lajakkan perjalanan
anda sehingga ke atas bukit. Rasailah dengan kaki anda sendiri batu-batu yang di
atas bukit tersebut. Nikmatnya atas roh sirah Rasulullah dan sejarah Siti Hajar
dan Nabi Ismail, dapat mengalirkan air mata di situ juga. Tidak sia-sialah
perbelanjaan dan perjalanan jauh ini dengan hikmah yang anda sendiri rasai.
Alhamdulillah.
Selesai perjalanan Saie yang ke 7, jangan lupa
bertahallul. Pengalaman saya, ketika melakukan umrah sunat, kerana seronok
dengan selesainya Saie, maka saya hampir terlupa bertahallul. Ketika mahu
memakai seluar, menggantikan kain ihram di belakang bukit Marwah, barulah saya
teringat saya belum bertahallul. Bahkan gunting pun saya tidak bawa. Maka dengan
muka sedikit 'kesian' saya mendekati seorang Jemaah yang sedang mengguntingkan
rambut anaknya. Terus saya hulurkan kepala. Ada seorang jemaah warga emas, yang
tersesat ke hotel saya, tidak bertahallul setelah melakukan umrah wajib.
Kebetulan pula saya tergerak hati bertanyakan hal tersebut. Bayangkan, jarak
masa yang diambil oleh beliau yang belum bertahallul dan tersesat pula. Semoga
Allah menerima haji makcik Khadijah...amin.
Selesai bertahallul, dinasihatkan jangan terus
pulang ke hotel. Berkumpullah. Cari rakan-rakan kenalan dan ahli keluarga yang
sama Maktab. Ambil masa bertenang sambil minum air zam-zam. Anda boleh berkumpul
di tepi-tepi sudut tempat Saie berhampiran tempat air zam-zam. Oh
ya....berhati-hati ketika mengambil air zam-zam di situ, kerana saya sendiri
pernah saksikan seorang jemaah lelaki terjatuh, kerana air zam-zam yang tumpah
ke lantai mengakibatkan lantai menjadi licin. Lantai itu pula hanya dicuci
dengan cecair pencuci lantai, tidak dibasuh. Itu juga menyebabkan kaki-kaki
jemaah haji pecah-pecah.
Setelah anda mengambil tempoh bertenang, pulanglah
ke hotel dengan satu perasaan puas, syukur, tawaduk dan bercita-cita untuk
datang lagi ke masjid esoknya. Pulang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan.
Bantu-membantu menunjuk jalan pulang.....mudah-mudahan selamat.
Aminnnnn
No comments:
Post a Comment