Islamic Widget

Wednesday, October 02, 2013

TAWARAN MENUNAIKAN HAJI


Hari pertama berpuasa Ramadhan 1431 Hijrah, Sobah menalifon saya memberitahu, Uda telah mendapat surat dari pihak Tabung Haji. Surat ‘Tawaran Untuk menunaikan Fardhu Haji (Terpilih)’ Musim Haji 1431H / 2010M’. Uda juga memberitahu beliau telah membuat semakan dengan pejabat Tabung Haji di Sungai Petani, Kedah, nama-nama lain yang mendapat tawaran. Nama-nama yang turut tersenarai adalah emak, Ucu, Sobah dan saya.

Saya agak terkejut dengan makluman dari Sobah tersebut. Ini kerana saya tidak menyangka, nama saya rupa-rupanya telah dimasukkan oleh Ucu dalam senarai surat rayuannya sebelum ini. Walaupun sebenarnya saya tidaklah bersungguh-sungguh menyatakan kepada Ucu untuk menyertakan sekali nama saya di dalam surat rayuannya. Namun itulah sebenarnya perancangan Allah. Saya kemudiannya menjadi serba salah. Antara gembira, keliru dan bersyukur.

Saya mengambil masa dua hari selepas berbincang dengan emak, Sobah dan adik-beradik yang lain, saya bermunajat. Akhirnya saya membuat keputusan untuk pergi menunaikan haji dan menerima tawaran. Tawaran menjadi tetamu Allah yang paling istimewa. Sedangkan saya tidak merancang untuk pergi menunaikan haji, malah kursus haji bersiri pun tidak pernah saya hadiri. Tiba-tiba Allah menjemput saya menjadi tetamunya.

Benarlah, kita hanya mampu merancang, Allah jugalah perancang yang terbaik. Terharu dan pilu sekali apabila mendapat tawaran istimewa itu. Sekiranya saya menolak tawaran tersebut, bermakna saya adalah hamba yang menolak rahmat Allah untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda di dua Tanah Haram. Malah saya akan kerugian dengan keampunan Allah yang telah jelas diungkapkan di dalam Al-Quran serta hadis Rasulullah sewaktu Wukuf di Padang Arafah.

            Cinta yang telah lama berputik ini kembali segar berbunga. Kerinduan pada Ka’bah mengimbau nostalgia indah tatkala menadah kitab di hadapan tuan guru Haji Hafidz Selamat, Madrasah Islamiah, Jenderam Hilir. Selama umur ini ditelusuri saya hanya memandang potret dan lukisan wajah Ka’bah. Tidak terfikirkan bilakah pula mata ini sendiri dapat menatap, tangan ini dapat memegang dan bibir ini dapat mengucup Hajar Aswad permata syurga serta merangkul tubuh Ka’bah yang dilindungi baldu berwarna hitam itu. Beruntunglah orang-orang yang terpilih menjadi tetamu Ar-Rahman.

            ‘Terpilih’ menjadi tetamuNya bukan bermakna kita juga terpilih untuk mendapat haji yang mabrur. Tapisan yang Allah buat untuk semua tetamunya bukan diukur dengan mendapat surat tawaran ‘Terpilih’ dari Tabung Haji. Kriteria untuk menjadi tetamu yang istimewa diukur dari sejarah kehidupan sebelum keberangkatan, semasa melakukan manasik haji dan setelah pulang. Terpulanglah kepada kita apakah kita mahu jadi ‘seperti bayi yang baru dilahirkan’, atau menjadi ‘tetamu yang mengkhianati yang Empunya Ka’bah’.

            Mengkhianati yang Empunya Ka’bah, bermaksud, kita adalah tetamu yang terpilih. Terpilih dari jutaan manusia yang ada di muka bumi ini. Namun ketika berada di ‘rumahNya’, kita penuhkan rumahNya dengan sampah. Kita berbantah-bantah dengan tetamuNya yang lain. Kita membiarkan nafsu menguasai perasaan. Sedangkan yang Empunya Ka’bah telah berpesan,

            Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi. Barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal” (Surah Al Baqarah : 197).

UMRAH WAJIB

 
Rehat setelah selesai Umrah Wajib
 
Setelah sampai di hotel Mekah, anda akan diberikan maklumat waktu tawaf umrah. Biasanya waktu malam, mengikut maktab masing-masing. Ambil wuduk awal. Ikut Mutawwif serapat yang boleh. Jangan berpecah. Perhatikan nama-nama jalan, lorong, nama-nama terowong yang akan dilalui. Kalau perlu catat, catatkan, atau gunakan hand phone untuk mengambil video atau gambar sepanjang perjalanan ke mesjid. Ini untuk mengelakkan anda tersesat ketika pulang ke hotel nanti. Biasanya kumpulan jemaah akan berpecah ketika masuk ke masjid. Kerana waktu ini masing-masing terpana dengan suasana Masjidil Haram dan emosi juga bercelaru. Tetapkan fokus anda untuk mengikuti mutawwif.
 
Seandainya anda berpisah dengan mutawwif, jangan panik atau hilang tumpuan. Cari rakan-rakan atau keluarga anda. Pimpin mereka untuk melakukan tawaf umrah yang bermula dari lampu hijau bersetentang dengan Hajar Aswad. Selesai melakukan tawaf 7 pusingan, solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim atau di mana-mana sahaja.
 
Untuk melakukan Saie, ambil perhatian sudut Hajar Aswad. Dari sana anda terus ke tempat Saie. Di situlah Bukit Safa. Jangan tersilap ke Bukit Marwah. jumlah kiraan ialah Safa ke Marwah satu perjalanan, Marwah ke Safa dua perjalanan dan begitulah seterusnya. Anda dinasihatkan ketika bermula dari Bukit Safa, hendaklah naik sedikit ke atas bukit. jangan bermula dari tiang besar. Begitu juga ketika sampai ke bukit Marwah, lajakkan perjalanan anda sehingga ke atas bukit. Rasailah dengan kaki anda sendiri batu-batu yang di atas bukit tersebut. Nikmatnya atas roh sirah Rasulullah dan sejarah Siti Hajar dan Nabi Ismail, dapat mengalirkan air mata di situ juga. Tidak sia-sialah perbelanjaan dan perjalanan jauh ini dengan hikmah yang anda sendiri rasai. Alhamdulillah.
 
Selesai perjalanan Saie yang ke 7, jangan lupa bertahallul. Pengalaman saya, ketika melakukan umrah sunat, kerana seronok dengan selesainya Saie, maka saya hampir terlupa bertahallul. Ketika mahu memakai seluar, menggantikan kain ihram di belakang bukit Marwah, barulah saya teringat saya belum bertahallul. Bahkan gunting pun saya tidak bawa. Maka dengan muka sedikit 'kesian' saya mendekati seorang Jemaah yang sedang mengguntingkan rambut anaknya. Terus saya hulurkan kepala. Ada seorang jemaah warga emas, yang tersesat ke hotel saya, tidak bertahallul setelah melakukan umrah wajib. Kebetulan pula saya tergerak hati bertanyakan hal tersebut. Bayangkan, jarak masa yang diambil oleh beliau yang belum bertahallul dan tersesat pula. Semoga Allah menerima haji makcik Khadijah...amin.
 
 
Selesai bertahallul, dinasihatkan jangan terus pulang ke hotel. Berkumpullah. Cari rakan-rakan kenalan dan ahli keluarga yang sama Maktab. Ambil masa bertenang sambil minum air zam-zam. Anda boleh berkumpul di tepi-tepi sudut tempat Saie berhampiran tempat air zam-zam. Oh ya....berhati-hati ketika mengambil air zam-zam di situ, kerana saya sendiri pernah saksikan seorang jemaah lelaki terjatuh, kerana air zam-zam yang tumpah ke lantai mengakibatkan lantai menjadi licin. Lantai itu pula hanya dicuci dengan cecair pencuci lantai, tidak dibasuh. Itu juga menyebabkan kaki-kaki jemaah haji pecah-pecah.
 
Setelah anda mengambil tempoh bertenang, pulanglah ke hotel dengan satu perasaan puas, syukur, tawaduk dan bercita-cita untuk datang lagi ke masjid esoknya. Pulang bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Bantu-membantu menunjuk jalan pulang.....mudah-mudahan selamat. Aminnnnn

Tuesday, October 01, 2013

Mencari pahala sebesar bukit Uhud...


Tips berbaik dengan pekerja hotel semasa haji




Assalamua'alikum,
 
Di hotel kami memang membina hubungan sesama Jemaah jiran bilik hotel. Kami makan bersama dan kami pergi masjid juga bersama. Bersembang-berbual dan bertanya khabar. Begitu juga dengan pekerja hotel yang rata-rata berbangsa Bangladesh. Malah kami beruntung kerana kami mendapat seorang pemandu teksi Bangladesh yang pernah bekerja di Pulau Pinang selama 5 tahun. Beliau dengan sukarela sedia menghantar kami ke mana sahaja yang kami ingini. Cuma kerana kekangan masa dan fulus kami hanya sekadar menyimpan sahaja nombor telefon beliau yang bernama Said. Emak kami pula suka bersedekah buah-buahan kepada pekerja hotel. Hikmahnya....semasa kami di Mekah kami menginap ditingkat dua hotel...maka ok lah juga  tak tinggi sangat. Tetapi ketika di Madinah kami menginap di tingkat 8. Memang sukar. Berebut-rebut menaiki lif. Saya mula mencari idea. Akhirnya saya bertemu seorang pekerja hotel yang mengajak saya menaiki lif khas pekerja hotel... Alhamdulillah. Selepas dari itu kami mudah turun dan naik ke hotel, tanpa perlu 'menipu lif'. Apa itu 'menipu lif'? Di sana anda akan faham. Ada Jemaah yang tinggal ditingkat yang tinggi, akan menaiki lif yang turun ke bawah dari tingkat satu. Bermakna ketika lif buka di tingkat satu mereka akan masuk memenuhi lif. Apabila lif turun ke tingkat Ground Floor, lif sudah penuh.....
 
Al-Kisahnya...
Suatu hari kami menaiki teksi yang pemandunya warganegara Bangladesh. Setelah bertanyakan harga tambang dan kami setuju dengan tambang yang ditawarkan, saya terus masuk ke dalam teksi tersebut dan duduk di kerusi bahagian hadapan. Kemudian barulah Ucu dan yang lain masuk dan duduk di bahagian belakang. Pesan dari dulu kini dan selamanya oleh jemaah-jemaah haji ialah ketika masuk ke dalam teksi, biar lelaki yang masuk dahulu kemudian baru perempuan. Kalau keluar teksi pula pastikan perempuan pula yang keluar dahulu. Dan inilah yang sentiasa kami amalkan sepanjang kami menaiki teksi di Mekah. Walaupun ini Tanah Haram namun segala kemungkinan boleh berlaku tanpa kita jangkakan. Sedang saya mengelamun dan melihat-lihat sekitar bandar Mekah, saya disapa oleh pemandu teksi tersebut.

            “Anta Malazie?” tanya beliau.

            “Na ‘am, ana Malazie,” jawab saya.
            “Haji?” tanya beliau lagi.
            “Na ‘am,” jawab saya sambil memandang tepat kemukanya.
            “Penang?” antara dengar dengan tidak.
            “La’, Kuala Lumpur,” jawab saya tersenyum sambil menoleh ke arah Ucu. Sekadar ingin memberitahu Ucu bahawa saya juga boleh berbahasa Arab.
            “Saya kerja Penang dulu,” tiba-tiba pemandu tersebut berbahasa Melayu.
            “Oh! Pulau Pinang?” tanya saya pula terkejut.
            Kami di dalam teksi tersebut semakin seronok apabila mendapati beliau boleh berbahasa Melayu. Emak, Uda, Sobah dan Ucu kedengaran berbisik-bisik di belakang. Mungkin mereka juga tidak menyangka pemandu tersebut pernah bekerja di Pulau Pinang.
            “Berapa lama kerja di Pulau Pinang?” semakin seronok pula saya bertanya.
            “Lima tahun,” jawab beliau.
            “Sudah kahwin?”
            “Sudah,”
            “Berapa anak?”
            “Empat,”
            “Isteri duduk di Bangladesh?”
            “Tidak, sini duduk,”
            “Berapa lama bawa teksi di Mekah?” perbualan kami semakin rancak.
            “Empat tahun,”
            “Sudah buat haji?”
            “Sudah, 2 tahun dulu,”
            “Ini teksi sendiri punya?”
            “La’, la’, ini sewa sama syarikat,”
            “Berapa bayar satu hari?”
            “60 Riyal, sini Arab susah cari makan, Malaysia senang,”



Tips Bersedekah semasa haji


Tips Bersedekah semasa haji
Assalamua'laikum,
 
Anda boleh menukarkan wang Saudi Riyal di mana-mana Money Changer ketika di sana. Tukarkan kepada wang satu Saudi Riyal. Setiap kali anda ke masjid, di hotel atau semasa melontar di Jamrah, anda akan bertemu dengan pekerja-pekerja cleaner. Keluarkan duit tersebut awal-awal, jangan keluarkan duit depan mereka. Terus dekati mereka dan masukkan ke dalam poket mereka atau bersalam dengan mereka sambil letakkan wang di tangan. Ini kerana pengalaman saya dan ramai Jemaah yang lain, jika terang-terang bersedekah, maka ramailah yang akan mengerumuni anda. Terutama kanak-kanak. Anda mungkin bukan orang kaya, tetapi anda berhak untuk bersedekah setiap kali sebelum melakukan ibadah. Kerana itu biarpun anda bersedekah 1 Riyal, tetapi anda dapat melakukannya banyak kali. Contoh, budget anda untuk bersedekah, 4 Riyal setiap hari. Semasa masuk masjid sebelum subuh, sedekahlah 2 Riyal, selepas solat Subuh, 2 Riyal. Bermakna anda dapat bersedekah hampir setiap Subuh dan setiap hari. Dan anda memulakan kehidupan harian anda dengan satu ibadah yang paling mulia....Insyaallah. Nampak kecil, tetapi Insyaallah besar di sisi Allah.
 
Al-kisahnya semasa saya di Mekah, Melontar di Jamrah dan ketika di Madinah, saya bertemu dengan sekumpulan kanak-kanak yang meminta sedekah. Ada salah seorang dari mereka yang sedikit menarik perhatian saya sewaktu baru tiba di Mekah. Beliau seorang budak perempuan mungkin berbangsa Arab Badwi (kerana berkulit gelap). Kedua-dua tangannya kudung. Dilehernya tersangkut satu uncang untuk duit sedekah. Saya pun terus memasukkan wang ke dalam uncang tersebut atas dasar simpati. Kemudian pada suatu hari yang lain saya terserempak dengan kanak-kanak perempuan cacat tersebut. Saya hanya memerhatikan sahaja tingkah laku kanak-kanak tersebut. Tiba-tiba seorang jemaah lelaki menghampir kanak-kanak tersebut. Jemaah lelaki tersebut memegang tangan kanan kanak-kanak yang kudung itu. Tanpa disangka-sangka, tangan kiri kanak-kanak cacat itu memegang tangan jemaah lelaki berkenaan. Jemaah lelaki itu terus bersuara "Haram! Haram! Haram!" kata beliau. Rupa-rupanya kanak-kanak perempuan itu tidak cacat......
 
Ketika saya di Madinah, saya tidak pasti kanak-kanak perempuan yang saya lihat di Mekah itu adalah sama dengan kanak-kanak yang saya temui di Madinah. Tetapi cara modius operandi yang digunakan sama. Kudung kedua-dua tangan dan ada satu uncang duit di lehernya. lalu saya menghampiri kanak-kanak tersebut, lantas memegang tangan kirinya. Dengan pantas beliau menepis tangan saya dan berlari pantas menyelinap dicelah-celah jemaah haji yang lain. Benarlah mereka seolah-olah ada satu sindiket meminta sedekah di sana. Kerana bimbang ada konco-konco atau agen-agen kanak-kanak itu yang memerhatikan saya, pantas saya pun sama menyelinap dicelah-celah jemaah haji dan bersembunyi di hotel...he he he...berlagak berani tapi penakut....Itulah Al-kisahnya....
 
Wassalam
 
Paklang