Islamic Widget

Tuesday, November 01, 2011

PROGRAM ZIARAH SEKITAR MEKAH

Alhamdulillah, seperti yang direncanakan, dua minggu kami di Mekah, satu program ziarah telah diusahakan oleh Ustaz Umar sendiri. Kami di fahamkan ziarah awal ini penting bagi membuka minda bakal-bakal jemaah haji sebelum musim haji sebenar. Gambaran awal kerja haji, dengan melihat sendiri tempat-tempat yang akan kami pergi untuk berwukuf di Arafah, bermabit di Muzdhalifah, bermalam di Mina dan melontar Jamrah.

Lebih kurang lima buah bas disediakan untuk kami bakal-bakal haji melakukan ziarah. Sekitar pukul 10.00 pagi kami bertolak. Tempat pertama yang kami ziarah ialah Padang Arafah. Kami diberi taklimat ketika di dalam bas tentang manasik haji dan tempat-tempat sejarah di sana. Di Arafah, Ustaz Umar menunjukkan tempat di mana Rasulullah berwukuf yang dipanggil As-Sakhrah. Ia terletak di pinggir Jabal Rahmah. Luas Padang Arafah ialah sekitar 3.5 x 35 kilometer persegi. Terdapat penanda sempadan di Padang Arafah. Ia bertulis dengan tulisan yang agak besar ‘Arafah Starts Here’ dan ‘Arafah Ends Here’. Bas kami berhenti di hadapan dataran kaki Jabal Rahmah. Jabal Rahmah terletak dalam kawasan Padang Arafah di sebelah Timur. Dipuncaknya terdapat batu berupa sebuah tugu terpacak kukuh berukuran 8 meter tinggi dan 1.8 meter lebar. Kelihatan ramai orang sedang mendaki Jabal Rahmah. Dikatakan sejumlah 168 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke puncak Jabal Rahmah. Kami hanya dibenarkan mendaki hanya pada tembok Jabal Rahmah sahaja. Kerana dikhuatiri bakal-bakal jemaah akan tercedera, ianya pasti sangat menyulitkan untuk menyempurnakan haji nanti. Maka kami hanya bergambar sahaja.

Kemudian kami dibawa melalui Jabal Thur (Gua Thur), Jabal Nur (Gua Hira’) dan Jamrah. Kami hanya melihat sahaja dari jauh. Jabal Thur, di atasnya terdapat gua yang mencipta sejarah mulanya Islam berkembang mekar. Peristiwa hijrah Rasulullah bersama Abu Bakar yang bersembunyi di dalam Gua Thur turut dirakamkan oleh Allah dalam Surah At-Tawbah ayat ke 40;

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

  Peristiwa yang sungguh ajaib ini meyakinkan kita tentang kebesaran Allah. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Rasulullah mampu mendaki perbukitan tersebut. Tinggi Jabal Thur ialah sekitar 458 meter. Untuk mendakinya memakan masa sekitar 1 jam 30 minit. Manakala tinggi Gua Thur ialah kira-kira 1.25 meter dan lebarnya 3.5 x 3.5 meter. Gua Thur terdapat dua pintu. Iaitu disebelah barat dan satu lagi disebelah timur. Rasulullah menggunakan pintu disebelah barat untuk masuk ke dalam Gua Thur.

Jabal Nur pula mempunyai sejarah keistimewaan yang paling agung. Tingginya adalah kira-kira 281 meter. Mendaki ke puncaknya untuk berjumpa dengan Gua Hira’ dikatakan memakan masa 1 jam. Di gua inilah Rasulullah telah ‘beruzlah’. Iaitu mengasingkan diri baginda dari segala kemelut kejahilan di Mekah ketika itu. Pintu gua ini menghadap ke arah utara. Dari pintu gua ini Rasulullah dikatakan dapat melihat Ka’bah.

Akhir sekali kami singgah di mesjid Ji’ronah. Beberapa orang jemaah telah berniat umrah dan bermiqat di situ. Dalam perjalanan pulang kami ditunjukkan Perkuburan Ma’la dan Mesjid Jin.
Jabal Nur dan Gua Hira’

Bukit dan Gua Thur

Jabal Rahmah

No comments: