At-Tarmizi adalah merupakan sebuah Mesjid yang telah siap dibina pada September 2007. Terletak di sebuah kawasan perumahan Taman Seri Sentosa, Batu 6 1/2, Jalan Kelang Lama, 58000 Kuala Lumpur. Pentadbiran mesjid ini adalah dibawah bidangkuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan. Walaupun mesjid ini yang seharusnya siap lebih awal, namun itu bukanlah menjadi satu masalah kepada penduduk di taman ini. Biarpun mereka tetap bersabar menanti dan menanti pembinaannya dari setahun ke setahun, sehinggalah Ahmad Bin Haji Salleh dan juga beberapa orang ahli jawatankuasa pembinaan mesjid ini telah kembali keRahmatullah, Mesjid At-Tarmizi akhirnya tersergam indah juga. Mat Selangor mungkin tidak dapat menikmati keindahan seni At-Tarmizi ini, juga kesyahduan azannya serta menghirup nafas segar sambil sujud, taffakkur dan iktikaf di dalamnya, tetapi isteri, anak cucu dan menantu Mat Selangor menjadi saksi, bahawa hasil dari terdirinya At-Tarmizi ini adalah susurgalur keringat dan mandian wangian kasturi Mat Selangor serta rakan-rakan seadanya. Mereka inilah yang menjadi lilin membakar diri, dihina dan dibenci, dicaci dan difitnah. Namun perjuangan Mat Selangor dan rakan-rakannya tiada bertemu nokhtah. Sehingga ke akhir hayat Mat Selangor, beliau masih berdiri dari jendela rumahnya, memerhatikan pasir dan tanah jerlus bekas lombong itu bilakah akan timbulnya dari dasarnya sebuah Rumah Allah yang diidam-idamkan. Mat Selangor sedar. Beliau sudah tidak mampu lagi menjerit menongkah arus urat pemuda ketika itu. Beliau lebih banyak bertafakur menyendiri dan tersendiri. Dari cebisan-cebisan lakaran dan catatan yang beliau tinggalkan, terpapar indah dalam lipatan sejarahnya, Mat Selangor adalah Perwira Bangsa dan Agama. Namun bukan harta, permata dan takhta yang menjadi igauannya. Jauh dari dinobatkan dengan bintang-bintang kebesaran dunia, Mat Selangor akur menjadi imam kampung yang berbaju melayu lusuh dan berkopiah serta janggut yang memutih. Uwais Al-Qarni adalah seorang manusia yang tidak dikenali di dunia. Tetapi Uwais terkenal dilangit. Rasulullah meminta sahabat mencari seorang yang bernama Uwais Al-Qarni, agar diminta darinya supaya memohon doa kepada Allah atas kebaikan diri sendiri. Ini adalah kerana doa dari mulut Uwais akan dimakbulkan oleh Allah. Itulah Uwais....dan itulah yang dicontohi oleh Almarhum Ahmad Bin Haji Salleh....Semoga Allah meRahmatinya dan menempatkannya di sisi Rasulullah serta sahabat-sahabat Baginda, orang-orang Soleh dan bersahabat dengan Uwais Al-Qarni. InsyaAllah.....Amin.
No comments:
Post a Comment