Islamic Widget

Friday, December 02, 2011

Tanda haji mabrur bersandarkan nas


SAYA telah membaca ruangan Kemusykilan Agama dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia bertarikh 25 Nov. 2011.
Saya terpanggil untuk bertanya kerana ramai ustaz, sama ada di akhbar atau di saluran media yang lain kerap memperkatakan tanda haji yang diterima (mabrur) adalah akhlak, iman atau perangainya telah berubah selepas balik daripada mengerjakan haji.
Kalau dahulu tak sembahyang atau tinggal sembahyang selepas balik daripada haji ia berubah. Sembahyang tidak tinggal, perangai dah berubah dan bermacam-macam lagi.
Bagi menggelakkan perkara ini diperkatakan sewenang-wenangnya dan akan menyebabkan masyarakat Islam yang cetek atau kurang pengetahuan ilmu Islam akan mendapat fahaman yang salah.
Apakah ada dalil atau hujah daripada al-Quran dan Hadis yang memperkatakan perkara ini (tanda haji mabrur perangai berubah, sembahyang tidak tinggal dan lain-lain lagi). Sama ada haji seseorang itu diterima atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu. Bukan berdasarkan tanda-tanda seperti yang kerap disebutkan.
Sekali pun haji seseorang itu tidak diterima atau diterima, sebagai seorang beragama Islam ia mesti bersembahyang, bayar zakat, berakhlak baik dan sebagainya.
Saya harap semua penceramah agama mesti memberikan ceramah berlandaskan hujah atau dalil al-Quran dan hadis. Tidak boleh sebarang cakap.

JAWAPAN:

Mengenai tanda-tanda atau ciri-ciri orang yang mendapat haji mabrur, ia bukan hasil pemikiran mana-mana individu tanpa didasari nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW atau nasihat para ulama.
Sebaliknya, ia adalah pemerhatian ulama berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Adapun cara saudara menolak dan mempertikaikan apa yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Ghazali, Imam al-Nawawi dan ulama-ulama lain seolah-olah saudara membezakan dua perkara yang tidak setanding untuk dibeza dengan kisah sahabat bagi salam sebanyak tiga kali ketika ke rumah Umar.
Kiasan saudara tidak tepat, kaedahnya salah. Cara para alim ulama memahami nas mungkin tidak seperti mana orang awam faham.
Alhamdulillah tidak ada nas yang secara langsung menyentuh ciri-ciri haji mabrur. Jika ada, pasti akan menjadi senjata bagi mengatakan orang yang balik dari haji tapi tiada perubahan, mungkin juga akan ada tuduhan haji mabrur (haji yang diterima) dan haji mardud (haji yang ditolak).
Maka bagi haji mabrur, pasti ada tanda Allah terima. Apa yang diketengahkan oleh ulama mengenai ciri-ciri haji mabrur adalah berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran.
Antaranya ayat Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197).
Perkara pertamanya al-rafth, yang ditegah dalam ihram adalah jimak. Ibn Abbas berpendapat: al-Rafth adalah bercakap perkara-perkara yang berkaitan dengan jimak atau mengajak kepadanya sehingga Thaus berpendapat bahawa: al-Rafth adalah kata-kata si suami kepada si isteri, "sekiranya aku telah bertahlul nescaya aku akan mendatangi mu". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:1, hlm:355)
Adapun perkataan al-fusuq bermaksud maksiat, apa-apa sahaja perbuatan yang dikira maksiat. Ibn Umar berpendapat ia bermaksud, mendatang atau melakukan perbuatan maksiat di tanah suci.
Dalam sahih al-Bukhari, baginda bersabda yang bermaksud: "Mencaci sesama muslim adalah fusuq, manakala membunuh sesama orang Islam adalah kufur. (al-Bukhari, kitab al-Iman, no:48)."
Adapun perkataan jidal, bermaksud berbantah. Namun ada dua makna yang dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Yang pertama; tidak bantah-membantah ketika menunaikan ibadah haji.
Malahan al-Mujahid memberitahu bukan sekadar ditegah berbantah ketika melakukan haji malah, sepanjang bulan-bulan haji adalah dilarang daripada sifat membantah antara satu sama lain.
Maksud kedua bagi perkataan jidal adalah, bergaduh. Hadis Rasulullah SAW daripada Jabir Bin Abdullah berkata; baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menunaikan manasiknya (ibadah hajinya), sedang muslim lain tidak terganggu dengan lisannya dan tangannya, maka diampunkan dosanya yang lepas". (Ibn Adiy, jld:4, hlm:1451).
Kalau diteliti ketiga-tiga perkara yang dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam melakukan ibadat haji adalah suatu yang sepatutnya difahami sebelum berangkat ke tanah suci.
Lagipun melalui ciri-ciri haji mabrur yang dinyatakan adalah sebagai memberi suatu persedian secara mental supaya ada keazaman mahu berubah ke arah yang lebih baik berbanding yang sebelumnya.
Kalau seseorang yang berangkat ke Tanah Suci memang sudah ada ciri-ciri insan yang soleh maka baliknya dari Tanah Suci juga akan kekal soleh. Ini kerana ada di antara kita semasa di Mekah semuanya baik, tetapi apabila balik jadi tidak berapa baik, malah kembali seperti sebelumnya.
Kita diperintah untuk melakukan ibadat fardu dalam Islam seperti solat, haji, zakat dan puasa adalah semata-mata untuk mencapai nilai keinsanan yang terpuji. Malangnya ibadat-ibadat ini seperti tidak memberi kesan dalam kehidupan seharian.
Haji mabrur pasti akan meninggalkan kesan pada diri individu, sebab itulah falsafah haji yang utama. Supaya penat lelah yang dilalui dalam mentaati perintah Allah SWT dengan berwuquf, melontar, tawaf dan saie.
Sepanjang wuquf sepatutnya seseorang membanyakkan doa dan bermuhasabah bahawa akan tiba masanya dia akan berhimpun dalam satu perhimpunan yang agung di suatu kawasan yang lapang, iaitu Padang Mahsyar.
Semasa melontar jamrah bukan sekadar dia membaling beberapa biji batu ke arah jamrah, tetapi proses membuang dan membaling keluar segala sifat kesyaitanan dalam diri.
Semua ini masakan tidak mendatangkan kesan dalam diri seseorang. Sebab itulah ulama meletakkan beberapa ciri atau tanda seseorang beroleh haji yang mabrur.

Haji bukan melancong

Ini supaya ibadah haji tidak menjadi seperti melancong ke Tanah Suci. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan haji sedang dia tidak melakukan hubungan suami isteri semasa dalam ihram, dan tidak melakukan apa-apa maksiat dan tidak berbantah dan bergaduh, maka kembalinya dia dari Tanah Suci seperti bayi yang baru dilahirkan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain yang bermaksud: Haji yang mabrur tiada balasan melainkan syurga. (riwayat Muslim)
Haji mabrur maksudnya adalah haji yang dilakukan secara sempurna, cukup rukun dan wajibnya yang tidak dirosakkan dengan perbuatan maksiat.
Saya turut setuju dengan saudara bahawa mungkin tidak jelas kelihatan tanda-tanda haji yang mabrur pada diri seseorang tetapi secara umumnya manusia sepatutnya menerima perubahan melalui ibadah haji.
Kita berdoa dan berharap agar Allah SWT mengurniakan haji yang mabrur kepada para jemaah haji Malaysia, malahan seluruh jemaah haji yang baru selesai melakukan ibadah haji.
Saya yakin jika beroleh haji yang mabrur pasti nilai-nilai kebaikan akan terpancar daripada diri setiap jemaah haji.

Utusan Malaysia 2.12.11

BAGAIMANA SETELAH HAJI?


Sewaktu kecil dahulu, setiap kali ada yang baru balik daripada haji, pasti penulis dibawa menziarahi jemaah tersebut.

Pastinya juga kepala akan diusap-usap sambil dibacakan doa dan kemudian dihembus perlahan-lahan oleh jemaah tersebut yang menyebabkan ibu bapa akan kelihatan lega dan gembira.
Begitulah mungkin yang dikatakan mengambil berkat jemaah yang baru pulang menunaikan haji.
Malah dikatakan hendak mengambil bau 'syurga' yang dibawa dari Mekah. Sedangkan bau wangi tersebut tidak lebih sekadar bau minyak atar yang dicalit pada pakaian jemaah tersebut.
Begitupun bagi orang yang mengerjakan haji dalam usia yang relatifnya masih muda, Murat Shahrin, 41, pengalaman yang dilalui tentunya sukar dilupakan sehingga kini.
"Ini termasuklah sejurus menjejakkan kami semula ke tanah air. Ramai yang mengunjungi kami suami isteri. Mereka sangat mengharapkan kami mendoakan agar mereka pula berpeluang mengerjakan haji.
"Sedangkan saya sendiri merasakan siapalah saya untuk mendoakan yang demikian. Tetapi saya cukup terharu atas kepercayaan yang diberi. Sememangnya saya akan sebut nama si polan dan sipolan supaya tibalah gilirannya untuk ke Tanah Suci pada suatu hari nanti," katanya yang tinggal di Rawang, Selangor.
Sebenarnya kata Murat, sejak tersebarnya berita dia akan ke Tanah Suci, ramai rakan dan saudara mara menghubungi dan menemui beliau untuk berkirim doa buat mereka.
Ini termasuk doa untuk dibacakan di hadapan Kaabah, kala berdoa selepas solat, ketika berwuquf sehinggalah ketika berziarah ke makam Rasulullah.
"Saya rasa diri ini sangat kerdil. Tentulah saya perlu bertaubat dengan sebenar-benarnya, barulah saya memohon kepada Allah akan doa-doa yang dikirim oleh mereka itu," katanya.
Alhamdulillah kata Murat, berkat doa mereka di tanah air membolehkannya menyempurnakan haji pada tahun lalu dan selamat kembali ke tanah air dalam keadaan sihat.
"Jadi apabila mereka mengunjungi kami sejurus sampai ke tanah air, saya sangat gembira walaupun keletihan.
"Ini kerana berkat doa mereka juga saya dapat mengerjakan haji dengan sempurna, insya-Allah.
"Malah saat berada di hadapan Kaabah, saya benar-benar sebak dan menitis air mata mengenangkan doa dan harapan kawan-kawan yang membolehkan saya akhirnya dapat berdiri di hadapan rumah Allah," jelasnya.
Mungkin pada asalnya segala-galanya mampu dilakukan sendiri oleh Murat, iaitu bermula dengan menanamkan azam untuk mengerjakan haji pada usia 40 tahun.
Kemudian mengumpul simpanan sehingga cukup ke Tanah Suci pada tahun lalu mengikut muasasah.
"Kalau diikutkan jalan ke Mekah sudah terbentang luas di hadapan mata dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan lagi.
"Tetapi saya dapat merasakan berkat doa yang mengiringi, doa itulah menjadi penguat semangat kerana akhirnya saya sedar tanpa doa tersebut saya hanya mempunyai persediaan fizikal sahaja untuk ke sana," katanya.
Sebelum ini, beliau tidak nafikan setiap kali ada pulang bertemu mereka yang baru pulang dari mengerjakan haji dia pasti akan ziarah.
"Perkara pokok, meminta mereka yang baru balik dari Mekah itu doakan saya pula untuk ke sana dan mereka mendoakan.
"Tidak dinafikan sedikit sebanyak berkat dari doa jemaah ini jugalah yang membolehkan saya dan isteri dapat ke Tanah Suci," katanya.
Namun apabila beliau dipanggil dengan gelaran haji, Murat tidak menafikan beliau berasa serba salah.
"Memang berat rasanya memikul apabila dipanggil dengan pangkal Haji Murat itu walaupun ia bagus untuk tujuan mengingatkan kita," katanya.
Begitupun beliau sedar akan tanggungjawabnya mengekalkan 'perubahan' baik tatkala usia yang masih muda.
"Sebab itu saya berazam menunaikan haji pada usia 40 yang dikatakan 'hidup bermula pada usia 40' kerana saya mahu mulakan dengan cara yang baik dan penuh dengan keredaan Allah.
"Alhamdulillah, saya masih menganggap seperti saya baru pulang dari haji, seperti baru semalam saya pulang.
"Jadi ia mengingatkan saya supaya menjaga tingkah laku dan akhlak saya sebagai yang pernah menjadi tetamu Allah, sebesar-besar nikmat dan kurnia dari Allah yang pernah saya rasai," katanya

Utusan Malaysia 2.12.11

JEMAAH YANG PULANG DAN POHON DOA DARI MEREKA


AMBIL berkat orang balik haji." Benarkah para jemaah haji yang mula pulang ke tanah air ada membawa berkat? Berkat dari Tanah Suci Mekah al Mukaramah?
Bagaimanakah yang dikatakan mengambil berkat dari ahli keluarga, saudara mara dan handai taulan yang baru pulang dari haji itu?
Adakah dengan sekadar minum air zamzam sebagai buah tangan dari Tanah Suci itu dikatakan mengambil berkat? Adakah para jemaah haji yang baru pulang itu layak diambil berkat daripada mereka?
Pelbagai persoalan timbul dengan istilah mengambil berkat dari para jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu.
Namun, bagaimana sebenarnya kita atau Islam itu melihat fenomena mengambil berkat tersebut supaya tidak terjebak dengan sebarang fenomena yang boleh membawa kepada kesesatan dan khurafa?
Umumnya, berkat atau barakah adalah memohon restu Allah SWT agar dikurniakan kebaikan yang berkembang, kesejahteraan berpanjangan, kesihatan yang berkekalan sehinggalah berjaya dalam pekerjaan, soal jodoh dan sebagainya.
Barakah ini adalah dengan keizinan Allah. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, Dia akan memberi barakah kepada seseorang itu.
Permohonan berkat ada disebutkan dalam al Quran. Ini sebagaimana kata-kata Nabi Allah Isa a.s dalam firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. (al-Maryam: 31).
Maka Allah adalah al-Mubaarik, pemberi restu atau barakah dan hamba-hamba-Nya adalah al-Mubaarak yang bermakna seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.
Sifat memberi barakah hanyalah milik Allah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekelian alam. (al-A'raaf: 54)
Barakah Allah adalah di mana-mana sahaja Dia letakkan di alam maya ini, firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya). (Qaaf: 9)
Apatah lagi dari Tanah Suci Mekah dan Madinah di mana tidak semua umat Islam berpeluang dan mampu ke sana!
Bekas Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, jemaah haji adalah tetamu Allah yang Allah pilih menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah, melihat rumah Allah, Baitullil Haram, bangunan tertua di dunia yang penuh dengan keberkatan dan menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat.
Maka, katanya, apabila mereka pulang dengan haji yang mabrur, bermakna tiada balasan yang lain dijanjikan oleh Allah kecuali syurga.
"Apabila dijanjikan syurga bermakna para jemaah yang pulang ini adalah bakal penghuni syurga. Jadi, ambil berkat dan doa daripada bakal penghuni syurga adalah sangat digalakkan kerana pasti doa dari mereka akan dimakbulkan oleh Allah.
"Tetapi janganlah dek kerana hendak ambil berkat ini kita datang berbas-bas. Sanggup bertunggu tangga di lapangan terbang semata-mata untuk mendapatkan berkat daripada jemaah yang Allah janjikan sebagai penghuni syurga itu," katanya.
Sepanjang pengalaman bertugas selama 26 tahun di Tabung Haji beliau yakin setiap jemaah yang selamat pulang ke tanah air membawa pelbagai keberkatan dari Tanah Suci.
"Oleh kerana terlalu berkat, saya amat menggalakkan agar jemaah lelaki yang baru balik dari haji eloklah dilantik menjadi imam sekurang-kurangnya untuk 40 hari di masjid-masjid atau surau-surau.
"Ini kerana kita hendak mengambil berkat daripada doa mereka. Jadi kita mintalah yang balik haji ini doakan untuk jemaah masjid dan surau.
"Doakan agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh, rumah tangga kita aman damai dan sebagainya. Insya-Allah dapatlah juga tempias-tempias berkat daripada orang yang balik haji ini," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Namun menurut Dr. Azmi, umumnya masyarakat tidak boleh menghakimi haji seseorang itu mabrur atau tidak. Semua itu adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah.
"Sebab itu, jangan pula kita tidak pergi ziarah apabila mendengar kononnya haji seseorang itu ditolak.
"Walhal kita digalakkan menziarahi jemaah haji bagi pelbagai tujuan murni yang lain termasuk mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi sepanjang di tanah suci," katanya

Utusan Malaysia 2.12.11

Monday, November 14, 2011

PEMERGIAN ABADI ZULKIFLI ABDUL SAMAD (AMIR MAK UNGGAL YAH)




14.11.2011 Isnin bersamaan 18 Zulhijjah 1432H
Seorang hamba Allah yang begitu banyak jasanya terutama kepada keluarganya yang tercinta telah kembali kerahmatullah.
Ketika mahu memulakan langkahan kakiknya untuk bergerak keluar ke pejabat beliau sempat mencium salah seorang anak saudara. Terasa satu kelainan apabila beliau pagi itu menunggang motosikalnya. Yang pada kebiasaannya dikatakan sering memandu ke pejabat di Kuala Selangor.
Sekitar 500 meter dari rumahnya...dan pagi itu hujan renyai-renyai
berhadapan sebuah resort terbengkalai di Kampung Bukit Belimbing di satu selekoh yang turut dikatakan telah menyaksikan beberapa mangsa, Amir telah dipanggil oleh Allah S.W.T





Amir yang saya kenali...

Ketika saya mahu melangkah pulang setelah selesai mengucapkan selamat tinggal kepada amir...saya sempat bersalaman dengan Pak Unggal dan Mak Unggal.
Diketika itulah Mak Unggal berkata...
"Selalu-selalulah datang tengok Mak Unggal"....kemudian
Saya sudah tidak mampu untuk membalas ungkapan Mak Unggal...
hanya sebak yang membungkam dada, lalu memeluk erat Mak Unggal
"Insyaallah...."

Amir,
Pemergiannya sungguh-sungguh dirasai,
hampir setiap tahun apabila bertandang ke rumah Mak Unggal Yah, untuk berhari raya, Amirlah yang banyak bertindak melayan kami semua...
Saya juga banyak bergurau dengannya...kenangan yang masih menjadi igauan saya ialah
ketika salah satu kenduri perkahwinan di rumah Mak Unggal, saya dan Amir telah ditugaskan untuk membasuh pinggan mangkuk,
saya mengusik Amir...
"Asyik je la tolong orang lain kenduri kahwin...kamu  pula bila?"
Amir hanya membalasnya dengan senyuman.....



Dan kini.....
Diketika beliau sudah pun mengisi borang 'Pangakuan Bujang' yang digunakan sebagai salah satu syarat untuk beliau mengakhiri kemarau bujangnya.....Amir pergi untuk selama-lamanya...
Saya dimaklumkan jangkaan beliau akan melangsungkan perkahwinan ialah pada Januari 2012.
Maka tinggallah segala-galanya.......
Yang turut sayu dan sebak di sisi Mak Unggal ialah tunangan Amir....
semoga beliau tabah dan sabar menghadapi dugaan ini...
telah ditakdirkan oleh Allah, bukan jodoh beliau dengan Amir...
Namun harapan kami, hubungan ini hendaknya tidaklah putus ditengah jalan.
Sesekali datanglah berziarah melawat Bukit Belimbing dan singgahlah ke teratak Mak Unggal kami....

Semoga Allah merahmati Zulkifli Abdul Samad dam meredhai beliau untuk bersama orang-orang yang soleh...amin


Juga kepada kakak-kakak, abang dan adik-adik serta ipar-duai Amir.....
Allah lebih redha untuk Amir pergi dahulu dalam usia yang muda ini....
kerana Dia lebih tahu apa yang terbaik buat Amir di 'sana'.
Sama-samalah kita berdoa semoga Amir turut merasai nikmat harumnya Firdaus, Jannah dan Adnin...
Kita hanya mampu merancang, Allah adalah perancang yang terbaik.

Jangan ditangisi pemergian ini dengan esak dan sendu
biarpun Amir itu telah di'tuliskan' untuk pergi dahulu
berilah kesempatan untuk Amir beristirehat panjang...
dalam lelahnya yang tiada siapa tahu...
Kirimkan padanya atas setiap pahala yang ada dan termampu kalian curahkan...
kerana bakti Amir sepanjang kehidupannya sesungguhnya tiada sempadan...
Suka dan duka ketika bersama turut kurasai sepanjang aku membesar bersama...
Dari Lombong Berjuntai Tin hingga ke Bukit Belimbing..
Kami membesar dan dibesarkan dalam erat silaturrahim..
punya darah ikatan yang sangat rapat dan utuh....
Lantas teruskan pengabdian ini...
untuk Mak Unggal dan Pak Unggal yang sedang bersedih hati...
Janganlah nanti kalian tambahi
Kukuhkan ikatan yang sedia terjalin
agar Rahmat Allah melimpah atas kalian semua...
Amin.....
AL - FATIHAH.......

Wednesday, November 02, 2011

Peringatan



PERINGATAN :

Sekiranya ditakdirkan oleh Allah, tidak diberikan kesempatan berwukuf, kerana masalah pengangkutan atau kesihatan dan sebagainya, ini akan menyebabkan pekerjaan haji tidak sah. Maka anda jangan tanggalkan kain ihram, anda masih tetap didalam ihram. Tetapi anda hendaklah kembali ke Mekah, lakukan Tawaf, Saie dan bertahallul dahulu. Dengan selesai anda bertahallul maka anda bebas dari pantang-larang ihram. Namun pekerjaan haji anda tel;ah terbatal kerana anda tiada kesempatan untuk berwukuf. Untuk keterangan lanjut anda hendaklah berbincang dengan pihak Tabung Haji bagi mendapatkan keterangan yang lebih jelas.

PERINGATAN : TAWAF HAJI (IFADAH) HANYA BOLEH DILAKUKAN SELEPAS WUKUF DAN SELEPAS MALAM 10 ZULHIJJAH. SEBELUM WUKUF TIDAK SAH TAWAF.

PANDUAN MENGHINDARKAN BATUK MELAMPAU





-          Kurangkan mandi.


-          Mask adalah satu keperluan. Jadikan ia dua lapisan.


-          Gunakan pakaian bersesuian, contohnya musim sejuk, gunakan penutup kepala, sarung tangan, sarung kaki tebal dan skaf di leher atau serban.


-          Bawa ubat-ubat batuk seperti Hacks, Strepsil, Vicks dan lain-lain.


-          Kurangkan minuman sejuk dan bergas.


-          Minum madu dan sedikit minyak Habatussauda (2 botol ubat batuk belum tentu dapat memulihakan batuk).


-          Gunakakan air mineral yang diberi bersama nasi bungkus untuk minuman. Atau boleh dibeli di kedai dengan harga 10 SR.

AKTIVITI WUKUF DI ARAFAH






AKTIVITI WUKUF DI ARAFAH

TARIKH / MASA
AKTIVITI
8 ZULHIJJAH
HARI TARWIYAH

DI RUMAH PENGINAPAN
2.00 – 4.00 pm
HAJI TAMATUK –
1.      Mandi sunat Ihram
2.      Pakai pakaian ihram
3.      Solat sunat ihram
4.      Niat Haji (RUKUN)
5.      Jaga pantang larang
6.      Serahkan kunci bilik ke kaunter

Berangkat ke Arafah mengikut giliran
-          Taklimat Program
-          Talbiah / Zikir semasa dalam perjalanan

9 ZULHIJJAH
HARI WUKUF
DI PADANG ARAFAH
6.00 – 10.00 pm
Solat Jama’ Takdim secara Tamam, Maghrib dan Isyak
Tazkirah – Ustaz Tabung Haji
Makan Malam – bersabar menunggu makanan
Talbiah / Zikir / Doa / Al-Quran
10.30 pm
TIDUR – Kalau ada peluang tidur di surau. Mudah untuk bangun Qiamullail serta ibadat malam menunggu subuh. Kurangkan tidur di Arafah. Banyakkan ibadat.
4.30 am
Persiapan Solat Subuh

6.30 am
Talbiah / Zikir
Azan Subuh – Solat
Tazkirah – Buat sedikit riadah dengan berjalan atau regangan. Berlari setempat dan sebagainya. Untuk mengelakkan anda dari stress.
6.30 – 7.30 am
Sarapan
8.30 – 9.00 am
Tazkirah Solat Dhuha – Solat Dhuha
9.00 – 11.00 am
REHAT – teruskan ibadah
11.00 – 12.00 tgh
Makan / Persiapan untuk WUKUF – PASTIKAN ANDA BERADA DI SURAU
12.30 tgh – 3.00 pm
Zohor – Khutbah Pertama
Azan serentak dengan Khutbah Kedua
Solat Jamak Takdim Zohor dan Asar secara Tamam
4.00 pm
Rehat – Masa untuk mengemas barang, berangkat ke Muzdalifah
4.30 pm
Tazkirah dan Taklimat berangkat ke Muzdalifah
10 ZULHIJJAH
HARI NAHAR / HARI RAYA HAJI
6.00 pm
Talbiah / Zikir / Quran – Solat Jamak Takdim Maghrib dan Isyak secara Tamam / Kalau tidak sempat Solat Jamak Takkhir di Muzdalifah
7.00 pm
Berangkat ke Muzdalifah – Sediakankan uncang batu / Porch / lampu suluh

Tuesday, November 01, 2011

PANDUAN AGAR TIDAK SESAT




Setelah selesai melakukan Umrah Wajib, kami pulang ke hotel dibawa oleh 'Mutawwif' kami sendiri yang ditempah dari Malaysia....Ucu Asri....


Di Hotel Penginapan


1.      Maklumat tentang penginapan dilekatkan di belakang tanda nama jemaah haji.

2.      Setelah tiba di bilik penginapan, ketika dibenarkan untuk berehat sebelum melakukan umrah wajib, turunlah dari hotel dan lihat sekeliling hotel. Kenal pasti nama-nama kedai, nama jalan dan bentuk-bentuk bangunan persekitaran.

3.      Ketika pertama kali keluar dari hotel untuk melakukan umrah wajib, pastikan anda berteman. Dapatkan kenalan yang mudah untuk berhubung. Ia akan membantu anda untuk ingat-mengingati tentang lokasi penginapan anda.

4.      Sekiranya anda melalui terowong, pastikan terowong tersebut akan keluar hingga ke pintu mana di Masjidil Haram. Bila pulang setelah selesai melakukan umrah wajib pastikan anda melalui pintu dan terowong yang sama.

5.      Di dalam telefon bimbit anda, simpanlah nombor-nombor telefon Pusat Bantuan Muassasah, Pejabat Tabung Haji di Mekah serta nombor telefon rakan-rakan sebilik anda. Ia penting ketika berlaku kecemasan.

Di Dalam Masjidil Haram


Ketika masuk ke dalam mesjid pastikan anda membaca doa masuk mesjid. Amati dan hafal betul-betul nombor pintu dan nama pintu. Contoh;



Nombor Pintu
Nama Pintu
1 & 2
Bab King Al-Malik Abdul Aziz (tangga bergerak)
3 & 4
Basement Ajyad
5
Bab Ajyad
6
Bab Bilal
7 & 8
Ajyad (tangga bergerak)
9
Bab Hunain
10
Bab Ismail
11
Bab Safa (berhadapan dengan Istana)


Jika anda masih tersesat, apabila anda masuk dan melihat Ka’bah, pastikan anda sedang berdiri di penjuru mana. Sama ada anda di penjuru Hajar Aswad, berhadapan dengan pintu Ka’bah, berhadapan dengan Maqam Ibrahim, penjuru Rukun Iraqi, berhadapan Hijir Ismail, penjuru Rukun Syami atau penjuru Rukun Yamani.

Camkan dan ingat lokasi sekitaran. Ambil masa untuk mengecam dan menghafal tempat-tempat tersebut.

Kalau perlu tuliskan nombor atau nama-nama tempat dan pintu. Ambil nombor telefon rakan-rakan satu kumpulan.

Pastikan bergerak berkumpulan.

Sekiranya terpisah dari kumpulan, jangan panik, berdoa dan solat hajat. Gunakan telefon atau tunggu sehingga keadaan tenang.

Cari petugas Tabung Haji. Biasanya mereka memakai pengenalan TH. Atau tegur dan minta bantuan dari jemaah haji Malaysia yang mudah dikenali dari tanda nama dan gelang mereka. Di samping wajah Melayu mereka.

Pastikan ada tanda pengenalan pada beg galas atau tulisan pada telekung, gelang dan sebagainya.

Jemaah yang berumur elok diiringi oleh jemaah yang lebih muda.

Jangan gunakan lif berseorangan.

Wallah hu a’lam.